ORGAN reproduktif wanita adalah organ yang berfungsi dalam penghasilan zuriat dan hubungan intim.

Organ ini meliputi kawasan luar faraj iaitu vulva, dinding faraj, pangkal rahim, rahim dan ovari/tiub falopio.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Di antara semua kanser organ reproduktif wanita, kanser pangkal rahim adalah kanser yang paling kerap berlaku diikuti oleh kanser ovari, kanser rahim, kanser vulva dan kanser vagina.

Kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga yang menyebabkan kematian wanita diikuti pula oleh kanser ovari yang menduduki tempat keempat.

Kanser bermula dari mutasi genetik dalam sel, sel yang sepatutnya mati dan diganti dengan sel baru sealiknya terus menerus berkembang biak menjadi kanser.

Sekiranya sel kanser dibiarkan tanpa dirawat, sel-sel ini akan keluar dari organ asal dan merebak ke organ lain melalui saluran limpa dan salur darah.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik da Ginekologi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Noor Azura Noor Mohamad, kanser organ reproduktif wanita boleh dibahagikan kepada tahap I, II, III dan IV, bergantung kepada kedudukan kanser yang dikesan melalui gabungan pemeriksaan fizikal dan pengimejan.

Kanser organ reproduktif wanita: Rawatan pembedahan ragut peluang untuk dapat zuriat?
Dr Noor Azura

Berikut penjelasan penuh Dr Noor Azura berkaitan kesan pembedahan kanser organ kelamin wanita terhadap kehamilan.

Pengkelasan tahap kanser organ reproduktif wanita adalah berdasarkan yang dikeluarkan leh International Federation of Gynecology and Obstetrics (FIGO).

Pengkelasan ini dikemaskini secara berkala bagi tujuan membantu pakar perubatan untuk memberi rawatan yang bersesuaian dengan tahap kanser pesakit, dan juga memudahkan proses kaunseling mengenai prognosis kanser.

Kanser tahap I berada di organ berkenaan sahaja manakala kanser tahap II, III dan IV melibatkan organ utama dan juga merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati.

Baca juga Pakar buang ketumbuhan kelenjar air liur seberat 3 kilogram! Ini apa yang berlaku

Kanser organ reproduktif berlaku secara senyap

Umum sedia mengetahui bahawa kanser organ reproduktif berlaku secara senyap dan wanita hanya mengetahui diagnosa kanser pada tahap yang lewat dan selalunya apabila ia telah melarat.

Kebanyakan wanita mengalami perubahan pada kitaran haid, pendarahan selepas hubungan intim, perut kembung, kurang selera makan dan perubahan pola membuang najis.

Seringkali petanda-petanda ini dikaitkan dengan salah makan, ketidakstabilan hormon, stress dan perubahan berat badan.

Adalah diakui sukar untuk wanita membezakan antara tanda-tanda kanser organ reproduktif, berbanding dengan perubahan yang bersifat sementara.

Perlu diingatkan agar wanita peka dengan perubahan dan petanda yang dialami ini dengan memerhatikan kekerapan dan corak perubahan untuk beberapa bulan.

Sekiranya petanda yang dialami berlarutan sehingga lebih dari 3 bulan, wanita disaran untuk merujuk kepada pakar perubatan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.

Ada beberapa jenis ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan pra-kanser (keadaan sebelum berlakunya kanser). Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Wanita yang sudah aktif melakukan hubungan seks perlu menjalani ujian saringan calitan pangkal rahim secara berkala.

Kanser organ reproduktif wanita: Rawatan pembedahan ragut peluang untuk dapat zuriat?
Ujian Imbasan CT Bagi Kanser Ovari

Adakalanya wanita berasa kurang selesa untuk menjalani ujian calitan pangkal rahim kerana segan dengan doktor lelaki dan juga risau dengan penggunaan alat seperti corong yang dinamakan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membolehkan pangkal rahim dilihat dan sampel diambil.

Dalam situasi ini, kaedah sampel kendiri (self-sampling) untuk mengesan virus human papillomavirus (HPV)boleh dilakukan kerana ia dapat mengesan virus HPV yang menjadi penyebab kanser pangkal rahim.

Untuk kanser ovari pula, ada ujian darah yang boleh dibuat untuk mengesan bacaan ‘tumour marker’ atau petanda kanser.

Ujian ini boleh dibuat bersama dengan ujian saringan kesihatan yang lain.

Bacaan petanda kanser dipengaruhi pelbagai faktor

Perlu diingatkan bahawa bacaan petanda kanser untuk mengesan kanser organ reproduktif di kalangan wanita pra-menopos boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti haid, endometriosis dan juga jangkitan di dalam rongga abdomen dan pelvik.

Jika ada sebarang persoalan mengenai keputusan ujian darah petanda kanser, wanita dinasihatkan untuk mendapat nasihat doktor.

Kaedah rawatan utama bagi kanser organ reproduktif wanita adalah melalui pembedahan.

Kaedah ini sesuai untuk ditawarkan kepada pesakit yang mempunyai status kesihatan yang baik yang membolehkan pesakit untuk menempuhi proses pembedahan dengan bius penuh.

Kebanyakan kanser organ reproduktif wanita dibedah melalui bukaan di perut secara menegak, dan sebahagian kecil boleh dibedah melalui kaedah laparoskopik atau robotik.

Kesesuaian jenis pembedahan akan dibincangkan oleh pakar perubatan berdasarkan pengkelasan tahap kanser tersebut.

Kanser pangkal rahim tahap I sehingga IIA boleh dirawat dengan kaedah pembedahan, manakala tahap yang lebih tinggi memerlukan kombinasi rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Bagi kanser ovari dan rahim pula, kaedah pembedahan boleh dilakukan untuk kesemua tahap kanser ovari beserta kemoterapi sebelum atau selepas pembedahan sekiranya perlu.

Kanser organ reproduktif boleh berlaku di kalangan wanita dari semua peringkat umur.

Apabila kanser organ reproduktif berlaku di kalangan wanita berusia dan mencecah usia menopos, pilihan rawatan pembedahan boleh ditawarkan dengan membedah keluar organ reproduktif utama iaitu rahim, pangkal rahim, kedua-dua ovari dan tiub falopio.

Organ lain juga akan dibedah seperti appendiks, omentum (lemak di bawah usus besar), sebahagian faraj dan kelenjar limpa, bergantung dengan jenis kanser yang dirawat.

Rawatan lanjut dalam bentuk kemoterapi atau rawatan bertarget (targeted therapy) akan dilakukan selepas wanita pulih dari pembedahan, bertujuan untuk mencegah pertumbuhan sel-sel kanser yang tidak dapat dilihat pada mata kasar.

Rawatan pembedahan membuang semua organ bagi orang muda

Walau bagaimanapun, rawatan pembedahan membuang semua organ utama reproduktif kadangkala kurang bersesuaian dengan pesakit yang masih muda dan memerlukan organ reproduktif untuk mendapatkan zuriat.

Iklan

Selain dari kehilangan upaya untuk menghasilkan zuriat, pesakit kategori umur ini juga bakal mengalami proses menopos pada usia yang jauh lebih muda daripada umur biasa iaitu 50 tahun ke atas sekiranya mereka menjalani pembedahan membuang semua organ reproduktif utama.

Kesan daripada menopos awal, wanita dalam kategori ini akan mengalami masalah tulang rapuh, kekeringan faraj, kerap membuang air kecil dan perubahan suhu badan mendadak (hot flushes).

Bagi wanita muda yang didapati mengalami kanser organ reproduktif peringkat awal, pakar gine-onkologi (kanser sakit puan) akan menawarkan pilihan menjalani rawatan pembedahan yang masih mengekalkan fungsi reproduktif.

Sebagai contoh, pesakit yang mengalami kanser pangkal rahim berukuran kurang dari 2 cm boleh menjalani pembedahan membuang sebahagian pangkal rahim (biopsi kon), mahupun pembedahan membuang keseluruhan pangkal rahim dan kawasan sekitarnya (trakelektomi radikal).

Baca juga Elak sembelit dengan cara semula jadi. Berikut 4 perkara dapat membantu

Bagi pesakit muda yang mengalami ketumbuhan pada satu ovari pula, mereka boleh menjalani pembedahan membuang ovari dan tiub falopio yang terlibat sahaja dan mengekalkan ovari yang sihat.

Untuk kanser dinding rahim peringkat awal, wanita muda masih berpeluang untuk mengelakkan pembedahan membuang rahim dengan mengambil pil hormon progestogen dos tinggi.

Selepas menjalani pembedahan yang masih mengekalkan fungsi reproduktif, wanita berusia muda ini akan ditawarkan rawatan susulan dalam bentuk kemoterapi atau rawatan bertarget sekiranya perlu.

Perbincangan dengan pakar

Dalam situasi ini, wanita perlu diberitahu bahawa kemoterapi akan menyebabkan mereka kehilangan sebahagian dari telur di ovari yang masih tinggal, yang akan mengurangkan tahap kesuburan.

Perbincangan dengan pakar yang merawat adalah sangat penting agar risiko dan kebaikan setiap rawatan boleh diperhalusi.

Kanser organ reproduktif wanita: Rawatan pembedahan ragut peluang untuk dapat zuriat?
Pangkal Rahim Pra-Kanser

Kadangkala, wanita dalam kategori ini perlu mengambil masa untuk berbincang dengan ahli keluarga atau pasangan sebelum memberi keputusan mengenai rawatan yang mereka pilih.

Bukan semua wanita muda bernasib baik dan datang ketika kanser masih dalam peringkat awal.

Iklan

Apabila saiz kanser terlalu besar, dikhuatiri ia boleh merebak sekiranya sebahagian organ dibedah dan sebahagian lagi ditinggalkan dalam badan.

Maka, wanita muda ini perlu juga menjalani pembedahan membuang organ reproduktif utama seperti yang dijalani oleh wanita yang berusia.

Ada juga wanita muda yang perlu menjalani rawatan radioterapi bagi mengecutkan kanser pangkal rahim yang terlalu besar dan tidak sesuai dibedah.

Wanita dalam kategori ini berpotensi untuk mengalami kesukaran untuk melakukan hubungan kelamin disebabkan oleh kekeringan faraj berpunca dari kekurangan hormon wanita dan juga kesan sampingan radioterapi.

Baca juga Pemindahan buah pinggang merupakan rawatan terbaik? Ikuti pencerahan pakar nefrologi terkenal negara

Wanita dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan diri

Ada wanita yang hilang keyakinan untuk menjalani hubungan kelamin disebabkan oleh rasa kurang yakin diri akibat dari kehilangan organ reproduktif.

Wanita ini perlu mendapatkan khidmat kaunseling agar mereka dapat merungkaikan gangguan emosi dan membina semula keyakinan diri, sekali gus memberi kekuatan untuk mereka kembali menjalani hubungan intim seperti biasa.

Kesimpulannya, kaedah rawatan pembedahan yang mengekalkan fungsi reproduktif boleh diberi, selagi kanser itu masih dalam peringkat awal.

Wanita dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perubahan diri seperti perubahan haid, pendarahan di luar waktu haid, perut kembung dan perubahan berat badan.

Pengesanan kanser di peringkat awal membolehkan wanita untuk mengekalkan organ reproduktif kerana hanya sebahagian kecil organ terlibat yang perlu dibuang.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI