Guna daun pandan asli, hasil puding pandan Thai lebih memuaskan hati

A
A
A

BIASALAH wanita, mudah terpengaruh untuk mencuba atau memasak makanan yang viral di media sosial. Begitu jugalah dengan Idayu Mohd Shafiee.

Dek kerana resipi khanum piak poon (puding pandan Thai) sering muncul di TikTok dan Instagramnya, Idayu tertarik untuk mencubanya.

“Apa yang saya lakukan selepas itu adalah membuat pencarian resipi tersebut menerusi Google. Daripada banyak resipi yang dikongsikan, saya pilih satu yang dapat maklum balas positif,” katanya membuka bicara.

Pertama kali membuatnya, wanita yang menetap di Puchong, Selangor itu mengikuti sukatan dan langkah yang dinyatakan dengan tepat. Disebabkan dirinya kurang menggemari makanan yang terlalu manis, sukatan gula dikurangkan.

"Walau saya tak pernah rasa makanan tersebut, namun puding pandan Thai air tangan saya amat memuaskan hati.

"Lebih menggembirakan, apabila adik ipar yang tinggal di Perlis dan selalu makan hidangan itu memberitahu, rasa juadah tersebut hampir sama dengan rasa puding pandan asli di Thailand," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Baca juga: Resipi ayam bakar ala Thai siap sos ‘terangkat’ habis! Tak rugi cuba memang sedap

Bercerita tentang proses penyediaan pencuci mulut itu, Idayu memberitahu, air pandan adalah bahan wajib untuk mendapatkan rasa yang sedap dan wangi.

"Saya tak guna guna langsung sebarang perasa atau emulco, sebaliknya saya kisar kira-kira 10 helai daun pandan untuk mendapatkan jusnya.

Selain naikkan aroma, warna kuih kita pun akan lebih cantik," ungkapnya. Bagi memberi kelainan, suri rumah itu mencadangkan agar menggunakan gula somtam berbanding gula pasir. Namun, jika item itu sukar dicari, memadailah menggantikannya dengan gula.

Baca juga: Rangup & garing, jom cuba resipi lauk pantang bawang ikan bilis, buang angin & panaskan badan

Secara keseluruhan, puding pandan Thai mengambil masa kira-kira 45 minit hingga satu jam untuk disiapkan. Dengan menggunakan api sederhana, adunan pandan perlu dikacau secara berterusan supaya ia tidak berkerak atau hangus.

“Cara saya, bila melihat adunan sudah pekat dan meletus-letus, saya ambil sedikit untuk rasa. Jika tidak rasa bertepung lagi, maka adunan sudah masak dan boleh diangkat," katanya.

Setelah adunan sejuk, boleh masukkan ke dalam beg piping dan paip puding mengikut saiz dan bentuk yang disukai. Langkah sama perlu dilakukan untuk adunan santan, namun ia biasanya mengambil masa lebih kurang dalam 20 hingga 25 minit sahaja.

Baca juga: Cucur udang gebu & rangup, ini resipi tanpa air kapur atau soda, macam orang dulu-dulu

"Puding yang tidak dimasak hingga kental akan cepat berair dan tidak sedap. Biasanya, untuk satu adunan resipi, saya boleh menghasilkan antara 30 hingga 35 bekas. Walau proses buat kuih ini remeh, tapi hasilnya memang mantap," katanya.

Ujar Idayu, sajian minum petang yang mempunyai rasa lemak manis dan masin itu sesuai dinikmati bersama secawan teh atau kopi O panas.

“Puding pandan Thai yang disimpan di dalam peti sejuk dan dinikmati sejuk-sejuk juga sangat enak. Taburan bijan yang disangai dan mempunyai rasa lemak menjadikan hidangan tersebut lebih terangkat,” ujarnya sambil ketawa kecil.

RESIPI KHANUM PIAK POON/ PUDING PANDAN THAI

Bahan A (adunan pandan)

280 gram (g) tepung beras cap teratai

108g tepung ubi

250g gula somtam

200g gula pasir

1 sudu teh garam

500ml air kapur (bancuh 1 sudu teh kapur dengan air)

1500ml air pandan (kisar daun pandan dan tapis)

Bahan B (adunan santan)

3 sudu besar tepung beras cap teratai

2 cawan santan sederhana pekat

1 sudu teh garam

Cara penyediaan:

  1. Sebati semua bahan A dan tapis.
  2. Masak mengguna api sederhana selama 45 hingga 60 minit.
  3. Adunan yang sudah masak akan meletus-letus dan kelihatan pekat berkilat.
  4. Biar adunan suam dan isikan ke dalam piping beg. Paip mengikut saiz dan bentuk kesukaan.
  5. Ulang langkah sama untuk adunan adunan santan.
  6. Masukkan adunan santan yang telah sejuk ke dalam botol sos dan picitkan ke dalam bekas berisi adunan pandan tadi.
  7. Taburkan bijan putih dan hitam.

Sumber IDAYU MOHD SHAFIEE

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca