‘Ibu bapa letak baju baru siap tag harga…’Inisiatif prihatin sekolah ringan beban keluarga anak ramai
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/13/thumbs/900x900/3005836.jpg)
SESI persekolahan bakal bermula tidak lama lagi.
Pasti ramai dalam kalangan ibu bapa yang pening kepala memikirkan perbelanjaan anak-anak.
Mana tidaknya, kos untuk membeli baju sekolah, kasut, beg, dan alat tulis bukanlah sedikit, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.
Namun, satu inisiatif luar biasa mula mendapat perhatian apabila sebuah sekolah tampil dengan solusi bijak bagi membantu keluarga yang memerlukan.
Menerusi perkongsian Wan Luqman di Facebook, Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak 2 mengambil pendekatan unik dengan menggalakkan ibu bapa yang berkemampuan atau memiliki pakaian sekolah terpakai tetapi masih elok untuk menyumbangkannya ke sekolah.
Menariknya, ampaian yang dahulunya kecil dan hanya terletak di pondok keselamatan kini berubah wajah apabila semakin ramai ibu bapa tampil menyumbang.
“Dulu ampaian ni kecik je letak kat depan pondok jaga. Alhamdulillah sekarang ampaian dah makin besar,” katanya.
Lebih mengujakan, menerusi gambar yang dikongsikannya, terlihat lebih 50 helai baju sekolah serta beberapa beg tersusun kemas di dewan utama sekolah.
Bukan sekadar pakaian terpakai, malah ada baju baharu lengkap dengan tanda harga turut didermakan oleh penyumbang yang pemurah.
“Terdapat ibu bapa yang letak baju baru yang masih ada tag tanda harga.
“Terbaik semua parents sekolah SETEGUH,” tambahnya.
Wan yang juga pencipta kandungan digital berkata ibu bapa yang mengalami kesempitan kewangan bebas untuk memilih dan mengambil sumbangan yang disediakan.
Lebih menarik, perkongsian yang menerima lebih 200 tanda kongsi itu turut menemukan lebih banyak sekolah lain yang telah mengamalkan inisiatif sama.
“Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin Nilai juga buat. Ini tahun kedua saya uruskan. Betul sgt membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan.
“Sekolah anak pun ada buat, geng Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (AJK PIBG) punya program.
“Bolehlah ringankan beban mak ayah yang kurang berkemampuan,”komen warganet.
Nampaknya, budaya saling membantu dan berkongsi rezeki ini semakin berkembang dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak sekolah untuk memulakan langkah serupa.
Moga usaha sebegini dapat membantu anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan gembira!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang