Guna kelapa hiris bakar jadikan kuah lada olahan wanita ini lebih padu. Ini cara-cara penyediaannya yang mudah sangat

A
A
A

Guna kelapa hiris bakar jadikan kuah lada olahan wanita ini lebih padu. Ini cara-cara penyediaannya yang mudah sangat

SELAIN asam pedas yang menjadi signatur makanan penduduk Melaka, terdapat satu lagi menu istimewa yang menjadi kegemaran ramai.

Tidak lain tidak bukan ialah kuah lada. Namun, pada kali ini, SinarPlus menemui seorang anak jati Johor yang telah mengolah resipi itu untuk menjadikan hidangan berkenaan lebih tersendiri.

Ujar Nabihah Durrani, makanan tersebut sememangnya sesuai untuk disajikan kepada tetamu yang datang bertandang di rumah, lebih-lebih lagi apabila digabungkan dengan sambal belacan, ikan masin dan nasi panas.

Kongsi Nabihah, berbeza dengan kuah lada air tangan kebanyakan penduduk di bumi Hang Tuah, beliau membubuh isi kelapa yang dibakar garing ke dalam kuah.

"Saya tak jadikannya sebagai kerisik, sebaliknya hanya tumbuk kasar kelapa garing itu," katanya yang menetap di Pasir Gudang, Johor.

Menamakan menunya sebagai Kuah Lada Kelapa Bakar Durrani Damar, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, beliau mempelajari cara memasak masakan tersebut melalui arwah mak ciknya.

“Boleh dikatakan setiap kali kami datang menziarahinya, menu tersebut menjadi lauk wajib. Cuma resipi arwah tidak campur dengan isi kelapa bakar seperti yang saya lakukan," ujarnya.

Beritahu Nabihah, idea tersebut timbul tatkala beliau minum air kelapa bakar sambil makan tomyam di sebuah kedai beberapa tahun lalu.

"Jadi, saya terfikir kalau olah resipi kuah lada dengan isi kelapa tersebut, mungkin rasanya lebih umphh,” katanya.

Memang benar, dengan penambahan satu bahan tersebut (kelapa), kuah ladanya lebih menambat selera.

Tidak kedekut ilmu, wanita ramah itu terus berkongsi resipi Kuah Lada Kelapa Bakar Durrani Damar di platform media sosial.

“Memang penangannya lain macam bila ramai kawan-kawan minta resipi atau minta masakkan lauk tersebut. Sampaikan saya pernah bersedekah setiap Jumaat untuk mereka yang mengidamnya,” kata wanita berusia 38 tahun itu.

Uniknya cara masakan Nabihah, beliau lebih suka menggunakan isi kelapa muda yang dibakar menggunakan ketuhar berbanding kerisik segera. Baginya, kesedapan sajian lebih terasa.

“Saya tahu resipi campur kerisik itu tapi belum pernah cuba lagi. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka suka cara mudah.

"Namun, saya lebih suka hirisan kelapa bakar tersebut. Sebab bila kita makan, isi kelapa yang digabungkan dengan ikan siakap atau ikan merah memang enak tak terkata,” tuturnya.

Menjadikan hidangan itu lebih berempah, empunya diri turut menambah rempah seperti jintan manis, putih, lada hitam dan ketumbar.

“Mahu menu ini jadi lebih sedap, saya nasihatkan anda menumbuknya. Kalau guna serbuk segera, rasanya kurang menyengat,” ujarnya yang juga menjual roti gergasi viral, Golden Pillow dengan pilihan inti seperti ketam, udang, ayam dan snow crab di sekitar Johor.-ARZIANA MOHMAD AZAMAN

RESIPI KUAH LADA KELAPA BAKAR

Bahan-bahan

Cili kering *

Halia *

Kunyit hidup *

Bawang merah *

Bawang putih *

1 sudu besar jintan manis *

1 sudu besar jintan putih *

1 sudu besar lada hitam *

1 sudu besar ketumbar *

(Bahan bertanda * perlu dikisar halus)

Bawang merah (ditumbuk)

Bawang putih (ditumbuk)

Halia (ditumbuk)

1 sudu besar halba (digaul sahaja )

Kelapa bakar (dihiris nipis atau ditumbuk kasar)

Asam jawa

Air secukupnya

Daun limau purut (kalau tiada, boleh guna daun kesum)

Pilihan sayur seperti tomato, terung atau kacang bendi

Garam dan perisa Ajinomoto secukup rasa

Cara penyediaan:

-Panaskan minyak.

-Tumis bahan tumbuk dahulu .

-Kemudian masukkan bahan kisar dan masak sampai naik bau.

-Masukkan kelapa bakar yang sudah dihiris atau ditumbuk kasar.

-Masukkan ikan, air asam jawa dan air. Biarkan sehingga mendidih.

-Masukkan daun limau purut atau daun kesum .

-Masukkan terung, bendi atau tomato .

-Masukkan garam dan Ajinomoto secukup rasa.

-Siap untuk dihidang.

BACA JUGA: Soto ayam simple tapi power! Ini rahsia buat kuah pekat, likat & sedap

BACA JUGA: Buat sendiri solok lada tak susah pun, puas hati makan. Wanita tunjuk cara frozen untuk Ramadan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca