Inspirasi! 2 anak Malaysia cipta sejarah, tuntut ilmu di universiti berprestij Harvard. Tahniah Athena & Namira
BUKAN calang-calang kejayaan dua anak muda ini berjaya melepasi syarat kemasukan yang ketat di Kolej Harvard, institusi sarjana muda ternama Universiti Harvard yang merupakan salah sebuah universiti terbaik di dunia.
Pada 3 April 2025, dua pelajar wanita Athena Siow dari Kuala Lumpur dan Namira Lee Tzu dari Kuala Terengganu diterima masuk bagi pengajian tahun ini dan akan menamatkannya pada 2029.
Memang girl power! Athena, bekas Kolej Yayasan Saad bakal mengambil jurusan Sains Data (Kerajaan) manakala Namira pula lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dari SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu bercadang untuk mendalami bidang Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar.
Difahamkan kedua-dua mereka adalah pemegang biasiswa Yayasan UEM dan Global Global Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Bukan mudah untuk menempatkan diri di universiti berprestij ini. Presiden Kelab Harvard Malaysia, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob mendedahkan, selain kecemerangan akademik, kedua-dua wanita muda itu juga aktif dalam ko-kurikulum dan giat dalam aktiviti kemasyarakatan serta sukerelawan.
Athena pernah mewakili Malaysia di Persidangan Belia di COP 2023 di Dubai, beliau juga aktif Pandu Puteri melatih 100 pemimpin muda melalui program Pandu Puteri yang kemudiannya melatih 13,000 lagi pelajar di seluruh negara. Selain itu, Athena juga seorang pemain catur yang berdaya saing di peringkat kebangsaan sepanjang persekolahan.
Malah, Athena juga mengajar catur secara percuma kepada anak muda di Melaka dan menjadi sukarelawan.

Sementara tu, Namira pula terdorong aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Komitmennya terhadap tujuan ini bermula apabila dipilih untuk Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara yang mana, beliau menghabiskan masa tiga minggu di Illinois dan Washington, Amerika Syarikat (AS).
“Namira menerima geran selama dua tahun berturut-turut yang digunakannya untuk memulakan projek pemuliharaan penyu bersama pelajar sekolah menengah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
“Projek pemuliharaan ini kemudian diperluaskan kepada pelajar sekolah rendah Cina,” ujar Wan Nadiah di laman sosial X.
Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 15 graduan dari Kolej Harvard.
Berikut lapan fakta menarik universiti ternama ini:

1-Universiti Harvard diasaskan pada 8 September 1636. Nama awalnya ialah New College ditukar kepada Universiti Harvard pada tahun 1639.
2-Universiti yang terletak di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat itu antara universiti berprestij di dunia.
3-Ia merupakan universiti tertua di AS dan menduduki tempat keempat dalam QS World University Rankings 2024. Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 15 graduan dari Kolej Harvard.
4- Ia dalam kedudukan keenam mengikut Times Higher Educations (THE) dan termasuk dalam Ivy League. Ivy League hanya dianggotai oleh lapan universiti di Amerika Syarikat yang mengutamakan tiga aspek berikut: kecemerlangan akademik, syarat masuk yang ketat dan status elit pemohon.
5-Terdapat sembilan fakulti yang telah ditubuhkan sejak abad ke-19 sehingga kini.

6-Ia adalah Fakulti Seni dan Sains Harvard, Sekolah Perubatan Harvard, Harvard Divinity School, Harvard Law School, Harvard Business School, Harvard Graduate School of Design, Harvard Graduate School of Education, Harvard School of Public Health hingga Kennedy School of Government.
7-Pada tahun 2018, Harvard menerima dana pendidikan terbesar di dunia iaitu berjumlah USD$38.3 bilion (RM167 bilion) dari kerajaan dan syarikat swasta untuk membiayai semua aktiviti akademik, kajian dan bantuan kewangan kepada pelajarnya.
8-Sistem perpustakaan Harvard mempunyai 17 juta buku dan rak buku sejauh 55 batu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
