HARI ini serangan jantung bukan sahaja penyakit yang menyerang orang berumur, sebaliknya mangsanya juga ramai dalam kalangan orang muda.

Kalau nak tahu, di Malaysia, penyakit itu kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat negara ini bagi tempoh 13 tahun iaitu dari 2005 hingga 2017.

Dalam masa yang sama, pernah tak dengar orang sakit jantung tapi tiada gejala atau penyakit kronik?

Mesti rata-rata kita hanya tahu penyakit itu akan menyerang individu yang kurang bersenam dan diet yang tidak seimbang kan?

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang kita tidak tahu yang boleh menyebabkan sakit jantung.

Merujuk Public Health Malaysia, berikut beberapa punca yang telah dikaji ada kaitan dengan penyakit jantung yang kita kena ambil tahu:

1. Masalah dental

Tak sangkakan masalah dental boleh menyebabkan penyakit jantung. Bagaimana keadaan itu berlaku? Sebenarnya, perkaitannya masih di peringkat kajian. Namun begitu, ada hipotesis yang menyatakan bahawa gusi yang dipenuhi bakteria akan masuk ke dalam darah dan menjadikan salur darah menjadi rosak akibat radang termasuk jantung.

Oleh itu, diingatkan kepada semua agar lakukan pemeriksaan gigi bagi setiap 6 bulan.

2. Kerja syif

Menurut kajian daripada Western Univeristy di Kanada, kerja pada waktu malam atau waktu yang tidak tetap juga boleh meningkatkan risiko sakit jantung. Pengkaji menyatakan kerja syif berkenaan memberikan impak negatif pada ritma sirkardian yang mungkin boleh menyebabkan masalah jantung.

Jika korang tidak bekerja pada waktu biasa, pastikan korang mengambil langkah pencegahan seperti tidur mencukupi, rehat, diet yang seimbang dan bersenam.

3. Trafik jam

Kini, tidak dinafikan jalan kembali sesak setelah masuk ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Bagi sesetengah orang, keadaan itu akan menyebabkan mereka stres.

Kajian menunjukkan jika berada dalam trafik selama sejam, ia meningkatkan risiko untuk dapat sakit jantung. Bukan itu sahaja, bunyi bising di atas jalan juga dikaitkan dengan sakit jantung.

Kalau boleh, manfaatkan Waktu Kerja Fleksi, jangan bergegas pada waktu puncak dan nikmati muzik di radio yang menenangkan.

4. Menopaus awal

Wanita mengalami menopaus sebelum umur 46 tahun juga berisiko untuk mendapat sakit jantung dua kali lebih tinggi berbanding yang menopaus selepas 46 tahun.

Kalau nak tahu, estrogen memainkan peranan penting dalam risiko jantung. Bagi mengelak perkara itu berlaku, bolehlah lakukan pemeriksaan seperti kolesterol, gula dan darah tinggi setiap tahun.

5. Sering berdengkur

Jika sering kuat berdengkur, ia sangat berkait rapat dengan masalah bernafas semasa tidur atau dipanggil apnea tidur. Itu terjadi jika salur pernafasan menguncup disebabkan otot lidah dan tengkuk menghempap saluran udara tersebut.

Keadaan itui dikaitkan dengan penyakit darah tinggi, berdebar-debar, jantung berdegup tidak sekata, strok dan lemah jantung. Jadi, dengan merawat apnea tidur, ia boleh mengurangkan risiko dan merawat darah tinggi.

6. Penyakit Hepatitis C

Bagi pesakit hepatitis C, golongan itu mungkin mengalami kolesterol rendah dan tekanan darah yang rendah. Walaupun rendah, ia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk jantung. Kajian menyatakan virus itu boleh menyebabkan radang hati dan juga boleh berlaku di tempat lain seperti jantung!

Iklan

Artikel berkaitan: Orang muda pun boleh diserang sakit jantung, puasa mampu kurangkan risiko tersebut

7. Tidur tak berkualiti

Kerap tidur kurang dari 6 jam akan memberi risiko penyakit darah tinggi dan kolesterol. Ia juga akan meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes dan obesiti. Itu semuanya boleh memberikan kesan kepada jantung!

Namun, ini tidak bermakna kita perlu tidur secara berlebihan tau! Kajian juga menunjukkan jika tidur melebih 9 jam secara terlentang, ia akan meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes dan strok.

Jadi, untuk menjaga jantung, badan dan otak, disarankan untuk ambil masa tidur yang sesuai iaitu antara 7 ke 9 jam.

8. Masalah rumah tangga

Pasangan yang sepadan dan hidup bahagia adalah sangat baik untuk jantung. Kajian menunjukkan kalau kita tak bahagia, akan terdedah dengan masalah stres. Apabila stres dan tidak menjaga diet, sudah terang-teranglah tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Hasilnya, hormon stres yang berlebihan pun boleh menyebabkan masalah jantung. Jadi, kalau ada masalah pasangan, bawa-bawalah berbincang dengan kaunselor atau terapis.

Iklan

9. Kesunyian

Kesunyian akan menyebabkan lebih tinggi risiko untuk dapat sakit jantung. Jika korang dekat dengan keluarga atau kawan rapat, cubalah berhubung dengan mereka. Cara lainnya, boleh juga pelihara kucing kerana pemilik haiwan memiliki kesihatan jantung yang lebih baik dan hidup lebih lama juga.

10. Terlalu lama menonton TV

Individu yang asik menonton tv dan tidak bergerak dan sangat berisiko untuk mendapat sakit jantung. Korang kena tahu tau, setiap jam korang menonton tv, ia meningkatkan risiko setinggi 20 peratus. Jadi, berdiri setiap jam ketika menonton dan berhenti seketika untuk regangkan otot selama 5 ke 10 minit.

11. Terlalu banyak senaman sekali gus

Senaman sebenarnya bagus untuk kesihatan. Tapi… kalau baru nak bermula sebab nak dapatkan berat badan yang ideal dan jaga kesihatan, mulalah secara perlahan dan secara berperingkat.

Jadi, dah tahu kan punca lain yang akan menyebabkan risiko sakit jantung?

Jangan lupa kongsi dengan ahli keluarga dan kawan-rakan supaya mereka pun tahu. Jom jaga kesihatan, semoga bermanfaat.