Hukuman mati Awari bunuh, perkosa jururawat depan anak diganti dengan penjara 40 tahun. 'Perbuatannya kejam, agresif dan ganas'

No Image Caption
A
A
A

SEMBILAN tahun lalu, kes tragis pembunuhan dan pemerkosaan jururawat, Yashmin Fauzi di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan pernah menggemparkan negara.

Masakan tidak, jenayah tidak berperikemanusian oleh pelaku, Mohammad Awari Ahmad yang berusia 22 tahun ketika itu pernah disifatkan terlalu kejam, agresif dan ganas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham.

Malah, lebih menyentuh hati, perbuatan berkenaan dilakukan di hadapan anak mangsa yang baru berusia lima tahun!

Namun, ditakdirkan mangsa yang cedera parah dikelar dan dinoda sempat menulis 'petunjuk penting' tentang pembunuh dan kemudian ditemui suaminya.

Allahyarham Yashmin Fauzi.
Allahyarham Yashmin Fauzi.

Jika diimbas kembali, peristiwa berdarah itu terlalu menyayat hati. Berikut adalah fakta kes dan kronologi pembunuhan pada 1 Mac 2015:

1-Kejadian berlaku di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Batu Papan antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi ketika mangsa sedang tidur bersama tiga anaknya.

2-Menurut pelaku, ketika memecah masuk rumah berkenaan, mangsa terjaga dan terkejut ketika menyedari apabila biliknya dimasuki beliau yang ingin mencuri.

3-Difahamkan, ketika kejadian, suami mangsa, Mohd Azrul Isahak, 30, yang juga sukarelawan polis sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

3-Awari dikatakan menetak leher dan merogol mangsa ketika darah sedang mengalir membuak-buak. Pelaku dalam keterangannya sendiri menyatakan mangsa mengalami kesukaran bernafas akibat kelaran pada leher ketika diperkosa.

Lokasi mangsa ditemui suaminya pada jam 2 pagi
Lokasi mangsa ditemui suaminya pada jam 2 pagi

4-Perbuatan kejam tersebut turut dilihat sendiri oleh anak lelaki mangsa yang ketika itu berumur lima tahun.

5-Mohd Azrul yang berasa tidak sedap hati dan hilang tumpuan ketika bertugas meminta izin pegawainya pulang ke rumah seketika.

6-Namun selepas kembali ke rumah, Mohd Azrul menemui Yashmin dalam keadaan berlumuran darah, berselimut tetapi tidak berpakaian serta separa sedar di sebatang jalan kira-kira 100 meter dari rumahnya pada jam 2 pagi.

7-Mohd Azrul kemudian bergegas ke rumah bapanya yang terletak berdekatan untuk meminta pertolongan.

8-Keluarganya kemudian bergegas membawa wanita itu ke Hospital Gua Musang.

9-Selepas memasuki rumah, Mohd Azrul juga menyaksikantiga anaknya yang berumur lima tahun, tiga tahun dan enam bulan yang sedang berbaring di atas tilam yang berlumuran darah.

10-Yashmin sempat menulis nota semasa dirawat di HGM. Nota tersebut dibaca: "anak abe mat tanah putih yang rogol dan kelar samun duit".

11-Allahyarham meninggal dunia 6.40 pagi selepas empat jam menerima rawatan di bilik kecemasan hospital berkenaan namun 'petunjuk' penting yang ditinggalkan membawa kepada penangkapan Awari yang juga jiran mereka.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu bertemu dengan Mohd Azrul, anak-anaknya dan ibu bapa dalam satu majlis pada tahun 2015 di Kota Bharu. (Kredit foto: Harian Metro)
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu bertemu dengan Mohd Azrul, anak-anaknya dan ibu bapa dalam satu majlis pada tahun 2015 di Kota Bharu. (Kredit foto: Harian Metro)

12-Difahamkan, lelaki itu turut 'meraikan' perbuatannya dengan meminum tujuh botol arak di sebuah restoran berdekatan selepas mencuri wang RM200 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa.

13-Jasad mangsa disahkan mengalami 11 kecederaan, antaranya di leher dan tangan. Dalam kes berkenaan, pelaku mengaku menggunakan parang untuk mengelar bahagian kiri dan kanan leher wanita itu.

Anak-anak mangsa ketika ditemukan oleh datuk mereka pada pagi kejadian terkejut dan menangis di dalam bilik. Baju salah seorang daripada mereka dipenuhi darah dipercayai sempat memeluk si ibu
Anak-anak mangsa ketika ditemukan oleh datuk mereka pada pagi kejadian terkejut dan menangis di dalam bilik. Baju salah seorang daripada mereka dipenuhi darah dipercayai sempat memeluk si ibu

HUKUMAN MATI DIGANTI PENJARA 40 TAHUN

Susulan itu, Awari didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 31 Jan 2018 kerana membunuh.

Malah Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf pada tahun 2020 sebulat suara menolak rayuan hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Mahkamah Persekutuan hari semalam menggantikan hukuman mati bekas pekerja kilang papan itu dengan penjara 40 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohammad Awari Ahmad di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Mahkamah Persekutuan itu turut mengarahkan pelaku yang kini berusia 31 tahun dikenakan sebatan 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Mac 2015.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Harmindar berkata meskipun keadaan jenayah yang dilakukan oleh Mohammad Awari agak luar biasa namun terdapat satu faktor pengurangan yang melepaskan dia daripada tali gantung iaitu umurnya yang masih muda ketika kejadian.

Beliau juga memerintahkan Mohammad Awari yang turut telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan merogol menjalani hukuman penjara bagi sabitan membunuh serentak dengan hukuman jenayah berkenaan.

Turut bersidang, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sumber: Harian Metro 1, 2, 3, Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang