JIWA Noor Hafizahani Mohamad Yusof cukup kental. Biarpun diuji dengan gelombang musibah yang tidak tertanggung, empunya diri tetap tenang.

Daripada ton suaranya di corong telefon, penulis sedikit pun tidak terfikir beliau sedang mengharungi liku yang cukup besar.

Akui wanita yang mesra disapa Hani itu, dirinya sedang menderita kanser usus tahap akhir dan sedang menjalani rawatan paliatif demi mengurangkan kesakitan.

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

Ujar suri rumah tersebut, kisah dukanya bermula selepas dijangkiti kuman pada betis pada Ogos 2018.

“Disebabkan semakin membengkak, saya terus mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Perlis.

“Pada masa itu, doktor pakar minta saya jalani ujian pap smear memandangkan kitaran haid saya tidak teratur. Saya juga sering sakit kepala, tumit kaki sentiasa berdenyut dan rasa nyeri pada bahagian abdomen,” ceritanya yang menetap di Felda Chuping, Kangar, Perlis.

Baca juga Terlantar 2 tahun akibat tumor pada saraf tunjang, ibu tabah ini mohon keajaiban buat Baby

Namun, satu panggilan yang diterima dari klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi membuatkan kehidupan Hani berubah 360 darjah.

Mana tidaknya, pakar mengesahkan dirinya mengalami kanser pada dinding rahim tahap satu.

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

“Sebaik mendengar laporan kesihatan, saya terkedu dan tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Ketika doktor menyarankan untuk membuang rahim, saya merasakan dunia menjadi gelap gelita.

“Bagaimana saya tak sedih, bayangkan masa itu saya baru saja mendirikan rumah tangga, usia perkahwinan tak sampai setahun lagi. Memikirkan impian untuk memiliki zuriat punah, membuatkan jiwa saya kacau-bilau,” katanya penuh sebak.

Namun, atas nasihat doktor dan pujukan suami, suri hati kepada Mohd Shahriman Anuar, 41, itu akur dengan prosedur yang disarankan.

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

“Dalam tempoh dua tahun, saya sudah jalani empat prosedur rawatan kemoterapi dan 25 kali kitaran radioterapi yang memeritkan. Selain itu, saya juga sudah empat kali dibedah. Akhirnya pada awal Januari lalu, saya disahkan bebas kanser,” kongsinya.

Ujian berganda

Pun demikian, kegembiraan yang diraikan tidak bertahan lama. Selepas dua minggu, muncul simptom baharu seperti kurang selera makan, sering muntah dan perut membuncit pula.

Baca juga Pilu! Adik Qhayla jalani 7 pembedahan sejak dilahirkan. Sama-sama kita hulurkan bantuan kepadanya

Keadaan tersebut membuatkan anak kelima daripada 10 beradik itu tidak tenang. Apatah lagi badannya semakin lemah dan mudah pitam. Adakalanya diserang cirit-birit dan sakit perut yang menyakitkan.

“Sekali lagi saya dapatkan rawatan di hospital. Selepas pemeriksaan endoskopi pada saluran usus, doktor mengesyaki saya ada kanser usus pula. Sakit yang datang berulang kali membuatkan saya tidak bermaya sehingga terpaksa bergantung kepada tongkat empat kaki.

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

Iklan

“Kemudian ujian imbasan Computed Tomography ketiga pula dilakukan. Kali ini, pakar maklumkan sel kanser datang semula, namun kali ini dikesan pada rongga tisu di antara perut dan usus,” katanya sambil memberitahu, tahap barahnya sudah berada dalam kategori empat.

Perkhabaran tersebut betul-betul membuatkan Hani patah hati.

Masakan tidak, doktor berterus-terang bahawa peluang untuknya sembuh tipis. Tambahan, tiada perubatan khusus yang dapat merawat kanser yang dideritainya.

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

“Saya berkurung lebih tiga minggu selepas mendengar itu semua. Saya menangis hampir setiap hari dan terbaring sahaja. Namun, secara tiba-tiba pada satu hari, hati saya bagai dijentik.

“Secara automatik, fikiran saya mengenangkan pengorbanan suami yang banyak bersusah payah sehingga sanggup berhutang sepanjang rawatan kanser saya. Hal itu membuatkan saya belajar untuk bersyukur,” katanya.

Tidak mahu terus hanyut dibuai perasaan yang bergelora, anak jati Taiping, Perak itu berkata, beliau sedaya upaya cuba menyibukkan diri dan membantu suaminya yang juga kurang upaya penglihatan menjalankan bisnes menjual nasi lemak dan kuih-muih.

Iklan

Noor Hafizahani Mohamad Yusof KANSER

“Jika ditanya, saya sekarang hanya bergantung dengan ubat tahan sakit, namun saya tidak putus-putus berdoa kepada YANG MAHA ESA supaya diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Kadang-kadang rasa down juga kerana sakit ini bukan biasa-biasa. Namun, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan keajaiban untuk kembali sihat seperti dahulu,” tuturnya dengan tenang.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Kepada insan senasib dengannya, Hani menasihatkan agar tidak cepat berputus ada.

“Terimalah ujian sakit ini dengan reda. Benar, bukan mudah sebenarnya untuk kekal positif, namun belajarlah menerima hakikat walaupun ia sangat pahit.

“Selagi diberikan peluang untuk bernafas di muka bumi ini, cekalkan hati kerana mungkin terdapat ganjaran bermakna yang menanti di alam abadi,” katanya.