ISU penarikan semula pingat emas jaguh lontar peluru paralimpik negara menjadi bualan ramai.

Kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo sedang melalui saat sukar susulan pingat emas yang diraih oleh Ziyad Zolkefli telah ditarik semula dan diberikan kepada atlet Ukrain, Maksym Koval selepas diprotes.

Dalam perkembangan terbaru menerusi Astro Arena, keputusan penarikan semula kekal.

“PENGUMUMAN!! Rayuan ditolak dan keputusan penarikan semula emas Ziyad kekal.

“It’s okay Ziyad. Satu dunia nampak bagaimana anda memecahkan rekod dunia Lontar Peluru F20. Ziyad tetap no. 1 kita!! Ayuh berikan sokongan buat Ziyad Zolkefli!” 

Difahamkan, penyertaan Ziyad dibatalkan dalam acara lontar peluru lelaki F20 petang semalam dan dikategorikan sebagai Did Not Start (DNS).

Terdahulu, keputusan Ziyad diprotes atlet Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat memasuki call room sebelum acara bermula.

Menurut World Athletic Rules, atlet yang terlambat memasuki call room tidak dibenarkan bertanding sama sekali sebelum saingan dimulai.

Namun menurut Astro Arena, situasi yang dihadapi Ziyad sangat berbeza apabila atlet Malaysia ini telahpun menamatkan saingan dan telah dinyatakan juara.

Tidak hanya berdiam diri, rentetan itu, sekretariat Malaysia di Tokyo membuat bantahan secara rasmi kepada penganjur ekoran penarikan pingat emas Ziyad.

Menerusi laman sosial Twitter, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam mengesahkan bahawa Malaysia telah menghantar bantahan kepada pihak penganjur.

Katanya, perbincangan sedang dijalankan di antara pegawai Kontinjen Malaysia dengan pihak penganjur yang telah membatalkan pingat emas yang dimenangi oleh Ziyad.

Jelas Faizal, pegawai Kontinjen Malaysia turut menyertakan semua bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan di luar bilik menunggu (call room).

Dalam perkembangan itu, Faizal turut memberi gambaran bahawa Malaysia mungkin mempunyai harapan untuk mendapatkan kembali pingat berkenaan ekoran protes yang dilakukan oleh Ukraine agak lemah.

Selain Malaysia, difahamkan Australia dan Ecuador turut protes kemenangan Ukraine dalam acara berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut menzahirkan pandangannya berhubung isu berkenaan.

Kata Khairy, tindakan tersebut memalukan dan mencemarkan reputasi sukan Paralimpik.

“Sekiranya ia berpunca daripada kelewatan memasuki bilik menunggu, pihak penganjur sepatutnya tidak membenarkan dia tidak bertanding sejak awal lagi. Pingat emas dan rekod dunia kita telah dirampas,” ciap Khairy di Twitter.

Baca juga Rangkul Emas Pertama Paralimpik Tokyo 2020, 5 Fakta Mengenai Atlet Powerlifting Negara Bonnie Bunyau

Iklan

Susulan itu, Ziyad menerusi laman sosial Instagram Insta story meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau juga menitipkan penghargaan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepadanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by YAD (@ziyadzolkefli)

Insiden tersebut turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang turut menzahirkan rasa bangga kepada Ziyad.

“Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia dalah perkara yang luar biasa!

“Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!” tulis beliau di Twitter.

Dalam acara semalam, Ziyad telah memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali, dengan lontaran sejauh 17.94m pada pusingan terakhir.

Pada Kejohanan Para Atlet Dunia 2017, Ziyad telah membuat lemparan sejauh 17.29m sekali gus memecahkan rekod dunia sebelum ini iaitu 16.84m yang diciptanya sendiri pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Brazil.

Sumber dan foto: Bernama, Astro Arena