Rico Rinaldi lancar aplikasi fesyen, urusan pembelian jadi lebih mudah
MAJORITI pengusaha bisnes baik berskala besar mahupun kecil mengakui pandemik Covid-19 antara faktor utama yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi di seantero dunia.
Pelbagai sektor tergendala sehingga menyebabkan sebahagian besar terpaksa gulung tikar dek tak sanggup menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.
Selain sektor penerbangan dan industri perhotelan, sektor peruncitan melibatkan bisnes butik pakaian turut ditimpa situasi serupa.
Kesimpulannya, masing-masing hampir berputus harap, apatah lagi berdepan perintah supaya kekal di rumah bagi memerangi penularan Covid-19.
Keadaan berkenaan sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada operasi butik fizikal yang mana kiraan untung dan rugi semestinya bergantung pada jumlah kehadiran pelanggan.
Pun begitu, enggan membiarkan jenama dibina berkubur sepi dan sukar untuk menjangkakan bila berakhirnya pandemik, maka solusi terbaik beralih pada jualan secara online (dalam talian).
Tambahan pula, graf pembelian melalui platform digital menujukkan permintaan yang cukup mengalakkan. Barangkali, pengguna menyifatkan kaedah seumpama itu lebih selamat kerana tidak terdedah persekitaran luar.
Artikel berkaitan: (Video) DIY: Potong, tampal lace teknik Rico Rinaldi
Berbicara mengenai jualan online nampaknya Rico Rinaldi Tono antara pereka tempatan yang proaktif mencari inovasi baharu.
Jika sebelum ini, pencinta fesyen berpeluang memiliki produk di butik atau klik di laman web rasmi label label Rico Rinaldi, kini urusan pembelian semakin mudah dan menyeronokkan.
Masakan tidak, buat julung kalinya pereka kelahiran Kajang, Selangor itu melancarkan aplikasi fesyen, Rico Rinaldi yang boleh dimuat turun menerusi Play Store ataupun Apple.
"Dua tahun lalu, saya menghadiri kelas digital kendalian ejen pemasaran jenama antarabangsa Zara. Di sana, mereka menyarankan kumpulan pereka fesyen mempunyai satu aplikasi label di telefon pintar untuk kemudahan masa akan datang.
"Wujudnya aplikasi tersebut bukan sahaja memudahkan pelanggan mengetahui produk baharu dengan lebih cepat, bahkan membantu mengekalkan jenama pereka dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi SinarPlus hari ini.
Bagaimanapun, Rico terpaksa menangguhkan perancangan tersebut kerana beliau perlu menstabilkan perkara butik dan web terlebih dahulu.
Lagipun, proses mencipta aplikasi berkenaan memerlukan pelaburan modal yang besar.
"Enggan membiarkan lambakan stok busana statik di butik sahaja rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai fasa, maka saya komited membina aplikasi Rico Rinaldi di telefon pintar.
"Alhamdulillah, impian dua tahun lalu tercapai. Kini pengguna aplikasi Rico Rinaldi bakal menjadi yang terawal melihat produk baharu keluaran kami seperti busana pengantin, lebaran ataupun kasual," katanya mengenai aplikasi Rico Rinaldi yang bersaiz 68mb.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang