PATAH tulang lebih 50 kali! Menonton video pendek seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meraung kesakitan sambil menjerit memanggil ibunya boleh meruntun hati sesiapa.

Penulis sendiri hilang kata-kata melihat bagaimana si kecil itu mengumpul kekuatan menanggung kesakitan yang tidak terperi.

Khayla Adha Mirza Imran atau mesra dipanggil Khayla tidak seperti budak kecil lain. Beliau kini sedang menderita penyakit tulang rapuh (Osteogenesis imperfecta).

Menurut ibunya, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 42, sejak dilahirkan, Khayla sudah mengalami lebih 50 kali kepatahan kaki dan tangan sejak dilahirkan.

“Penyakit tulang rapuh anak saya sebenarnya disebabkan oleh kecacatan genetik dan ia telah dikesan sejak usia kehamilan saya mencecah tujuh bulan lagi.

tulang rapuh

“Ketika itu, doktor yang membuat imbasan perut terkejut bila tak nampak kaki kiri bayi, malah mereka fikirkan anak saya tiada kaki,“ katanya.

Bukan sahaja tidak senang duduk, Khairol Niza sering menangis mengenangkan nasib bayi yang bakal dilahirkan.

Saranan doktor untuk menggugurkan kandungan terpaksa ditolak disebabkan terlalu sayang dengan cahaya matanya yang merupakan anugerah terhebat daripada ILAHI.

tulang rapuh

Kata wanita berkenaan, walaupun sukar untuk menerima hakikat, beliau dan suaminya tetap reda dengan ketentuan-NYA dan menunggu kelahiran Khayla dengan penuh debaran.

“Pada saat Khayla dilahirkan secara pembedahan, kaki kiri yang disangka cacat rupa-rupanya patah dan terlipat ke dada. Masa itu juga, dia dibawa terus ke Unit Rawatan Intensif Neonatal.

“Selepas ditahan lebih tiga minggu, barulah Khayla boleh dibawa pulang. Namun selepas itu, kami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk suntikan ubat kuatkan tulang sehinggalah umur dia empat tahun,“ katanya yang menyewa di Taman Pauh Jaya, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

tulang rapuh

Pun demikian, perkembangan Khayla semakin kurang memberangsangkan apabila kerap mengalami masalah patah pada kedua-dua tangan dan kaki. Lebih mendukacitakan, proses penyembuhan juga mengambil masa lama.

Baca juga ‘BILA kulit Faris nak jadi baik, ibu?’ Pertanyaan si kecil buat Norazilawani sedih

Menurut suri rumah itu lagi, setiap kali masalah berkenaan berlaku, hanya papan (splint) dan pembalut, selain ubat tahan sakit menjadi rawatan sementara sebelum si kecil dibawa ke hospital.

tulang rapuh

“Setiap kali insiden tercetus, memang Khayla akan meraung-raung. Paling teruk jika pahanya patah,“ katanya.

Pembedahan masukkan besi

Kini, usia si kecil itu sudah mencecah enam tahun. Tiada hari tanpa kesakitan.

Namun, paling membuatkan hati Khairol Niza sayu tatkala Khayla dengan penuh keterujaan melihat sepupu beliau bermain sambil melirik melihat kakinya yang tidak berupaya.

Iklan

“Khayla pernah kata teringin sangat nak berjalan sendiri, tetapi apakan daya, semua itu tak dapat saya penuhi buat masa ini. Dia banyak terbaring saja.

tulang rapuh

“Mengenangkan permintaannya, saya terbayang-bayang juga bagaimanalah hidup Khayla bila kami suami isteri sudah tiada nanti. Hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang selalu bermain dalam fikiran saya,“ tutur wanita itu dengan nada sebak.

Baca juga Kepala Bilal semakin membesar, bawa ‘beban’ 28kg. Keluarga rayu bantuan

Tidak mahu melihat Khayla terus menderita, Khairol Niza merujuk ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan suntikan sel tunjang (stem cell) dan penggalak Exosomes (booster Exosomes) buat anaknya sejak Julai lalu.

“Alhamdulillah, nampak hasilnya dan Khayla pun semakin ceria. Cuma yang menjadi masalah adalah kos yang tinggi untuk prosedur tersebut kerana ia mencecah lebih RM11,000 sekali rawatan.

tulang rapuh

“Sebenarnya, Khayla sangat perlukan ubat berkenaan secara berterusan bagi menguatkan tulangnya. Ia juga persediaan untuk prosedur memasukkan besi pada paha dan betis akhir tahun ini,“ ujarnya.

Iklan

Bergantung hidup dengan pendapatan suami, Imran Mohd Yusoff, 43, yang merupakan peniaga pasar malam sepenuhnya membuatkan wanita itu berasakan cukup mustahil untuk mereka mengumpul dana sebanyak RM140,000 untuk kos pembedahan.

Baca juga ‘Hidup Abang Long tak lama dah’. Luahan pilu kanak-kanak kanser darah bikin ibunya sebak

“Jualan donut bomboloni di pasar malam kadang-kadang tidak menentu. Memang saya susah hati dan sangat memerlukan sumbangan orang ramai untuk membantu Khayla supaya boleh berjalan satu hari nanti,“ katanya.

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik Khayla, boleh salurkan terus ke akaun Maybank 15739798004 atas nama Khairol Niza Bt Zaffarullah Khan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi