Budak sekolah menengah pun sudah boleh menghidap kanser testis. Lelaki wajib tahu tanda-tanda awal penyakit ini

KANSER testis bermula pada buah zakar dan biasanya ditemui pada lelaki berumur antara 15 dan 40 tahun. Namun, lelaki mungkin mendapat penyakit itu pada sebarang umur.

Menurut Pakar Onkologi dan Radioterapi, Dr M Amir Shah, Gleneagles Hospital Pulau Pinang (gambar), kanser tersebut biasanya berlaku apabila sel-sel kanser berkembang di dalam tisu testis.

“Sel-sel itu tumbuh secara tidak terkawal dan boleh merebak ke seluruh badan,” katanya baru-baru ini.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (2012 hingga 2016), kanser testis menyumbang 1.2 peratus daripada kanser dalam kalangan lelaki Malaysia.

Meski ia sangat jarang berlaku, tetapi boleh menjejaskan kira-kira satu dalam 250 lelaki sepanjang hayat mereka.

Kepada SinarPlus, Dr M Amir Shah menjawab beberapa soalan signifikan tentang kanser testis.

1. Adakah kanser prostat dan testis berbeza?
JAWAPAN: Kanser prostat dan kanser testiS adalah dua jenis kanser yang berbeza. Kedua-dua organ lelaki yang berbeza lokasi dan fungsi.

2. Apakah tanda-tanda awal atau gejala biasa yang sering berlaku?
JAWAPAN: Berikut adalah simptom yang boleh dikaitkan dengan kanser testis:
a) Ketulan sama ada pada skrotum atau testis.
b) Pengumpulan cecair secara tiba-tiba atau mendadak dalam skrotum.
c) Bengkak skrotum atau testis.
d) Rasa berat secara tiba-tiba pada skrotum.
e) Sakit pada skrotum atau testis.
f) Testis yang mengecut.
g) Sakit perlahan pada kawasan pangkal paha atau di bawah perut.
h) Kelembutan pada tisu payudara.
i) Perbezaan dalam penampilan antara testikel.

 

3. Golongan umur yang berisiko menghidap kanser testis
JAWAPAN: Golongan umur yang berisiko menghidap kanser testis adalah bermula dari 15 hingga 30 tahun.

4. Apa jenis kanser testis?
JAWAPAN: Testis terdiri daripada banyak sel yang berbeza yang boleh berkembang menjadi pelbagai jenis kanser. Terdapat beberapa jenis kanser testis iaitu:
a) Seminoma
b) Teratoma
c) Limfoma

5. Bagaimanakah untuk mendiagnos kanser testis?
JAWAPAN: Kanser testis biasanya didiagnosis apabila benjolan atau perubahan abnormal pada buah zakar ditemui semasa pemeriksaan sendiri atau secara tidak sengaja. Beberapa teknik biasa yang mungkin digunakan oleh doktor anda untuk mendiagnosis kanser testis termasuk:
a) Biopsi.
b) Ujian pengimejan seperti imbasan tomografi berkomputer (CT), imbasan X-ray dan pengimejan resonans magnetik (MRI).
c) Ujian darah.

6. Apakah jenis rawatan untuk kanser ini?
JAWAPAN: Pilihan rawatan bergantung pada kesihatan, pilihan, tahap dan jenis kanser anda. Terdapat beberapa rawatan untuk kanser testis termasuk:
a) Pembedahan: Orkiektomi inguinal radikal adalah rawatan untuk kedua-dua seminoma dan bukan seminoma. Dalam proses ini, testis dengan tumor dikeluarkan. Pembedahan nodus limfa retroperitoneal (RPLND) adalah satu lagi bentuk pembedahan yang mana nodus limfa dan saluran darah besar pada bahagian belakang abdomen boleh dialihkan.
b) Terapi sinaran: Dos sinar-X yang tinggi digunakan untuk memusnahkan sel-sel kanser.
c) Kemoterapi: Ubat tertentu seperti cisplatin, bleomycin dan etoposide digunakan untuk memusnahkan sel-sel kanser. Kemoterapi bermanfaat untuk seminoma dan bukan seminoma.

BACA JUGA: Kanser testis paling kerap menerpa orang muda. Ini langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi pengesanan awal

BACA JUGA: Wahai lelaki, periksa sebulan sekali kesan kanser testis. Ini caranya

Iklan

7. Adakah perlu atau ada kekerapan untuk membuat pemeriksaan kendiri?
JAWAPAN: Seseorang boleh mula melakukan pemeriksaan kendiri mulai umur 15 tahun.
Tiada cara untuk mencegah kanser testis sepenuhnya. Namun, anda disarankan agar melakukan pemeriksaan sendiri testis secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali.

INFO TAMBAHAN:
Pemeriksaan sendiri untuk kanser testis

Sebaik-baiknya lakukan pemeriksaan diri testis selepas mandi kerana kulit skrotum mengendur akan memudahkan seseorang mengenal pasti sebarang kelainan.

Mulakan dengan menggunakan kedua-dua tangan dan jari untuk memeriksa setiap testis. Gulungkan testis di antara jari dan ibu jari.

Rasai sekeliling untuk sebarang ketulan yang mungkin berbeza-beza saiznya.
Mengalami sebarang ketulan atau benjolan adalah tidak normal dan perlu diperiksa dengan doktor.

Iklan

Akan ada struktur seperti tali pada bahagian atas dan di belakang testis. Bagaimanapun, ia hanyalah epididimis dan tidak boleh dikelirukan dengan ketulan.

8. Adakah pesakit masih berpotensi mempunyai zuriat? Bagaimana pula jika pesakit masih pada tahap 1 atau 2?
JAWAPAN: Biasanya kanser testis cuma menyerang satu testis. Jadi, masih ada satu testis yang normal. Ini bermakna, masih berpeluang untuk mempunyai zuriat. Doktor akan sarankan supaya pesakit melakukan sperm banking sebelum pesakit menjalani rawatan kemoterapi.

9. Adakah terdapat jenis makanan dan senaman yang perlu dielakkan untuk pesakit ini?
JAWAPAN: Tiada makanan atau senaman yang perlu dielakkan.

10. Apakah saranan doktor untuk mencegah kanser testis?
JAWAPAN: Kanser testis biasanya terjadi pada umur muda. Oleh itu, self-examination amat penting. Setakat ini, tiada apa-apa bukti yang mengaitkan makanan atau rokok kepada kanser testis. Kebanyakan pesakit kanser testis tidak merokok, berbadan sihat dan rajin melakukan senaman.