'Dulu susah, mak abah kerja menoreh getah. '11 beradik pakat kongsi duit bina rumah baharu untuk ibu bapa

No Image Caption
A
A
A

BUKAN mudah untuk adik-beradik ramai untuk bersatu hati dan punya persefahaman yang tinggi.

Namun, kisah 11 beradik dari Kampung Chasi Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan yang berpakat menyumbang wang untuk membina kediaman baharu buat ibu bapa mereka membuatkan ramai jatuh kagum.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik Mohd Tarmize Ramly menerusi akaun TikTok @Mize Aida yang merupakan anak keenam pasangan Ramly Yaacob, 67 dan Rohani Mat Zain, 58, meraih perhatian warga maya.

No Image Caption

Sehingga kini, video berkenaan mendapat lebih lima juta tontonan.

Menerusi perkongsian Mohd Tarmize, bersama Bernama, beliau mengakui memuat naik video berkenaan selepas ayahnya meninggal dunia akibat strok, tidak lama selepas berpindah masuk ke kediaman baharu berkenaan.

“Ayah meninggal dunia pada April tahun lepas. Selepas ayah meninggal, saya terasa kosong, jadi saya cuba buat video tentang memori bersama ayah di rumah baharu untuk dikongsikan di TikTok.

No Image Caption

“Saya kongsikan juga video lama termasuk ketika pembinaan rumah yang dibuat pada 2019 lagi. Apabila saya muat naik di TikTok, tak akan viral,” katanya.

jelas lelaki berusia 33 tahun itu lagi, idea menghadiahkan rumah baharu kepada ibu bapa mereka itu dicetuskan oleh adiknya, Mohd Aizat, 32 yang juga anak ketujuh dalam keluarga berkenaan.

“Kami sebenarnya ada 14 adik-beradik dengan 11 orang sudah bekerja dan tiga masih bersekolah. Jadi, yang menyumbang cuma 11 orang dan tidak ada had sumbangan. Masing-masing sumbang ikut kemampuan dengan sasaran kos awal RM140,000.

No Image Caption

“Perancangan asal cuma tiga bilik, tetapi semasa dalam pembinaan, kontraktor sarankan tambah ruang demi keselesaan. Ada antara kami yang bersedia hulur (sumbang) lebih, maka kami sepakat jadikan rumah itu enam bilik tidur dan ruang dapur lebih besar,” ceritanya, menambah kos keseluruhan mencecah RM250,000.

Beliau yang bekerja di Pos Malaysia Berhad, cawangan Petaling Jaya, Selangor, berkata kediaman itu dibina di atas tanah milik ibunya dan berhadapan rumah asal mereka.

“Saya dan adik-beradik pun dah bersetuju untuk tidak menuntut kediaman tersebut dan jadi rumah kami berkumpul apabila balik semasa hari raya.

"Selesalah sikit berbanding rumah lama, kerana ketika itu ada antara kami yang terpaksa tidur di dalam kereta,” katanya, menambah rumah lama mereka kini disewakan.

No Image Caption

Bukan itu sahaja, mereka adik-beradik turut sepakat menghadiahkan sebuah kereta Perodua Axia bagi kegunaan arwah bapanya termasuk menghantar dan mengambil tiga adik mereka di sekolah.

“Itu sumbangan kami untuk mak dan ayah kerana kami daripada keluarga susah. Mak dan ayah dulu bekerja menoreh getah dan hasil getah pula dibahagi dua dengan tuan tanah,” tambahnya.

No Image Caption



Sumber: BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang