Zahnita Wilson kembali bergelar isteri, Farouk Osman pilihan hati
SELEPAS melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, pelakon dan model Zahnita Wilson membuka lembaran baharu apabila selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Farouk Osman Yunus.
Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis pernikahan sederhana yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, pagi tadi, dengan sekali lafaz.
Menurut laporan Utusan Malaysia, majlis berkenaan hanya dihadiri keluarga, saudara-mara serta rakan terdekat, sekali gus menjadikan detik istimewa itu lebih intim dan bermakna buat kedua-dua mempelai.

Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, dinikahkan oleh abangnya, Mohd. Julian Hussein, dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Daerah Sepang, Mohammad Nazri Sobirin.
Dalam majlis tersebut, Zahnita menerima mas kahwin sebanyak RM300, manakala hantaran pula berupa dua bentuk cincin dan kelengkapan solat.
Pasangan berkenaan memilih rona putih sebagai warna persalinan mereka. Kedua-duanya tampil sedondon dalam busana serba putih hasil sentuhan Ruby Signature, memberikan suasana majlis yang sederhana namun tetap anggun.

Untuk rekod, Zahnita sebelum ini pernah melalui bahtera rumah tangga selama 20 tahun bersama Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor sebelum ikatan pernikahan tersebut berakhir dengan perpisahan.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Kini, pelakon berkenaan kembali melangkah ke fasa baharu sebagai isteri kepada Farouk, dengan sebuah permulaan yang diraikan dalam suasana penuh sederhana bersama insan terdekat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

