KANSER merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi bukan sahaja kepada pesakit, keluarga malah kepada negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod, pada tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 11 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu berbanding tahun 2007 hingga tahun 2011.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA.

“Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus),” katanya dalam kenyataan media kepada SinarPlus baru-baru ini.

Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku.

Menurut Health Facts terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 33.19 peratus dan keempat utama di hospital kerajaan (12.18 peratus).

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Noor Hisham berkata, satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu:

i) Berat badan yang berlebihan.
ii) Kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
iii) Kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok.
iv) Pengambilan alkohol.

Daripada empat faktor itu, pengambilan tembakau merupakan pencetus kanser utama iaitu menyumbang sebanyak 22 peratus kematian.

“Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit kronik yang lain. Sebagai langkah pencegahan, kementerian sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Di samping itu, ujar Dr Noor Hisham, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk murid sekolah perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan imunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati.

Pun demikian, ujar beliau, pengesanan awal dan rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Iklan

Bagaimanapun, peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (tahap 3 dan 4) meningkat daripada 58.7 peratus pada tahun 2001 hingga tahun 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga tahun 2016.

“Bagi mengelak kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan.

“Selain itu, penting untuk seseorang mengenali tanda dan gejala awal kanser,” katanya.

Orang ramai juga diminta memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma seperti yang ditawarkan oleh KKM.

Iklan

Bukan itu sahaja, perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu, kata Dr Noor Hisham.

Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari tahun ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini.