“Sila pulangkan...” pokok hiasan RM50,000 dirembat pencuri, wanita buat laporan polis
POKOK hiasan jenis spesies Monstera menjadi trend terkini lantaran keindahan dan rupa bentuknya yang unik.
Malah ramai yang berkata, makin banyak lubang dan corak, maka semakin tinggi nilai. Maka tidak hairanlah harga spesies tumbuhan ini mahal.
Seorang wanita, Rus Majida Hassan menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook menguar-uarkan kecurian pokok-pokok miliknya yang berharga RM50,000
Ia dipercayai dicuri individu yang tidak bertanggungjawab di pekarangan kediamannya di Kuala Terengganu.
“Minta pertolongan semua untuk kongsi dan menguar-uarkan di semua grup dan media sosial.
“Tiga pokok kesayangan saya yang bernilai RM50,000 telah hilang dicuri petang semalam di Kuala Terengganu.
Pokok yang hilang adalah seperti yang di dalam gambar:
1) Monstera Albo Marble (daun putih hijau besar berlubang-lubang)
2) Monstera Aurea Marble (daun kuning hijau besar berlubang-lubang)
3) Monstera Albo Halfmoon ( daun sebelah hijau sebelah putih)
Susulan itu, laporan polis telah dibuat. Rus Majida juga turut meminta bantuan warga maya untuk menjejak kembali pokok miliknya itu. Malah dia juga mengakui mengenai pokok-pokok berkenaan yang ditanamnya.
“Sekiranya ada sesiapa yang mengenali saudara, jiran atau rakan yang tiba-tiba ada menanam pokok ini di kawasan rumah atau terjumpa posting di mana-mana platform untuk menjual pokok sebegini, sila segera maklumkan kepada saya.
“Saya amat mengenali pokok saya berikutan corak khas dan saiz pokok tersebut tidak dimiliki oleh orang lain. Pokok ini tiada dijual di nurseri biasa dan saiz pokok yang dicuri sangat sukar didapati.
“Tolong bantu saya untuk dapatkan semula pokok-pokok ini dan agar saya dapat membawa si pencuri ke muka pengadilan," tulisnya.
Paling ralat buat Rus Majida ialah kerana pokok-pokok berkenaans udah ditanamnya selama hampir tiga tahun. Malah ia sudah mencapai saiz yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Faktor itu membuatkan tumbuhan itu mudah untuk dikenali sekiranya dijumpai.
Susulan daripada hebahan oleh wargamaya, Rus Majida menerima respons bertubi-tubi dalam usaha menjejak kembali pokok-pokok berkenaan.
Malah ada yang menitipkan kata semangat buatnya yang hampir rebah setelah menyedari kejadian yang berlaku.
“Sekiranya ada yang sudah terbeli pokok ni, saya takkan minta semula pokok ini.
"Saya cuma nak dapatkan maklumat lanjut si penjual seperti nama, nombor telefon, nombor akaun bank dan lokasi supaya dapat membantu siasatan polis,” luahnya.
Dalam pada itu, dia juga turut memberikan peringatan kepada individu yang mengambil pokok-pokok berkenaan.
“Kepada si pelaku sekiranya anda membaca tulisan saya, sila pulangkan pokok saya seperti sedia kala atau saya tidak akan memaafkan anda dunia akhirat dan berdoa agar anda menerima balasan yang setimpal dunia akhirat.
“Saya juga doakan pokok tersebut tidak akan hidup subur di tangan anda, sungguh saya tidak reda dengan perbuatan anda yang menceroboh kawasan,” tulis Rus Majida.
Menurut Plants of the World Online, terdapat 51 taxa diiktiraf bagi Monstera iaitu 45 spesies dan enam infraspesifik.
Tumbuhan itu berasal dari Amerika Selatan dan Utara yang merupakan kawasan beriklim tropika.
Sumber: Rus Majida Hassan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang