Anak kecil lambat bercakap tidak semestinya mereka autisme, ini penjelasan pakar

A
A
A

KINI, perkataan autisme bukanlah sesuatu yang asing dan janggal untuk kita dengari.

Namun, pada masa sama, kita tidak boleh sesuka hati melabel seseorang anak kecil itu mempunyai masalah autisme kerana masih ramai di antara kita yang masih belum benar-benar memahami akan masalah kesihatan itu.

Namun demikian, pasti ibu bapa di luar sana tertanya-tanya perbezaan autisme dan masalah lambat bertutur dalam kalangan anak kecil bukan?

Mengulas mengenai persoalan di atas, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pakar Psikiatri dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.

Melalui ciapan Twitternya, @DrRozanizam memberitahu, masalah lambat bertutur atau speech delay merupakan istilah umum yang merujuk kepada keadaan kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan pertuturan yang lewat berbanding usianya.

“Jika menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Ke-5, ia biasanya dikategorikan sebagai sejenis masalah dibawah kategori gangguan kecelaruan komunikasi,” kongsi Dr Rozanizam.

Ujarnya, antara tanda-tanda seorang kanak-kanak itu mempunyai masalah lambat bertutur adalah:

i) Lewat daripada perkembangan patah kata.

ii) Susunan ayat dan penggunaan pertuturan untuk komunikasi.

Namun demikian, tambah Dr Rozanizam lagi, kanak-kanak tersebut hanya boleh disahkan mengalami gangguan kecelaruan komunikasi jika tidak melibatkan masalah perkembangan dari aspek lain.

Artikel berkaitan: Dian Sastrowardoyo dedah wajah anak, kongsi 7 ciri-ciri anak autisme

Sebaliknya, gangguan spektrum autisme (ASD) pula merupakan masalah perkembangan neuro yang lebih luas, bukan sekadar isu pertuturan semata-mata.

Memperincikan mengenai gelaja ASD, Dr Rozanizam menyenaraikan tiga kategori utama masalah itu iaitu:

i) Perkembangan komunikasi

  • Melibatkan pertuturan lisan dan bukan lisan.

ii) Sosial

  • Kontak mata, minat dengan rakan sebaya, perhubungan dua hala dan kapasiti bermain yang terhad.

iii) Tingkah laku

  • Tindak balas secara berulang iaitu tingkah laku stereotaip.
  • Minat yang terhad kerana dapat dilihat melalui cara bermain yang tidak tipikal.
  • Kekakuan iaitu kekakuan kognitif dan tingkah laku seperti sukar bertolak ansur dengan perubahan.
  • Peraturan sensori seperti hiperaktif atau hipoaktif dan sensitif dengan deria tertentu seperti suara dan sentuhan.

Oleh itu, bukan semua kanak-kanak yang lambat bercakap adalah mereka yang mempunyai masalah autisme, sebaliknya ia merupakan salah satu daripada ciri-cirinya sahaja.

Jadi, ibu bapa jangan terlalu panik ya. Jika anda bimbang, berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan kepastian. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada ibu bapa di luar sana.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca