KISAH kanak-kanak bernama Nuraneesa Umairah Mohamad Isa pernah tular di laman sosial TikTok. Parut pada mukanya yang wujud sejak lahir menjadikan penampilannya unik.

Susulan keunikan tanda lahir pada dahi, mata, hidung dan pipi, gadis kecil berusia 11 tahun itu menjadi perhatian di media sosial selepas gambar dan videonya dikongsi menerusi akaun TikTok milik ibunya.

Matang daripada usia, kanak-kanak, biarpun sering menjadi mangsa ejekan, Nuraneesa sentiasa bersangka baik memaafkan dan sentiasa bersabar dengan sendaan orang terhadapnya.

“Anak bertuah ini kalau dia mengadu kena ejek, hujung-hujung pasti akan memaafkan.

“Katanya: Takpe mami, kakak sudah maafkan dia. Biarlah dia jahat dengan kakak, kakak tetap baik dengan dia,” ujarnya dalam salah satu video yang tular.

Kepada portal berita tempatan, kanak-kanak itu berkata tanda lahir berwarna hitam pada wajah dianggapnya sebagai anugerah ALLAH.

Biarpun reda, beliau tidak dapat lari daripada bersedih dan malu kerana ejekan.

“Malu juga orang ejek tetapi saya tak marah ada tanda lahir ini sebab ALLAH bagi pada saya menjadikan saya berbeza dan unik berbanding orang lain. Mungkin di dunia orang tengok saya tak comel tetapi tak apa di syurga pasti akan cantik.

“Saya buat pembedahan buang tanda lahir tetapi saya sudah beritahu mummy (ibu) tak mahu buang semuanya sebab ini kan ALLAH bagi pada saya dan kalau buang semua, tiadalah rupa asal saya.

“Kalau orang nak mengata saya biarlah, saya sudah maafkan mereka dan minta jangan ejek saya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, ibunya, Nazira Mohamed Samsuri, 37, berkata beliau banyak berkongsi video berkaitan Nuraneesa untuk mengelakkan anaknya menjadi objek ejekan.

 

“Mami ini selalu up (video) di mana-mana (platform) supaya orang kenal kakak dan tidak mengejek kakak kalau jumpa.

Baca juga: Tompokan kecil disangka tanda lahir, si kecil ini tanggung penyakit jarang jumpa sampai kaki membengkok

Baca juga: Tanda lahir unik bentuk hati julang populariti Cinar Engin, 7 tahun masih kekal. 10 info penting perlu tahu

“Tapi kakak, bukan satu dunia akan nampak kakak jadi kalau jumpa kat luar, orang tidak akan bercakap belakang mengenai kakak lagi. ALLAH sahaja tahu apa yang mami rasa. Moga kakak kuat sampai bila-bila,” kongsinya menerusi TikTok @zieranazierasamsu.

Berkongsi perjalanan rawatan dan pembedahan tanda lahir yang dilalui Nuraneesa, ibu muda itu turut mengimbau detik tumbesaran anaknya.

Ujarnya, tiada sekelumit rasa menyesal atau sedih, malah mereka sekeluarga sangat menyayangi Nuraneesa.

“Tetapi saya sedih apabila dengar anak diejek, malah ada yang tanya saya kalau suami pernah bunuh monyet ketika saya sedang hamil Nuraneesa Umairah atau tidak, mandi selepas lihat gerhana sebab itu anak dapat tanda lahir,” ujarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tanda lahir pada wajah Nuraneesa tidak serius atau berbahaya, Namun atas nasihat doktor, mereka mengambil keputusan membuang tanda lahir itu secara berperingkat demi masa depan.

Mengakui Nuraneesa malu apabila diejek orang, kata Nazira, setakat ini anaknya sudah menjalani empat pembedahan secara berperingkat untuk membuang tanda lahir itu.

Menurutnya, tanda lahir pada Nuraneesa tebal seperti ada tempelan isi dan berbulu. Pembedahan dijalankan dengan persetujuan kanak-kanak itu dan selepas bertanya agamawan.

Iklan

“Sebelum itu saya sudah tanya orang agama kerana bimbang kalau kita mengubah ciptaan-Nya tetapi mereka cakap ia dibolehkan jika keadaan itu memudaratkan dan mengaibkan anak.

“Anak juga setuju buang bahagian yang terlalu ketara tetapi ada bahagian dia tak mahu buang,” katanya.

Congenital melanocytic nevus

1-Congenital melanocytic nevus ialah keadaan kulit yang dicirikan oleh tompokan kulit (nevus) bukan kanser yang luar biasa gelap. Ia terdiri daripada sel penghasil pigmen yang dipanggil melanosit.

2-Ia tumbuh sejak lahir (kongenital) atau ketara sejurus selepas lahir. Nevus mungkin kecil ketika bayi tetapi ia biasanya akan membesar pada kadar yang sama dengan pertumbuhan badan dan akhirnya akan berukuran sekurang-kurangnya 40 sentimeter (15.75 inci).

3-Nevus boleh muncul di mana-mana bahagian badan dengan warna gelap hingga hitam dan boleh menjadi lebih gelap atau lebih cerah dari semasa ke semasa.

4-Permukaannya pelbagai, ada pesakit yang mempunyai tanda lahir jenis ini yang rata, kasar, timbul, menebal atau beralun. Ia berbeza dan boleh berubah dari semasa ke semasa. Permukaan nevus sering kering dan terdedah kepada kerengsaan dan kegatalan (dermatitis) atau ditumbuhi rambut yang berlebihan (hipertrikosis).

Iklan

5-Individu yang mengalami tanda lahir jenis ini cenderung berasa cemas atau tekanan emosi susulan penampilan dan kesihatan mereka. Kanak-kanak yang mengalami congenital melanocytic nevusboleh mengalami masalah emosi atau tingkah laku.

6-Mereka juga mempunyai risiko 5 hingga 10 peratus lebih tinggi untuk mendapat kanser kulit yang agresif yang dipanggil melanoma jika tanda lahir berkenaan bersaiz besar.

7-Manakala jenis tumor lain juga boleh berkembang pada individu dengan congenital melanocytic nevus ialah tumor tisu lembut (sarcomas), tumor lemak (lipoma) dan tumor sel saraf (schwannomas).

Sumber: TikTok, Harian Metro, Medline Plus

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!