HIDUP tanpa kasih seorang suami ditambah memiliki cahaya mata yang menghidap kanser darah atau Acute lymphoblastic leukaemia membuatkan Mariani Che Rosli reda dan sentiasa memohon petunjuk daripada-NYA.

Kepada SinarPlus, Mariani berkata, melihat anak sulungnya yang suatu ketika dulu sihat walafiat, aktif dan ceria, tetapi kini hanya mampu terbaring lemah membuatkan beliau sentiasa dirundung kesedihan.

Ujar beliau, permata kesayangan, Mohamad Amsyar Adha Mohamad Izuan, 11, sudah tidak mampu lagi berjalan akibat gangguan saraf pada bahagian kaki. Pada masa sama, kanak-kanak itu bergantung kepada tiub untuk ubat dan susu khas.

Lagi menyedihkan, bukan sahaja berat badan susut mendadak, Mohamad Amsyar Adha yang manja dipanggil Abang Long sering kemurungan disebabkan masih tidak dapat menerima hakikat dirinya ditimpa penyakit berbahaya.

“Bayangkanlah dulu Abang Long bebas berlari dan bermain, tetapi kini dia dah tak mampu nak berjalan dan terbaring saja. Kadang-kadang menangis sampai susah saya nak pujuk.

“Selain itu, Abang Long juga suka cakap hal yang bukan-bukan. Dia pernah kata, hidup dia tak lama dah disebabkan tak tahan sakit yang teramat. Masa itu, saya hanya mampu menangis sambil memujuknya supaya terus kuat,“ cerita wanita itu yang menetap di rumah keluarganya di Kampung Dato’ Seri Hamzah, Kemayan, Pahang.

kanser darah

Apabila ditanya bagaimana zuriatnya disahkan menderita kanser darah tersebut, nada Mariani mulai kendur dan perbualan kami pada malam itu terhenti seketika.

Selepas meminta masa untuk bertenang, beliau kemudian memberitahu, semuanya bermula selepas Abang Long terjatuh ketika bermain di sebuah taman permainan pada Mac lalu.

“Ketika itu, saya hairan bila banyak tompok-tompok merah dan terdapat lebam berwarna ungu pada badannya. Hati saya jadi tak tenang bila dia mengadu badannya lemah lain macam dan tiada selera nak makan.

kanser darah

“Selain demamnya datang dan pergi dalam tempoh yang panjang, apa yang membuatkan saya lagi panik apabila darah keluar melalui hidungnya,“ kata beliau yang terus merujuk Abang Long ke wad kecemasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSAS), Temerloh.

Selepas beberapa siri ujian mendebarkan, doktor pakar mengesahkan kondisi kanak-kanak tersebut pada waktu itu cukup kritikal apabila paras sel darah merah sangat rendah.

Baca juga Disangka masalah cacing gara-gara perut buncit, budak 2 tahun derita kanser hati perlukan bantuan orang ramai

“Muka Abang Long sudah pucat lesi ditambah dengan najis berdarah lagi. Apabila doktor beritahu nyawa anak saya tinggal 50-50 sahaja, saya bagai nak pengsan.

“Dalam keadaan yang masih tak stabil lagi, dia dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur untuk prosedur selanjutnya termasuk menjalani rawatan kemoterapi untuk 36 hari bagi mengelakkan sel kanser merebak lebih serius,“ tuturnya.

kanser darah

Difikirkan semua prosedur tersebut memberi sinar harapan, namun lain pula yang berlaku apabila Abang Long dijangkiti kuman, muntah tanpa henti dan demam panas hingga mencecah 42 darjah Celsius.

“Disebabkan bahagian limpa sudah penuh dengan kuman dan tidak boleh diselamatkan, satu pembedahan terpaksa dibuat pada 31 Mei lalu untuk membuang organ terjejas,“ ceritanya dengan nada sebak.

Iklan

Ulang-alik

Selain berulang-alik dari HTA Kuala Lumpur setiap bulan dan ke HOSAS setiap minggu membuatkan ibu tunggal itu terpaksa berhenti kerja sebagai juruwang.

Akui Mariani, dirinya sememangnya berada dalam dilema untuk membuat keputusan sama ada mahu melepaskan satu-satunya sumber pendapatan atau menjaga anak yang sedang bertarung nyawa.

Baca juga Disangka sudah bebas kanser rahim, sekali lagi wanita ini diuji kanser usus tahap 4. Kisah Hani buat ramai sebak

“Akhirnya, saya memilih anak kerana dialah yang paling penting. Walaupun terpaksa melepaskan gaji yang sudah stabil, tapi saya percaya rezeki ALLAH untuk Abang Long. Alhamdulillah emak dan ayah banyak bantu kami sepanjang menghadapi dugaan berat ini,“ katanya yang mempunyai seorang anak lelaki lagi, Mohamad Iffan Adha yang berusia lapan tahun.

kanser darah

Iklan

Bukan mahu meminta-minta, namun kos rawatan susulan setiap minggu dan bulanan membuatkan wanita berusia 34 tahun itu buntu untuk mencari dana demi kelangsungan perubatan Abang Long.

“Susah untuk saya cakap bila orang tanya hal ini sebab doktor pun maklum kanser darah ini sukar untuk sembuh dan terpaksa bergantung kepada ubat seumur hidup.

“Sumbangan dan bantuan orang ramai sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga supaya bekalan lampin pakai buang dan susu khas termasuk kos perubatan lain tidak terputus,“ katanya.

Kepada kalian yang prihatin, dana boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0699541100464267 atas nama Mariani Binti Che Rosli.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi