BARU-BARU ini, tular sebuah video melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikatakan menaiki pesawat mewah berlepas ke Madinah.

Berikutan itu juga, beliau turut dituduh menyalahgunakan wang rakyat bagi menyempurnakan lawatan kerjanya ke Arab Saudi itu.

Justeru, Dr Zulkifli tampil memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai video tular tersebut.

Menerusi entri di Twitter miliknya, Dr Zulkifli berkata lawatan kerjanya ke negara tersebut yang bermula Jumaat lalu, ditaja sepenuhnya Liga Muslim Sedunia (MWL).

Menurutnya, beliau menaiki penerbangan Saudia Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain.

“Penerbangan dari Riyadh ke Madinah seperti dalam video tersebut diuruskan sepenuhnya oleh MWL.

“Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, YM Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah.

“Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, telah datang ke Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan Diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan,” tulisnya.

Penerbangan ditaja sepenuhnya Liga Muslim Sedunia, Dr Zulkifli tampil beri penjelasan

Kata Dr Zulkifli, semua program dan mesyuarat penting berkaitan haji, umrah dan hal ehwal Islam sepanjang lawatannya di Arab Saudi diaturkan dan ditaja sepenuhnya oleh MWL.

Iklan

“Saya melihat ia adalah tanda penghormatan baginda, Kerajaan Arab Saudi dan pihak Liga Muslim Sedunia kepada kerajaan Malaysia.

“Justeru, kenyataan bahawa saya bertindak menyalahgunakan wang rakyat untuk menaiki pesawat mewah sepanjang di sana atau menuju ke sana adalah tidak benar,” ujarnya.

Baca juga Sanggup berkayuh hantar tempahan lewat malam, kisah pemuda ini cari rezeki buat warganet sebak

Menurut Dr Zulkifli lagi, beliau sangat menghargai tindakan beberapa pihak yang meminta kepastian daripadanya dahulu sebelum membuat tuduhan dan memaafkan pihak yang membuat andaian berbaur fitnah terhadapnya.

Iklan

“Saya maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati. Sejujurnya, sepanjang di sini saya sentiasa mendoakan kebaikan kepada rakyat Malaysia, dan sudah pasti kepada umat Islam di Malaysia.

“Saya doakan semoga Ramadan kali ini mampu mendidik jiwa kita ke arah yang diredaiNya,” ujarnya.

Semoga Ramadan kali ini memberi seribu rahmat buat kita semua dan jangan lupa untuk terus kekal mengamalkan SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang sedang melanda negara kita.