SUKA akan kerja-kerja lasak, seorang gadis dilihat gigih menggunakan kudrat memunggah dan mengangkat bertandan-tandan buah kelapa sawit.

Setiap orang ada jalan kisah hidup masing-masing. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, hidup perlu diteruskan.

Seperti seorang gadis manis berusia 21 tahun ini apabila dia memilih untuk mengambil upah memunggah dan mengangkat kelapa sawit di kebun kelapa sawit demi kelangsungan hidup.

Nor Syazwani Nor Azman merupakan cucu peneroka Felda Pasoh Empat, Jelebu, Negeri Sembilan, tidak pernah menganggap pekerjaaan yang sering dilakukan oleh orang lelaki itu beban buat dirinya.

Biarpun hanya mempunyai berat badan sekitar 40 kilogram sahaja, dia membuktikan saiz badan bukanlah halangan untuk dia melakukan pekerjaan tersebut.

Melihatnya memerah keringat untuk kerja sedemikian, baru-baru ini beberapa foto gadis manis itu tular di media sosial dan mencuri perhatian ramai.

Menurut ibunya, Mastura Masran, 40, anak kedua daripada sembilan beradik itu memang gemar melakukan kerja-kerja lasak.

Justeru, dia tidak hairan sekiranya anak perempuannya itu mampu melakukan kerja yang sering dilakukan oleh orang lelaki kerana dia sendiri pernah membantu orang tuanya di kebun.

Ujar ibu muda itu, memang menjadi kebiasaan anak gadis yang tinggal di tanah rancangan Felda akan membantu ibu bapa bekerja di ladang.

Sementara itu, menurut laporan media tempatan, berikut kisah kehidupan Syazwani;

1. Mula melakukan pekerjaan tersebut ketika berusia 15 tahun selepas keadaan pada ketika itu tidak mengizinkannya untuk menyambung pelajaran.

2. Disebabkan tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran, Syazwani tekad untuk melakukan kerja-kerja di kebun yang kebiasaannya dilakukan oleh orang lelaki.

Baca juga Lama impikan anak lelaki, ibu reda bayi ‘pergi’ ketika tidur di taska sentuh hati ramai

Suka kerja lasak, ini cerita ibu gadis tular angkat kelapa sawit

3. Syazwani membantu menyusun pelepah kelapa sawit dan membawa buah ke platform berhampiran jalan. Jika lokasi pokok dan platform itu dekat, dia akan menggunakan besi pengangkat buah kelapa sawit dan sekiranya jauh, dia akan menggunakan kereta tolak.

4. Dengan upah yang diperolehnya sekitar RM400 sebulan, Syazwani menggunakan duit itu untuk keperluan diri sendiri.

5. Dia tidak mengambil sebarang vitamin tambahan untuk kesegaran tubuh badannya sebaliknya hanya makan apa sahaja yang dimasak oleh ibunya. Meskipun begitu, dia mampu mengangkat kelapa sawit yang dianggarkan seberat 25 kilogram.

6. Ujar Syazwani, sakit-sakit badan selepas bekerja di ladang adalah normal dan kebiasaan dia meminta ibu mengurut badan supaya segar semula.

7. Selain memunggah buah kelapa sawit, Syazwani juga mempelajari proses penuaian daripada bapa saudaranya. Kemahiran itu penting buatnya jika mahu bekerja di ladang.

8. Difahamkan, jika tidak ke kebun, Syazwani akan mengikut ayahnya, Khairul Mohd Senawi, 44, melakukan kerja-kerja pembinaan seperti membina dan membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.

Baca juga Wanita hebat, Iman Asri terpilih Syahadah Ula al-Fateh, lulus semakan 30 juzuk dalam 17 jam, 5 info mengenainya

9. Syazwani pernah memanjat bumbung rumah untuk memasang dan membaiki atap rumah. Dia tidak berasa gayat kerana sudah biasa melakukan pekerjaan seperti itu.

10. Meskipun terlibat dengan pekerjaan berat dan kasar, Syazwani tidak kekok di dapur. Malah, gadis tersebut sebenarnya mahir menebar roti canai dan pernah membantu ibunya berniaga makanan di gerai yang berhampiran dengan rumah mereka.

Wah! Sangat memberi inspirasi buat wanita. Jika anak muda ini boleh melakukan kerja tersebut sebaiknya, anda semua juga boleh.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.