BAWANG goreng selalunya dijadikan bahan penghias makanan dan pelengkap selera bagi pengemarnya.

Ia memang sedap ditabur dalam masakan seperti sup, bubur, mi dan sebagainya.

Fuhhh! aromanya memang memikat kalbu.

Kebiasaannya jika membeli bawang goreng, susah untuk menepati citarasa yang diinginkan.

Oleh itu, SinarPlus kongsikan langkah satu persatu cara membuat bawang goreng yang sedap dan rangup.

Selepas ini, dah boleh buat sendiri di rumah. Rujuk sahaja langkah yang ditunjukkan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar ini.

Anda pasti boleh hasilkan bawang goreng yang sedap dan wangi selain terjamin kebersihannya.

Artikel berkaitan: Ayam goreng salut tepung rangup ala McD spicy simple guna 5 bahan

Projek petang ni siapkan bawang goreng.

Saya Tak suka beli bawang goreng yang dah siap Kat kedai…lebih suka buat sendiri sebab puas hati…sedapnya lain dan siap boleh buat kudap-kudapan.

Bawang goreng ni penting jugak sebab bila buat mi rebus, mi goreng.. mesti kena ada bawang goreng.

PETUA Saya untuk dapatkan BAWANG GORENG YANG RANGUP dan tahan lama ni satunya cara menggoreng tu kenalah banyak bersabar dan penyimpanan mestilah dalam bekas yang kedap udara.

Bahan-bahanya:

  • Bawang merah kecil (lagi sedap pakai bawang Rose India)
  • 2-3 sudu tepung jagung

Cara-caranya:

1. Bila dah kupas kulit bawang kecil, terus cuci dan toskan airnya. Kemudian hiris halus.

JANGAN DAH HIRIS BARU NAK CUCI. Ia tak akan garing sampai bila-bila

Gaulkan hirisan bawang dengan tepung jagung (jangan letak air), tabur-tabur manja sahaja.

Iklan

2. Panaskan minyak yang banyak. Pastikan minyak sederhana panas. Sebaiknya, gunakan kuali non-stick. Dan tabur sedikit garam dalam minyak.

3. Masukkan bawang yang dah dihiris ke dalam minyak panas dan kacau sekejap dengan menggunakan sudip penapis dengan api yang besar. Diamkan selama 1 minit.

Kemudian kecilkan api. Kacau selalu supaya tak mudah hangus.

4. Kena banyak bersabar kalau nak hasil yang terbaik.

5. Bila sebahagian bawang dah mula bertukar warna kekuningan, kacau-kacau sampai bawang mula bertukar warna kekuningan semuanya (part ni jangan sampai warna dia gelap) dan pastikan api sentiasa kecil untuk bagi dia masak dengan sempurna.

6. Angkat kuali daripadaapi, teruskan kacau lagi sampai dapat warna kecoklatan yang diingini. Jangan sampai gelap sangat warnanya sebab nanti rasanya pahit.

Iklan

7. Angkat bawang goreng dengan sudip penapis tu sambil toskan minyaknya.

Alihkan ke dalam bekas yang kita sediakan tadi. Biarkan betul-betul sejuk. Bila dah sejuk, leraikan bawang goreng tu perlahan-lahan ye untuk meleraikan isi bawang yang melekat.

Kredit resipi dan foto: Wan Muhammad Hafiz Satar via MAHN

Cara buat bawang goreng sedap rangup guna 2 bahan sahaja