ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha seorang yang aktif berkongsi pelbagai ragam anak-anak.

Tidak terkecuali juga beliau sering berkongsi tips dan panduan untuk ibu bapa menjaga anak-anak terutama bayi.

Berpengalaman membesarkan dua kali kelahiran kembar, beliau tidak pernah lokek memberikan ilmu kepada pengikutnya.

Terbaharu, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi sebuah video pasangan anak kembarnya, Eusoff dan Emelia serta memberikan info berkenaan maksud bayi menangis.

"Kami cuba mengelak daripada terus mengangkat bayi ketika mereka menangis. Biarkan selama beberapa minit. Tapi tetaplah berada di situ.

"Jadikan mereka terasa kehadiran kita. Biarkan mereka melihat kita berada di situ dan cuba menenangkan mereka terlebih dahulu," tulisnya di Instagram.

Menurutnya, tangisan bayi berbeza mengikut nada.

"Kenali tangisan... setiap tangisan disebabkan oleh asbab yang berbeza bergantung pada nada dan suara mereka.

"Ada tangisan pertukaran lampin,lapar, mengantuk dan perlukan pelukan.

"Setelah bayi mengetahui bahawa mereka akan diangkat atau didukung setiap kali selepas tangisan, mereka akan sering melakukannya. Itu boleh menyukarkan hidup. Oleh itu, perhatikan dan jangan tergesa-gesa," pesan beliau.

[VIDEO]"Tangisan bayi berbeza ikut nada" - Dr Sheikh Muszaphar

Dr Sheikh Muszaphar turut menjelaskan tangisan pasangan kembar comel itu.

"Tangisan Emelia menunjukkan dia lapar tetapi tidak terlalu lapar dan Eusoff hanya berusaha untuk berkomunikasi dengan pasangannya," ujarnya.

Baca juga Isteri hamil anak pertama, Nazrief Nazri bakal bergelar bapa

Terdahulu, Dr Sheikh Muszaphar, 48 tahun, dan Dr Halina, 39 tahun, mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka kini sudah dikurniakan enam cahaya mata iaitu Sophea Isabella, sembilan tahun, Sophea Natasha, tujuh tahun, dan anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, berusia tiga tahun serta pasangan kembar lain jantina, Eusoff dan Emelia berusia tiga bulan.