TIDAK dapat disangkal,  amalan berpuasa pada bulan Ramadan sememangnya membawa 1,001 manfaat kepada tubuh seseorang.

Namun demikian, bagi golongan yang mengalami masalah kesihatan seperti  pesakit jantung, mungkin tertanya-tanya bolehkah mereka berpuasa kerana bimbang terdapat risikonya.

Begitupun, Pakar Klinikal Kardiologi, Institut Jantung Negara, Dr Tanveer Iqbal Penwala berkongsi maklumat  menarik mengenai risiko serangan jantung dalam fasa berpuasa.

DR TANVEER.

Katanya, kajian menunjukkan tiada peningkatan kes serangan jantung pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain!

“Pemakanan secara puasa bersela pada bulan Ramadan sedikit sebanyak membawa manfaat kepada pesakit jantung yang stabil.

“Manfaat berkenaan boleh berpanjangan jika tabiat makan secara sihat dan sederhana diteruskan selepas Ramadan,” terang Dr Tanveer kepada SinarPlus baru-baru ini.

Seperti diketahui umum, kolesterol yang tinggi adalah salah satu punca penyakit jantung. Obesiti, berat badan berlebihan, kencing manis dan darah tinggi juga menyumbang kepada risiko penyakit itu.

Bagaimanapun, jelas Dr Tanveer, mempraktikkan puasa dapat menolong  mengurangkan tahap kolesterol dalam tubuh. Lebih-lebih lagi, puasa meningkatkan tahap kolesterol baik (HDL-C) dan mengurangkan trigliserida dan kolesterol jahat (LDL-C ) dalam tubuh.

“Jika diet yang baik dan sederhana diamalkan semasa sahur dan berbuka, puasa membolehkan seseorang turun berat badan sekali gus mengurangkan jumlah lemak dalam tubuh.

“Berpuasa juga dapat menurunkan tahap gula dalam darah dan menjadikan tubuh lebih sensitif kepada insulin. Ini pastinya menolong mengawal diabetes. Puasa turut membantu mengurangkan tekanan darah sistolik,” katanya.

Menurut Dr Tanveer, berpuasa tidak memberi kesan buruk kepada pesakit jantung kerana suasana tenang dalam bulan puasa mengurangkan stres kepada pesakit jantung.

Akan tetapi, ada beberapa golongan pesakit jantung yang tidak digalakkan berpuasa. Mereka ialah pesakit jantung yang kerap mengalami sakit dada.

“Pesakit lemah jantung yang berasa letih, lesu dan sesak nafas serta memerlukan diuresis iaitu ubat untuk meningkatkan pengeluaran air kencing, beberapa kali dalam sehari juga tidak digalakkan berpuasa.

“Pesakit yang mendapat serangan sakit jantung major pula tidak digalakkan berpuasa selama enam minggu selepas serangan tersebut.

“Pesakit yang menjalani pembedahan pintasan jantung juga tidak digalakkan berpuasa selama enam minggu selepas pembedahan, selain pesakit jantung yang tidak stabil dan memerlukan rawatan di hospital,” katanya.

Kalori berkurangSekata dengan Dr Tanveer ialah Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ummu Aiman Faisal yang juga mengakui berpuasa banyak manfaat dari segi kesihatan.

DR UMMU AIMAN.

Menurutnya, secara teori, amalan itu boleh menurunkan risiko serangan jantung atau penyakit kardiovaskular lain seperti strok melalui beberapa faktor iaitu:

1. Pemakanan

Kurangnya kalori yang diambil dan pada masa yang sama mengehadkan pengambilan garam dalam makanan.

“Biasanya kita makan nasi tiga kali sehari, tetapi pada bulan puasa, satu atau dua kali sahaja.

“Jadi, pengurangan pengambilan kalori seharian akan membantu menurunkan berat badan dan memberi manfaat kepada tekanan darah serta pengawalan gula dan garam dalam badan yang merupakan faktor utama penyebab penyakit kardiovaskular,” jelas Dr Ummu Aiman.

Iklan

2. Tabiat merokok

Merokok merupakan salah satu punca penyakit kardiovaskular kerana rokok mempunyai bahan kimia tertentu yang boleh meninggikan risiko untuk mendapat penyakit berkenaan.

“Semasa berpuasa, perokok akan berhenti merokok selama mereka berpuasa dan ini dapat membantu perokok mendapat latihan untuk berhenti merokok,” terang Dr Ummu Aiman.

“Apabila kita berpuasa, tanpa mengehadkan aktiviti fizikal lain, ia membantu mengurangkan radang salur darah, mengimbangi sistem pembentukan dan pemecahan darah beku dalam darah serta dapat mengurangkan risiko serangan jantung,” jelas Dr Ummu Aiman lagi.

Apa yang penting, jangan makan secara berlebihan dan amalkan konsep suku-suku separuh.

“Paling penting, pastikan sahur diambil sebagai bekalan kalori kepada tubuh sepanjang seharian berpuasa,” katanya.

Iklan

ANEKDOT

5 jenis penyakit jantung yang sering dialami orang dewasa:

1. Penyakit Arteri Koronari

2. Penyakit Injap Jantung

3. Penyakit Lemah Jantung

4. Penyakit Aritmia Jantung

5. Penyakit Kongenital (jantung berlubang)