Dilema wanita faraj terkunci, jangan risau. Pakar ini titipkan cara untuk atasinya
SUDAH berkahwin, namun masih belum menikmati malam pertama yang sempurna. Walau kedengaran agak janggal, hakikatnya situasi itu pernah berlaku pada sesetengah pasangan.
Antara puncanya adalah disebabkan si isteri berdepan dengan situasi yang dikenali sebagai vaginismus. Disebabkan faktor itu, ada yang sampai bercerai-berai.
Vaginismus atau dikenali dengan istilah faraj terkunci merujuk kepada kekejangan otot yang tidak disengajakan, sekali gus mengganggu penetrasi faraj seksual atau lain ke dalam faraj.
Keadaan itu akan mengakibatkan kesakitan ketika melakukan persetubuhan terutama ketika ia pertama kali dilakukan.
Menurut Medical News Today yang memetik laporan Sociedade Brasileira de Anestesiologia, kurang 7 peratus wanita di seluruh dunia mengalami masalah tersebut.
Bagi mengulas lanjut mengenai vaginismus, SinarPlus mewawancara Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital KPJ Medical Centre, Dr Che Hatikah Che Hanafi.
Memulakan diskusi, Dr Che Hatikah berkata, vaginismus bukanlah penyakit, tetapi ia adalah satu diagnosis atau keadaan faraj wanita yang mengalami kesukaran untuk melakukan hubungan seksual kerana aktiviti otot vagina yang tidak normal.
"Sekiranya seseorang didiagnosis menghidap masalah itu, mereka mudah berasa sakit ketika mahu bersama dan perkara itu menyebabkan hubungan seksual tidak berjaya.
"Otot vagina wanita yang ada vaginismus dengan yang normal sememangnya berbeza. Bagi wanita vaginismus, otot faraj mereka bertindak balas secara spontan dan tidak boleh dikawal oleh empunya diri," katanya.
Menambah perincian fakta, Dr Che Hatikah memaklumkan, apabila seseorang mengalami situasi sebegitu, amat mustahil untuk penis masuk ke dalam vagina.
Baca juga: Pakar perjelas ‘faraj terkunci’ bukan kecacatan, suami sabar sikit, ini 8 fakta berkaitan
Dalam pada itu, ujar Healthline, hal demikian tidak semestinya terjadi sewaktu melakukan hubungan seksual sahaja.
"Jika mereka memasukkan tampon ke dalam faraj atau ketika mereka mahu menyentuh kawasan berdekatan dengan vagina pun, vaginismus boleh terjadi," katanya.
Secara keseluruhannya terdapat dua kategori faraj terkunci. Ia terdiri daripada:
1. Vaginismus utama: Tidak berjaya melakukan hubungan kelamin.
2. Vaginismus sekunder: Berjaya melakukan persetubuhan, tetapi disebabkan beberapa faktor seperti trauma, pembedahan dan radiasi, mereka tidak boleh lagi melakukan hubungan intim.
Dr Che Hatikah berkata, kebanyakan pesakit yang beliau temui berada dalam kategori vaginismusutama.
“Jujurnya, saya rasa sungguh simpati dengan nasib pasangan baharu yang tidak berjaya melakukan hubungan seksual. Mengimbau kembali pengalaman dulu, saya pernah merawat pesakit yang telah mencuba pelbagai kaedah seperti menggunakan pelincir, tetapi tetap tidak berhasil,” ungkapnya.
Baca juga: Kanser organ faraj: Rawatan pembedahan ragut peluang untuk dapat zuriat?
Dr Che Hatikah menambah, disfungsi seksual yang dihidapi wanita sebenarnya secara tidak langsung boleh memicu kepada masalah mental.
“Disebabkan kegagalan ‘bersama’, kebanyakan wanita beranggapan bahawa diri mereka tidak berguna. Keadaan itu secara tidak langsung mengakibatkan mereka mengalami masalah depresi, kebimbangan dan kurang keyakinan diri,” terangnya.
Selain itu, menurut Healthy Women, keadaan itu juga akan boleh membuatkan seseorang sukar untuk hamil dan meningkatkan kadar pembedahan cesarean.
Lebih menakutkan, golongan berkenaan juga berisiko mendapat kanser serviks seandainya mereka takut untuk melakukan pemeriksaan serviks.
4 jenis rawatan
Kepada SinarPlus, pakar tersebut menambah, untuk menentukan seseorang ada vaginismus bukan hanya melihat kepada keadaan yang dialami mereka, tetapi terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira.
“Antaranya seperti sistem peranakan yang abnormal, ruang vagina sempit atau berlakunya jangkitan pada faraj,” ujarnya.
Adakah masalah faraj terkunci boleh dirawati dengan menggunakan teknologi perubatan yang semakin berkembang maju kini? Jawapannya, boleh, kata Dr Che Hatikah.
Antara kaedah rawatan yang boleh diguna pakai oleh doktor adalah:
1. Topical therapy: Pemberian krim yang boleh membantu mengurangkan kesakitan.
2. Pelvic floor physical therapy : Ahli terapi fizikal mengajar tentang cara mengendurkan otot lantai pelvis.
3. Vaginal dilator therapy: Menggunakan peranti berbentuk tiub yang terdapat dalam pelbagai saiz. Ia juga boleh membantu meregangkan faraj.
4. Terapi tingkah laku kognitif: Membantu pesakit menerusi aspek pemikiran, emosi dan tingkah laku. Rawatan ini berkesan untuk menangani kebimbangan, kemurungan dan gangguan tekanan selepas trauma.
Berita pakar itu lagi, sepanjang melakukan rawatan, kesemua pesakitnya berjaya melakukan hubungan kelamin dan ada dalam kalangan mereka berjaya hamil.
“Sekiranya berhadapan dengan wanita dengan vaginismus, saya juga membawa mereka merujuk pakar psikiatri kerana mereka mempunyai kemahiran untuk mengeksplorasi secara lebih lanjut tentang masalah dalaman yang dihidapi pesakit,” ungkapnya.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA
ANEKDOT
ANTARA kondisi kesihatan yang hampir sama dengan vaginismus:
Vaginal atrophy
-Merujuk kepada sistem tubuh wanita yang kekurangan estrogen selepas menopaus. Ia mengakibatkan lapisan faraj menjadi lebih nipis dan kering.
Vulvar vestibulitis
-Vulvar vestibulitis adalah keadaan wanita yang mengalami rasa sakit pada sekitar vulva (organ seks luar badan wanita). Keadaan itu menyebabkan kemerahan dan kerengsaan kulit serta sakit pada kelenjar di dalam kulit.
Vulvodynia
-Ia merupakan sakit kronik atau ketidakselesaan yang berlaku pada pembukaan faraj (vulva) yang puncanya tidak boleh dikenal pasti. Biasanya kesakitan boleh berlanjutan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Sumber CLEVELAND CLINIC & MAYO CLINIC, AMERIKA SYARIKAT
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang