Guna kordial sarsi masak kepak ayam. Rasanya sangat padu, unik. Jom cuba
TUKANG masak zaman sekarang memang cukup kreatif.
Masakan tidak, pelbagai bahan yang adakalanya tidak pernah terfikir oleh kita dijadikan salah satu rencah bagi memantapkan lagi sajian yang disediakan.
Wan Rogayah Wan Muhamad yang dihubungi penulis baru-baru ini misalnya, memperkenalkan olahan menunya yang dinamakan Kepak Ayam Sarsi.
Ujar Wan Rogayah, juadah tersebut mengambil inspirasi daripada masakan yang sering dimasak oleh cef-cef dalam kalangan kaum Tionghua.
"Kedengaran macam sedikit pelik apabila kordial sarsi yang selalu dibuat air digunakan untuk memasak.
"Namun, apa yang saya boleh katakan, kombinasi sarsi dengan bahan-bahan lain seperti bawang, kicap, rempah empat sekawan, halia dan lain-lain dalam resipi saya ini sangat sedap tanpa menenggelam sedikit pun (rasa) sarsi itu," ujarnya bersungguh.
Seperti kulinari Cina, bagi membangkitkan rasa, minyak bijan turut ditambah. Namun, kata wanita itu, bahan tersebut boleh sahaja diabaikan kerana sesetengah orang tidak gemar dengan aroma minyak berkenaan.
Dalam pada itu, ujar Wan Rogayah, selain kepak, bahagian ayam lain sebenarnya turut boleh digunakan.
"Sebagai contoh, jika anak-anak sukakan bahagian paha, si pembikin boleh sahaja menggunakannya, tidak ada masalah. Namun, bagi saya, bahagian kepak lebih 'padu' kerana bahan-bahan yang dipakai akan cepat meresap masuk, senang untuk digigit dan paling cepat masak. Pun demikian, ia terserah kepada selera masing-masing sebenarnya,” katanya.
Berkongsi mengenai tip mendapatkan rasa yang seimbang, ujarnya, pastikan kuantiti kordial sarsi yang dimasukkan sesuai dengan berat ayam.
“Bukan itu sahaja, tukang masak juga perlu tahu jenama sarsi yang disukai agar rasanya jauh lebih ‘menyengat’ dan sedap,” beritahunya.
RESIPI KEPAK AYAM SARSI
Bahan-bahan
- 300 gram kepak ayam
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/4 sudu kecil serbuk lada putih
- 4 sudu besar minyak masak
- 2 tangkai cili kering, (buang biji)
- 2 tangkai daun bawang (potong kasar)
- 1/2 inci halia (dihiris)
- 3 ulas bawang putih (dihiris)
- 1 labu bawang merah (dihiris)
- 1 biji bunga lawang
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 sudu besar kicap cair
- 1/2 sudu besar kicap pekat
- 1/4 sudu kecil minyak bijan
- 1/4 cawan kordial sarsi
Bahan hiasan
- Bijan sangai
- Hirisan daun bawang
Cara penyediaan:
- Cuci ayam dan toskan.
- Gaul dengan garam dan serbuk lada putih.
- Panaskan minyak dan goreng setengah masak.
- Kemudian, angkat dan ketepikan.
- Dalam minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
- Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis dan daun bawang.
- Selepas itu, tumis sehingga naik bau.
- Masukkan kicap cair, kicap pekat, minyak bijan dan kordial sarsi.
- Kemudian masukkan ayam, gaul rata dan masak sehingga kuah pekat.
- Hidang dengan taburan daun bawang dan bijan.
Sumber Wan Rogayah Wan Muhamad
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang