‘Kejarlah impianmu, Aisy Qaiser’ – Ikut jejak ayah, anak sulung Zaquan Adha terpilih sertai Akademi Mokhtar Dahari

No Image Caption
A
A
A

APABILA minat dipupuk sejak kecil dan disiram dengan sokongan keluarga, impian besar bukan lagi sekadar angan-angan. 

Itulah yang sedang dilalui oleh Muhammad Aisy Qaiser, anak sulung kepada bekas pemain bola sepak negara, Zaquan Adha. 

Pada usia yang masih muda, Aisy Qaiser kini melakar satu lagi langkah bermakna apabila terpilih menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Pahang, sebuah pusat pembangunan bola sepak yang menjadi impian ramai bakat muda tanah air.

Bukan semua yang mencuba akan terpilih. Daripada ratusan calon, hanya 39 pelatih baharu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berjaya melapor diri ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada Ahad, 11 Januari lalu. 

Pemilihan itu bukan sahaja menilai bakat di atas padang, malah disiplin, mental dan kesungguhan seseorang pemain muda.

Lahir pada tahun 2013, Aisy Qaiser sudah mula menunjukkan minat dan bakat dalam bola sepak sejak kecil. Langkah ke AMD ini menjadi satu fasa baharu dalam perjalanannya mengejar impian untuk bergelar pemain bola sepak profesional suatu hari nanti. 

No Image Caption

Bukan asing dengan dunia sukan, kanak-kanak tersebut membesar dalam suasana padang latihan, sorakan stadium dan rutin seorang atlet.

Manakan tidaknya, sejak  kecil, dia sering dilihat menemani ayahnya ketika bersama pasukan seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC. 

Dari situlah lahirnya minat mendalam dan keazaman untuk mengikuti jejak langkah sang ayah.

Pengalaman itu juga secara tidak langsung menjadi ‘kelas’ awal buat Aisy Qaiser memahami disiplin, kerja keras dan pengorbanan yang diperlukan dalam dunia bola sepak.

Sebagai seorang ayah, Zaquan Adha tidak dapat menyembunyikan rasa bangga melihat anaknya mengorak langkah sendiri. 

Menerusi satu hantaran, bekas tonggak skuad kebangsaan itu menitipkan kata-kata penuh makna buat Aisy Qaiser.

“Kejarlah impianmu, Aisy Qaiser,” tulisnya ringkas tetapi sarat emosi.

No Image Caption

Suntikan semangat

Zaquan bersama isterinya, Ayu Raudhah, turut hadir mengiringi anak lelaki mereka pada hari pendaftaran di akademi berkenaan. 

Sokongan moral dan kehadiran ibu bapa jelas menjadi suntikan semangat buat anak kecil ini memulakan perjalanan baharu jauh dari rumah.

Dalam hantaran lain, Zaquan turut meluahkan rasa syukur atas peluang yang diterima anaknya.

“Alhamdulillah syukur kerana anak saya diberi peluang berada dalam program AMD ini.

“Saya serta isteri berbangga dengan pemilihan anak ke sini. Malah, saya hanya mampu berdoa dan memberi sokongan dari belakang.

“Selebihnya saya serahkan kepada pihak teknikal AMD untuk membentuk dan membolehkan anak bergelar pemain bola sepak yang mewakili negara suatu hari nanti,” kongsinya penuh harapan.

No Image Caption

Melihat dunia bola sepak profesional dari jarak dekat menjadikan Aisy Qaiser lebih matang dalam memahami minatnya. Tidak semua kanak-kanak berpeluang merasai suasana bilik persalinan, latihan intensif dan tekanan sebenar seorang atlet, pengalaman yang kini menjadi bekalan berharga buatnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang