SEMALAM tular sebuah video berdurasi 2 minit 19 saat menunjukkan seorang anggota bomba turun ke bawah jambatan sambil diikat pada tali keselamatan untuk selamatkan seekor kucing.

Video itu menarik perhatian ramai netizen lebih-lebih lagi golongan pencinta haiwan comel itu.

Menariknya, SinarPlus berpeluang menemubual ‘hero’ dalam video tersebut.

Sejak lapan tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Syuhada Suleiman, 30, berkata ini kali pertama selamatkan kucing menggunakan tali penyelamat.

“Sebelum ini banyak kali terlibat operasi selamatkan kucing atas pokok, dalam lubang, tersepit dan sebagainya. Ini pertama kali saya menggunakan tali penyelamat,” katanya.

(VIDEO) Selamatkan kucing, bukan 'kakak bomba' tapi abang

Menceritakan detik dirinya dalam operasi itu, pada mulanya berasa sedikit takut kerana tengok keadaan ketika tu.

“Mula-mula takut juga bila tengok keadaan masa tu. Hari hujan. Arus deras. Masa nak turun tu automatik teringat anak dan isteri.

“Namun dengan lafaz Bismillah, saya terus mulakan langkah menyelamat kucing itu.

“Ya Allah, leganya perasaan saya ketika kucing itu sudah berada dalam pelukan saya masa kat bawah jambatan itu,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya.

Apabila ditanya berkaitan tular ‘kakak bomba’ di laman sosial, Mohammad Syuhada turut berasa geli hati bila ramai yang menyangka wanita.

“Sampaikan ada yang bergaduh-gaduh dalam Facebook kata wanita.

“Tapi saya dah biasa orang keliru wanita kerana kebetulan nama juga seperti kaum itu,” ujarnya yang juga dipanggil Ahling di kalangan rakan-rakannya.

(VIDEO) Selamatkan kucing, bukan 'kakak bomba' tapi abang

Iklan

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian pada jam 5.17 petang semalam.

“Maklumat diterima memaklumkan seekor kucing terperangkap di atas longgokan sampah hanyut yang tersangkut pada tiang jambatan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke D Island Putra Perdana, Puchong kira-kira jam 5.18 petang.

“Kerja menyelamat dijalankan menggunakan kaedah repelling dan sistem takal,” katanya.

Tahniah kepada pasukan bomba yang menjalankan tugas dengan cepat dan cekap menyelamatkan kucing yang kesejukan itu.

Kelihatan juga tuan kucing itu terus memeluk haiwan peliharaannya sambil menangis.

Iklan

Baca juga [VIDEO]”Teringat mak kat kampung…” – Sebak lihat video mak cik hantar keropok