Rai hampir 60,000 pelanggan dengan gubahan bunga segar sebagai hadiah, kejutan buat tersayang

No Image Caption
A
A
A

SIAPA yang tidak suka kan jika tiba-tiba mendapat kejutan apabila diberikan jambangan bunga yang cukup indah?

Pasti si penerima tersenyum lebar sepanjang hari, lebih-lebih lagi andai hadiah tersebut datang daripada insan tersayang.

No Image Caption

Ilham deko kali ini berkongsi perjalanan Calalyly Surprise & Dessert (CSD Group Sdn Bhd) yang menjalankan bisnes gubahan bunga sebagai hadiah kejutan bermula sejak akhir tahun 2016 dan sehingga kini hampir 60,000 orang yang telah diraikan.

Bermula daripada sekadar suka-suka dan dibuat daripada rumah secara sampingan, akhirnya serius untuk mengorak langkah dalam bidang tersebut dengan tertubuhnya syarikat itu.

Selain jambangan bunga, pihaknya turut menyediakan hamper untuk tempahan korporat, pejabat, sekolah dan sebagainya.

Membuka bicara awal bersama pengasasnya, Ain Zanaya, ramai yang beranggapan, mereka yang menceburi bisnes gubahan bunga mesti kreatif dan berbakat dalam menggubah. Namun, pasangan ini membuktikan sebaliknya.

No Image Caption

"Bakat itu satu bonus, pada kami untuk memastikan produk diterima ramai, kami perlu memiliki sentuhan tersendiri supaya berbeza dengan kedai bunga lain. Sebab itu, kami sanggup menyertai kursus gubahan bunga dan mendalami ilmu perniagaan sehingga ke Indonesia.

"Ada ketikanya, kami menjemput pakar gubahan bunga datang ke kedai untuk mengajar dan sebagainya. Selain itu, kami turut menumpukan kepada jenis gubahan yang mengikut trend terkini dan selain bergantung kepada cita rasa pelanggan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau juga mementingkan ketelitian dalam memilih warna bunga, corak susunan dan saiz gubahan jika membabitkan bunga segar seperti ros, daisy, lily, carnation dan banyak lagi.

Berkongsi lanjut tentang perkhidmatan yang ditawarkan, Ain Zanaya memberitahu, selain penghantaran jambangan bunga, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan mengambil gambar dan video.

“Sebab itu kami memilih nama Calalyly Surprise & Dessert. Mereka yang ingin membuat kejutan pada insan tersayang boleh berhubung dengan kami.

“Cuma, penghantaran hanya tertumpu pada kawasan dalam 35 kilometer daripada kedai sahaja. Insya-ALLAH jika ada rezeki kami mahu luaskan lagi perkhidmatan dengan membuka cawangan baharu di tempat lain pula,” ujarnya.

No Image Caption

Pelanggan setia

Akui beliau lagi, pelanggan kini tidak sekadar menempah gubahan bunga sebagai hadiah, sebaliknya ada yang membeli bunga segar untuk dijadikan hiasan di kediaman mereka.

Menyentuh mengapa memilih untuk mengimport bunga dari luar negara yang pastinya memerlukan penjagaan rapi selain harga yang mahal, ini jawapan tuan punya badan.

"Kualiti, saiz dan ketahanannya berbeza. Sebagai contoh, bunga dari Equador, Kenya, India atau China misalnya tahan lebih lama.

"Sebab itu, kami sanggup melabur lebih biarpun harganya sedikit mahal. Janji pelanggan berpuas hati," kongsi Ain Zanaya ketika ditemui SinarPlus.

Bagi memastikan bunga tersebut tahan lama dan tidak mudah rosak, mereka akan pastikan air sentiasa ditukar.

No Image Caption

Jelas Ain Zanaya, bunga yang sampai kepada mereka biasanya masih berduri dan mempunyai daun. Selepas dibersihkan, ia akan ditrim secara menyerong sebelum diletakkan dalam air bersih.

“Kami juga meletakkan suplemen bagi memastikan kesegaran bunga tersebut selain memanjangkan hayatnya.

“Cuma jika ada bunga yang dijangkiti kulat, kami akan segera buang daripada kelompoknya supaya tidak merebak kepada bunga lain,” jelas beliau lagi.

Ditanya akan jenis bunga yang popular dan menjadi pilihan pelanggan, wanita berusia 30 tahun itu memberitahu, bunga ros adalah yang digemari dan ramai kenal.

No Image Caption

"Berbeza bila sebut nama seperti carnation, ada yang tidak tahu. Walaupun sekarang, gubahan bunga ala Korea menjadi trend, namun masih ada pelanggan yang masih setia dengan gubahan bunga seperti Ros dan dedaun hijau.

"Jadi, kami memilih bunga yang kebanyakannya dikenali pelanggan selain tahan lama dan tidak terlalu mahal,” ulasnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang