Dr Raihana kongsi liku kehidupan, buktikan penghidap disleksia boleh berjaya. ‘Dulu dapat Nombor 28, saya bangga’
BAGI pasangan suami isteri yang sedang berusaha menimang cahaya mata, nama Dr Raihana Ismail yang juga pengasas syarikat Efferty International Sdn. Bhd. (Efferty) bukanlah asing pada mereka.
Di sebalik kejayaan beliau sebagai pegawai perubatan dan kini bergelar usahawan rupa-rupanya beliau merupakan menghidap disleksia sedari usia enam tahun lagi.
Kongsi Dr Raihana, dalam lima orang adik beradik, dirinya paling lembab (slow learner) dalam pelajaran.
“Sebenarnya ada sebab kenapa saya selalu duduk di depan (dalam kelas Richworks). Sebab masa kecil, saya adalah slow learner.
“Waktu itu saya ada masalah disleksia. Antara adik beradik, saya yang bangga bila orang tanya dapat nombor berapa dalam kelas.
“Saya cakap dapat nombor 28 sebab nombor itu banyak. Bukan bermaksud saya bangga sebab tak berjaya. Cuma saya tak faham lagi pada ketika itu. “Apa yang ibu bapa saya terapkan adalah menyuruh saya duduk paling depan ketika dalam kelas.
“Ibu bapa saya seorang cikgu. Kakak-kakak saya semua pandai. Saya masuk darjah tiga baru pandai mengira. Kemudian berjaya dalam UPSR. Berkat duduk depan.
"Abah saya adalah cikgu disiplin jadi dia latih saya untuk sentiasa menepati masa. Dulu, saya pernah bercita-cita nak jadi artis. Saya nak menyanyi dan berlakon.
"Tapi apabila tengok kakak-kakak jadi doktor, terus berubah fikiran sebab mak mesti lagi bangga (jadi doktor). Budaya (culture) dalam keluarga sendiri yang mengubah diri saya,” ujarnya.
Dr Raihana berkongsi liku-liku kehidupan menerusi sesi Podcast Apa Cerita? yang dikendali oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin.
Mengimbas kembali perjalanan sebelum Efferty ditubuhkan, Dr Raihana memulakan kerjaya profesional sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dari 2010 hingga 2012. Kemudian, melangkah ke Hospital Hulu Terengganu dari tahun 2012 hingga 2014 sebagai Ketua Ward Obstetrik dan Ginekologi.
Pada tahun 2015, Dr Raihana memegang peranan baru sebagai Pakar Am dan Pengarah dengan menubuhkan Klinik Raihana di Dungun, Terengganu melalui tajaan daripada Mara.
Namun, klinik tersebut hanya bertahan selama empat tahun sehingga tahun 2019 kerana Dr Raihana akui ketika itu dia tiada ilmu dalam perniagaan dan keusahawanan.
Kerugian RM500,000
Dedah anak ketiga ini, dia terpaksa menanggung kerugiaan sebanyak RM500,000 selain hampir diisytiharkan muflis pada akhir tahun 2018. “Bila saya dah buka klinik, saya minta suami berhenti kerja untuk menjaga anak.
“Cabaran saya ketika itu adalah saya sebagai doktor dan dalam masa sama, saya juga yang menguruskan klinik. Ilmu perniagaan saya memang tiada. Leadership pun tiada.
"Saya berhutang waktu itu mencecah RM500,000. Perasaan saya memang kecewa dan hampa. “Suami bantu cari jalan untuk menyelesaikan (hutang), dia pinjam duit dengan kawan-kawan. Namun, masih belum boleh tampung kerugian.
“Akhirnya, saya nekad untuk menutup klinik sulung dan menjual dengan harga RM250,000,” ceritanya.
Tidak terus berputus asa, anak kelahiran Muar, Johor ini mula mempelajari ilmu perniagaan dan keusahawanan anjuran Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks).
Kata Raihana, dari Richworks, dia mula belajar memahami tentang diri sendiri, membetulkan misi, hala tuju dan impian yang ingin digapai.
“Suami hantar saya ke kelas untuk mencari ilmu. Masa itu kami tak ada duit, yuran kelas mahal. Jadi, saya terpaksa menggadai barangan kemas.
“Selepas itu, saya minta maaf kepada semua ahli keluarga termasuk ibu bapa dan suami kerana selalu tidak dengar cakap.
“Saya tak boleh ingat masa itu, that's my turning point. Bila kita lebih merendah diri, rezeki Allah lagi masuk. Sebab apa yang sepatutnya kita kejar adalah akhirat.
“Ujian yang saya dapat sekarang sama macam turning point my life that time. Saya percaya ujian besar yang Allah bagi sekarang ini adalah rahmat yang besar. Saya terharu bila Allah pilih saya," ungkapnya.
Malah, empunya diri mengakui perjalanan hidup beliau cukup menarik ibarat sebuah novel.
"Kalau saya buat novel, mungkin boleh beri inspirasi kepada orang yang nak give up,” katanya dalam nada sebak.
Mahu bina madrasah
Tambah wanita yang pernah tiga kali keguguran, beliau juga mendidik diri untuk sentiasa bersedekah.
“Dulu sewaktu di klinik Raihana, sejujurnya saya tak bayar zakat. Saya tak tahu macam mana nak kira masa itu.
“Sekarang, saya selalu sedekah. Saya berpegang dengan kata-kata, 'sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
“Kalau dapat keuntungan, kena sedekah dan bayar zakat. “Alhamdulillah, bulan pertama Efferty, kami mendapat hasil jualan sebanyak RM500,000,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Raihana, berhasrat untuk membuka sebuah madrasah di samping ingin membantu 1 juta pasangan suami isteri mendapatkan cahaya mata.
Visi Efferty ini sebenarnya nak bawa kebahagiaan kepada kehidupan manusia lain. Kebahagiaan itu tak semestinya menimang cahaya mata saja.
Contohnya, kalau bantunya untuk mendapatkan kerja, itu sudah membawa kebahagiaan juga.
"Visi kami besar iaitu nak membina yayasan sendiri untuk pembinaan madrasah. Itu yang saya berdoa di depan Kaabah baru-baru ini.
“Saya kata, 'Ya Allah Ya Tuhanku, percepatkanlah perjuangan aku nak bantu 1 juta pasangan menimang cahaya mata dan percepatkanlah aku membuka madrasahmu," dedahnya.
Perkongsian yang dibuat Dr Raihana menuai komen-komen positif daripada warganet yang kagum serta terinspirasi dengan kisah hidupnya.
"Dari gelak, tetiba saya menangis sama. Best episod ini. Semoga hajat Dr Raihana dikabul Allah, amin.
“Banyak benda baru yang menginspirasi dari episod ini. Dr Raihana sangat merendah diri walaupun begitu banyak ilmu.
“Love Dr Raihana, penerangan yang sangat jelas.”
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang