Haid normal 7 hari, ini 9 punca jika pendarahan lebih 15 hari

A
A
A

KEBIASAANNYA darah haid yang normal adalah lebih kurang 7 hari.

Namun ada wanita yang mengalami pendarahan haid melebihi 15 hari sehingga menyebabkan wajah menjadi pucat dan cepat penat, sehingga rutin seharian terganggu.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad dalam perkongsiannya di Facebook mengatakan keadaan ini dinamakan Menorrhagia apabila kedatangan haid yang berpanjangan dan kehilangan darah yang banyak.

Banyak punca berlaku keadaan seperti ini, antaranya;

1. Ketidakseimbangan hormon.

Dalam kitaran haid yang normal, keseimbangan di antara hormon estrogen dan progesteron akan menyebabkan lapisan dalam rahem (endometrium) menjadi tebal, kemudian akan runtuh menjadi darah haid.

Jika ketidakseimbangan hormon berlaku, endometrium berkembang secara berlebihan dan akhirnya menyebabkan pendarahan haid yang banyak.

2. Kegagalan fungsi ovari.

Jika ovari tidak berfungsi dengan baik, ia tidak melepaskan telur dan ovulasi tidak berlaku.

Ini mengakibatkan tubuh gagal menghasilkan hormon progesteron, dan akhirnya membawa kepada ketidakseimbangan hormon dan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak.

3. Fibroid rahim.

Fibroid rahim boleh menyebabkan pendarahan haid yang lebih banyak dan berpanjangan dari biasa.

4. Polip.

Ia adalah ketumbuhan yang kecil dan tidak berbahaya yang muncul pada permukaan dalam rahem dan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan.

Polip rahim sering berlaku pada usia wanita 30an akibat penghasilan kadar hormon yang tinggi.

5. Adenomyosis.

Keadaan ini berlaku apabila kelenjar pada lapisan dalam rahem (endometrium) menjadi tertanam di dalam otot rahim, biasanya menyebabkan pendarahan berlebihan dan haid yang menyakitkan.

Adenomyosis sering berlaku pada wanita pertengahan umur yang telah mempunyai anak.

Haid normal 7 hari, ini 9 punca jika pendarahan lebih 15 hari

6. Alat perancang kehamilan dalam rahim (IUD).

Menorrhagia merupakan kesan sampingan apabila seorang wanita menggunakan alat perancang kehamilan IUD yang tidak mempunyai tambahan hormon. Jika IUD

adalah penyebab pendarahan haid yang berlebihan, maka dinasihatkan agar alat ini dikeluarkan.

7. Kanser.

Kanser rahim, kanser ovari dan kanser pangkal rahim juga boleh menyebabkan pendarahan haid yang berlebihan, tetapi jarang berlaku.

8. Penyakit keturunan berkaitan dengan gangguan pembekuan darah.

Penyakit seperti penyakit Von Willebrand, suatu keadaan di mana pembekuan darah sukar berlaku, ia boleh menyebabkan pendarahan haid yang tidak normal.

9. Ubat-ubatan.

Ubat-ubatan tertentu, termasuk ubat-ubatan tahan sakit dan pencair darah boleh menyumbang kepada masalah pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan.

Baca juga Kanser payudara, kolorektal, paru-paru paling kerap menyerang rakyat Malaysia

Menurutnya, antara rawatan adalah termasuk ubat-ubatan dan pembedahan.

Alat kontraseptif dalam rahim Levonorgestrel (LNG-IUD) – Mirena iaitu alat kontraseptif yang mengandungi hormon progestogen ini dimasukkan ke dalam rahim oleh pegawai perubatan. Hormon yang dilepaskan boleh membantu menstabilkan lapisan rahim bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat.

Selain itu ialah ubat tanpa hormon. Contoh ubat yang boleh digunakan termasuk asid tranexamic dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS).

Ubat-ubat ini tidak mengandungi hormon maka ia tidak akan menjejaskan tahap kesuburan pesakit.

Ubat hormon pula termasuk pil kontrasepsi gabungan yang mengandungi estrogen dan progestogen atau tablet progestogen boleh membetulkan ketidakseimbangan hormon bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat.

Ubat-ubat ini juga merupakan kontraseptif yang boleh mencegah kehamilan daripada

berlaku.

Bagi rawatan pembedahan pula termasuk pembedahan membuang rahim (hysterectomy) atau membuang selaput rahim (endometrium).

Prosedur membuang selaput rahim ini dipanggil reseksi endometrium.

Ia merangkumi pembakaran dengan tenaga elektrik atau gelombang mikro.

Mereka yang menjalani pembedahan hysterectomy tidak akan mengalami pendarahan haid lagi, akan tetapi keperluan membuat pembedahan ini perlu diimbang dari segi kosnya yang mahal dan juga kesan sampingan lain.

Reseksi endometrium adalah pilihan yang baik jikalau pesakit tidak mahu menjalani pembedahan histerektomi.

Rawatan reseksi endometrium boleh dibuat di kebanyakan hospital besar di Malaysia.

Jadi, jika korang ada mengalami pendarahan lebih 15 hari, seeloknya terus berjumpa doktor ya!

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca