Hanya rujuk media sosial, kombinan elemen klasik & moden rumah wanita ini boleh buat ramai ternganga

MELIHAT setiap inci dekorasi kediaman milik Nurzaira Azreena Rahamat atau mesra disapa Rina membuatkan SinarPlus terkedu.

Tiada perkataan yang bermain dalam benak kecuali elegan dan menawan! Penulis memberi markah penuh kepadanya dari segi susun atur dan kemasan setiap ruang.

Mengetengahkan gaya tradisional dan moden, Rina berjaya menterjemahkan konsep tersebut. Pemilihan aksesori dan perabot yang dilakukannya memang nampak kena pada mata yang melihat.

Bercerita tentang konsep yang menjadi pilihan hati, beliau mengakui, medium sosial media seperti Instagram menjadi rujukan untuk mencari ilham.

Baca ni ‘Cantiknya wet kitchen ala tepi taman.’ Ruang Dapur Memey Suhaiza curi perhatian. Kemas & kreatif!

“Selain itu, ia datang daripada hasil pembacaan saya menerusi Pinterest dan program dekorasi di kaca televisyen. Kalau ikutkan, kombinasi baharu dan lama ini nampak sederhana.

“Pun demikian, kita kena bijak bermain dengan warna dan menyusun segala item agar sentiasa nampak kemas, menarik dan paling mustahak, ia menyenangkan,“ ujar beliau sambil mengakui, tiada bajet khusus yang diperuntukkan memandangkan segalanya dilakukan mengikut kemampuan.

Meneliti satu persatu, Rina menjadikan sofa, meja kopi dan kerusi makan (accent chair) dalam mengetengahkan elemen kemodenan di ruang tamu rumahnya.

Sementara di ruang makan, terserlah ciri-ciri klasik pada kerusi dan meja.
Suri rumah berusia 43 tahun itu menambah, secara keseluruhan, terdapat empat buah bilik dan sebuah bilik utiliti.

“Pun demikian, untuk lebih keselesaan buat seisi keluarga, saya dan suami mewujudkan satu bilik tambahan untuk pantri, bilik cucian dan juga almari pakaian,“ jelasnya yang sudah dua tahun menetap di rumah beliau di Skudai, Johor dan hanya sekali melakukan penambaikan.

 

Baca ni Wanita ini kongsi DIY pencuci homemade guna tiga bahan jer. Siap bantu tanggalkan kesan karat!

Warna hijau bumi

Mengulas lanjut, Rina berkata, pemilihan rona sangat signifikan bagi mahligainya yang berkeluasan 236.9 meter persegi.

Bagi memastikan setiap ruangan ada kesinambungan, beliau memberi penekanan kepada warna dinding.

“Saya mahu semuanya nampak serasi. Jadi, saya memilih simbahan rona putih di kesemua dinding. Memang mudah untuk kita memadankannya dengan sebarang kelengkapan mahupun hiasan,“ katanya.

Pun demikian, penggunaan warna seperti coklat kayu, biru dan hitam juga digunakan, namun tidak banyak.

Di bahagian dapur pula, ibu kepada tiga cahaya mata itu cenderung memilih rona hijau bumi yang selalu menjadi kegemaran dapur orang Inggeris.

Iklan

Untuk Rina, bahagian pulau (island) dipilih untuk mendominasi nuansa tersebut. Begitu juga dengan kawasan membasuh baju.

Berpendapat bahawa pintu meluncur atau sliding door kurang praktikal, beliau sepakat menukarnya dengan pintu boleh lipat berkapasiti tinggi.

“Ia akan menjadikan ruang tampak lebih luas dengan tambahan kesan pencahayaan semula jadi,“ ujarnya.

Menyentuh kembali tentang identiti dapurnya yang nampak begitu sofistikated, Rina terlebih dulu berkata, tiada istilah dapur basah atau kering sepertimana kediaman lain.

Baca ni Sheila Rusly tayang ruang dapur bikin ramai kagum. Kemas & cantik macam showroom!

Namun, pandangan penulis tertancap dengan pantri yang terletak di halaman belakang kediaman. Meskipun, kabinet dapurnya berwarna putih, kekemasan dan kebersihan dijaga dengan begitu rapi.

Diminta berkongsi tip bagi memastikan kediaman sentiasa nampak kemas dan cantik walau memiliki anak kecil, berikut nasihat Rina:

Iklan

“Hadkan ruang yang boleh disepahkan. Pada masa sama, televisyen juga tidak seharusnya diletakkan di ruang tamu utama. Ini bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa kemas dan kita pada bila-bila masa boleh menerima kehadiran tetamu.“

Baca ni Tak sangka mop guna pencuci pinggan je, hasilnya lantai & licin berkilat. Debu-debu pasir pun hilang!

Beliau berpandangan, gajet tersebut seharusnya diletak di dapur atau di tingkat atas rumah.

“Selain itu, banyakkan bakul di setiap ruang supaya setiap permainan anak-anak boleh sorokkan di situ,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi