Che Sayang Kitchen kongsi rahsia dari hobi masak jadi Creator Of The Year- 'Masakan itu eksperimen'

No Image Caption
A
A
A

NAMA Che Sayang Kitchen bukan asing lagi buat warga TikTok. Dengan gaya santai, resipi mudah ikut selera rakyat Malaysia dan aura mesra kamera, pemuda bernama sebenar Abdul Qayyum Halid ini telah mencipta fenomena tersendiri. 

Malah, bakat dan usaha gigihnya diiktiraf apabila beliau meraih gelaran Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2024.

Namun, siapa sangka perjalanan Qayyum bermula bukan kerana minat mendalam terhadap dunia masakan, sebaliknya kerana terpaksa. 

No Image Caption

“Bukanlah saya betul-betul suka. Tapi waktu itu saya banyak masak sendiri, tanya resipi pada mak. 

"Lepas tu saya cuba rakam dan kongsi. Lama-lama, minat tu datang sendiri,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Bagi Che Sayang, dunia masakan bukan sekadar tentang mengisi perut, sebaliknya ia sebuah eksperimen yang penuh kreativiti. Cara memasak dilihatnya tidak ubah seperti formula seorang jurutera – langkah demi langkah, teliti dan tersusun. 

“Sebab tu ramai jurutera boleh menyerlah dalam masakan. Resipi tu macam formula. Step by step, kalau betul, hasilnya jadi. Saya pula gunakan masakan sebagai cara untuk lepaskan stres,” katanya. 

Baginya, keunikan konten masakan ialah sifatnya yang evergreen. Orang mungkin bosan dengan lawak atau tren tertentu, tetapi masakan tak pernah lapuk. 

“Tak kira bila pun, orang tetap makan. Jadi, masakan sentiasa dekat dengan semua orang,” jelasnya lagi.

Sebelum menjadi pempengaruh sepenuh masa, beliau pernah bergelumang dengan dunia teknologi maklumat (IT). 

Pengalaman itu, katanya, sangat membantu dalam strategi menghasilkan kandungan hari ini. 

“Dalam konten masakan, kita kena tahu apa penonton suka, baru boleh hasilkan sesuatu yang kena dengan mereka,” ujarnya. 

Tidak hairanlah setiap video Che Sayang Kitchen bukan sekadar resipi, tetapi juga hasil daripada kajian, pemerhatian dan disiplin diri.

FENOMENA VIRAL

Dalam era di mana ramai belia berlumba-lumba mahu jadi pempengaruh, Che Sayang tampil dengan nasihat jujur. 

“Pada saya, lebih baik sambung belajar dulu. Ilmu tu penting, pengalaman pun penting. Konten creator ni kerja seorang – semua benda kena buat sendiri, jadi disiplin sangat penting. 

"Kalau tak ada pengalaman, susah nak bertahan lama,” tegasnya. 

No Image Caption

Beliau turut menekankan bahawa fenomena viral hanyalah sementara, tetapi disiplin dan nilai baik yang konsisten akan menentukan sejauh mana seseorang mampu bertahan.

Qayyum tidak menafikan beliau banyak belajar daripada ikon seperti Khairul Aming, bukan sahaja dalam aspek konten, tetapi juga integriti dalam perniagaan. 

“Kadang-kadang kita buat konten biasa je, tapi rupanya ia ada potensi bisnes. Saya tengok Khairul Aming, bukan sahaja berjaya dengan produk, tapi juga banyak sumbangan lain.

"Pasti ramai tahu sumbangan dan tenaga beliau waktu banjir di Kelantan misalnya. Itu bukti kejayaan sebenar, bila kita bagi nilai baik pada orang lain,” katanya penuh yakin. 

Baginya, inilah tanggungjawab besar seorang pencipta kandungan – menggunakan pengaruh bukan untuk glamor semata-mata, tetapi untuk memberi manfaat.

Menyentuh soal masa depan, beliau percaya arah tuju pencipta kandungan bukan sekadar mencipta hiburan, tetapi juga membina komuniti dengan mesej positif. 

No Image Caption

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara eksklusif oleh SinarPlus di majlis pelancaran  periuk nasi terbaharu, Delirice Max Rice Cooker (RK7778) oleh peneraju peralatan rumah antarabangsa, Tefal.

Lebih daripada sekadar perkakas dapur moden, jenama berkenaan tampil dengan janji yang cukup dekat di hati pengguna – “Nasi Pasti Tak Basi.”

Menurut Mr. Jack, wakil Tefal, “Dengan Delirice Max, kami memberikan ketenangan hati kepada pengguna. 

"Nasi panas dan lazat boleh dinikmati sepanjang hari tanpa basi. Ia memudahkan penyediaan hidangan dan memastikan setiap hidangan berkualiti tinggi," ungkapnya.

Pelancaran tersebut turut menampilkan pakar kulinari Rasa Rosz  yang menekankan bagaimana Delirice Max bukan sekadar menjimatkan masa, tetapi juga menghormati tradisi hidangan nasi sebagai makanan ruji masyarakat.

Menerusi perkongsiannya, Datuk Sri Rozita dari Rasa Rosz berkata, makanan yang baik datang daripada konsistensi dan kualiti.

 “Tefal berjaya menghasilkan peralatan yang membantu tukang masak di rumah mencapai tahap kesegaran optimum. 

"Kami bangga bekerjasama dalam pelancaran yang menghormati tradisi kulinari negara," ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang