Buat kuih batang buruk guna kulit popia. Hasilnya lebih rangup, tak leceh dan rasa tetap umphhh…

NAMANYA memang tidak menarik, tetapi kesedapannya susah digambarkan dengan kata-kata.

Demikian gambaran kuih batang buruk yang bukan sahaja enak dimakan ketika lebaran, tetapi pada hari-hari biasa juga.

Seiring dengan kemodenan semasa, cara pembuatan kuih tradisi Melayu zaman berzaman itu juga sudah jauh berubah. Namun, rasa asli sajian berkenaan masih tetap sama.

Pada era nenek moyang dulu, tepung gandum perlu diuli dan dicanai nipis untuk membuat bahagian kulitnya.

Namun, kini kulit popia yang boleh didapati secara mudah di pasaran telah digunakan bagi mendapatkan hasil kulit kuih batang buruk dengan lebih cepat.

Nor Natasya Ebila Mohd Azian yang merupakan salah satu pembikin yang mempraktikkan cara berkenaan bercerita lanjut tentang transisi mudah penyediaan kulinari tersebut.

Baca juga: Sedapnya lempeng kampung, gebu & lembut sampai ke petang, ini resipi dari dapur bujang

“Orang dulu-dulu biasanya akan membuat kulit luar dengan menggunakan adunan campuran tepung gandum, tepung beras dan tepung kelapa yang diuli menjadi doh.

Kemudian, ia perlu dicanai sehingga nipis dan dibentuk menjadi silinder bulat berongga.

“Namun sekarang, saya dan mungkin beberapa pembikin kuih lain lebih senang memilih cara yang moden iaitu menggunakan kulit popia. Bukan sahaja senang, malah ia menjimatkan masa untuk membuat kuih batang buruk itu” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

 

Pun demikian, ujar gadis berusia 25 tahun itu, cabarannya cuma satu. Beliau perlu menjemur kulit popia yang telah digulung selama tiga jam di bawah pancaran cahaya matahari terik.

“Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, saya akan letak di bawah kipas untuk memastikan kulit popia kering sebelum digoreng. Sebenarnya, dari segi kulit luar sahaja dimodenkan, teknik penyediaan isi kuih masih berpaksikan dengan cara lama yang saya warisi daripada keluarga saya,” katanya.

Baca juga: Rangup & garing, jom cuba resipi lauk pantang bawang ikan bilis, buang angin & panaskan badan

Nor Natasya menambah, untuk menghasilkan inti kuih yang terbaik, biasanya beliau akan menyangai kuih kacang hijau sehingga betul-betul garing sehingga bertukar daripada warna hijau kepada rona coklat.

“Itu sahaja petua untuk mendapatkan rasa sedap kuih batang buruk,” ujarnya.
Kelebihan membuat kudapan tersebut turut membuka pintu rezeki apabila air tangannya mendapat perhatian orang ramai.

“Alhamdulillah, saya menjual kuih ini selepas mendapat banyak permintaan. Lazimnya, dalam satu hari, saya akan mengadun 3 hingga 5 kilogram kacang hijau dengan enam bungkus kulit popia. Lebih 20 balang kuih dapat dihasilkan. Harganya juga tidaklah terlalu mahal, cuma RM14 (sebalang),” kata beliau yang teruja kerana pelanggannya berpendapat kuih buatannya rangup, inti kacang padat dan tidak berbau hangit. -NUR SUHAIMA NORDIN

Baca juga: Ubah selera anak-anak dengan buat homemade English Muffin. Resipi ni gerenti jadi

Iklan

RESIPI KUIH BATANG BURUK

Bahan-bahan:
1 bungkus kulit popia besar
1 kilogram (kg) kacang hijau
1 biji telur
1 kg minyak masak
700 gram gula kastor

Baca juga:Resipi spageti goreng ringkas, mudah & sedap tak terkata confirm anak suka 

Cara penyediaan:
1. Pertama, sangai kacang hijau sehingga naik bau. Ketepi dan biarkan sejuk.
2. Kemudian, kisar sehingga halus. Campurkan dengan gula dan ketepikan.
3. Selepas itu, gulung kulit popia menggunakan straw dan lekatkan menggunakan telur atau air.

 

Iklan


4. Potong kulit popia yang siap digulung mengikut saiz yang dikehendaki. Jemur kulit popia sehingga kering terlebih dahulu.
5. Kemudian, goreng sampai garing dan toskan minyak.


6. Setelah siap, salut dan isikan bahagian tengah yang berlubang dengan bahan yang dikisar tadi.
7. Akhir sekali, masukkan kuih ke dalam balang.

Sumber: Nor Natasya Ebila Mohd Azian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!