Tenang lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dibandingkan, Ajai pertahan gabungan vokal Marsha, Adira, Nadeera, Aisha Retno — 'Versi pertama dah terbaik...'
SIAPA sahaja yang tidak pernah menyanyi terjerit-jerit di dalam kereta atau bilik mandi setiap kali lagu nostalgia 90-an, Cinta Di Akhir Garisan dimainkan di radio? Masih segar dalam ingatan gabungan mantap empat vokal emas iaitu Ziana Zain, Nora, Ning Baizura, dan Dessy Fitri, yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.
Masa berlalu, namun keindahan karya malar segar ini tidak pernah luput ditelan zaman. Kini, karya agung tersebut kembali bernafas baharu menerusi versi Cinta Di Akhir Garisan 2.0 (CDAG 2.0).
Lebih menarik, gabungan kali ini menampilkan empat figura popular generasi baharu yang tidak perlu diperkenalkan lagi: Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno.
Bukan sekadar 'recycle' lagu lama, projek terbitan Usanita Entertainment dengan kerjasama komposer serba boleh, Ajai ini hadir dalam pakej yang cukup mewah, berskala besar, serta gaya tersendiri.
Sentuhan Orkestra Internasional, Bunyi Lebih 'Gah'
Bagi memberikan impak estetik dan muzikal yang luar biasa, CDAG 2.0 mendapat sentuhan gabungan komposer Ajai serta pengatur muzik berpengalaman, Mac Chew. Lebih mengagumkan, susunan muzik terbaharu ini turut diiringi oleh 53 pemuzik daripada Budapest Scoring Orchestra!

Meskipun terdapat segelintir pendengar yang mula membuat perbandingan dengan versi klasik 1990-an, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, mengambil pendekatan santai dan tidak menyimpan rasa kecil hati.
Bagi komposer terkemuka berusia 51 tahun itu, perbezaan pandangan pendengar adalah satu lumrah dalam dunia seni hiburan.
"Pada saya, itulah hiburan. Dalam perkataan hiburan itu terbahagi kepada hiburan yang mendengar, hiburan yang suka dan hiburan yang tidak suka.
"Hiburan yang tidak suka ini pun adalah hiburan juga kerana mereka terhibur dengan benda yang mereka tidak suka," ulas Ajai tenang ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video CDAG 2.0 di Hotel Marriott, Petaling Jaya.
Beliau juga tidak mahu terikat dengan susunan lama demi memberikan ruang identiti dan fleksibiliti vokal kepada penyanyi generasi masa kini yang membesar dengan pelbagai pengaruh muzik dan teknik runs tersendiri.
"Versi pertama sudah yang terbaik. Jadi sekarang saya mahu cipta yang terbaik untuk versi kedua... Apabila mereka nampak visual penyanyi-penyanyi ini menyanyi secara langsung nanti, barulah mereka tahu bagaimana bahagian itu dinyanyikan," katanya sambil menambah bahawa projek ini turut membuka mata generasi muda untuk mengenali lagu legenda tersebut.

ikon muzik generasi kini
Menyentuh pemilihan Marsha, Adira, Nadeera dan Aisha, pendekatan tersebut dibuat secara teliti berasaskan karakter vokal, pencapaian, serta daya tarikan mereka sebagai ikon muzik generasi masa kini.
Pembahagian nyanyian juga dibuat secara adil supaya setiap penyanyi dapat menyertakan identiti vokal masing-masing tanpa 'overshadow' antara satu sama lain.
Bagi Marsha Milan, peluang ini hadir bersama tanggungjawab besar tetapi tetap mengujakan dengan pembahagian nyanyian baharu yang memberi kepuasan maksima.

Adira Suhaimi pula menyifatkan pemilihan ini sebagai satu penghormatan dan rezeki tidak disangka.
Dalam pada itu, Nadeera bersedia menerima apa sahaja ulasan peminat dengan hati terbuka, manakala Aisha Retno teruja dapat menjadi 'jambatan' untuk memperkenalkan karya malar segar ini kepada generasi muda seusianya.
Sinematik dan mewah
Bukan hanya fokus pada kualiti audio semata-mata, Usanita Entertainment turut memberikan perhatian khusus kepada aspek visual. Music Video (MV) rasmi CDAG 2.0 mendapat sentuhan pengarah Lily Samsuddin dan Ghazi Mazlan, dengan menjadikan lokasi ikonik tanah air, Istana Budaya, sebagai latar belakang utama.

Lagu berdurasi 4 minit 55 saat ini dirakam di Wake The Baby Studio, manakala proses mixing dilakukan oleh Greg Henderson dan mastering disempurnakan oleh Don Bartley di Benchmark Studio, Australia.
Telah pun berada di semua platform digital menerusi edaran Believe Music sejak 28 Ogos lalu, CDAG 2.0 kini bersedia membina jambatan rasa antara dua generasi, membawakan nostalgia lama dengan sentuhan gaya hidup moden yang serba elegan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
