Padzilah dedah anak-anak lelaki terima perkahwinan diatur & sambung legasi SK – ‘Asalkan mereka bahagia, saya gembira’
USIA 46 tahun mungkin dianggap agak lewat untuk memulakan sesuatu yang besar. Namun, bagi Padzilah Enda Sulaiman, itulah detik yang mengubah seluruh hidupnya, titik permulaan kepada empayar telekung Siti Khadijah (SK), jenama yang kini menjadi kebanggaan wanita di seluruh negara.
Dahulunya suri rumah sepenuh masa, beliau memulakan perniagaan telekung dengan keberanian yang tidak pernah terduga.
Tanpa pengalaman formal, tanpa perancangan rapi, semuanya digerakkan oleh tekad dan doa. Hasilnya, satu jenama yang kukuh berdiri sehingga ke hari ini.
Jika dahulu hanya seorang ibu yang menguruskan rumah tangga, kini Padzilah berdiri melihat enam anak lelaki menjadi tulang belakang perniagaan yang dibina.

Lebih membanggakan, mereka sanggup meninggalkan kerjaya profesional masing-masing demi meneruskan legasi ibu.
“Dah tentulah bagi saya, apabila anak menyambung platform yang telah saya bina sejak lama, satu perasaan bangga… mereka menghargai usaha saya.”
“Perasaan itu bercampur aduk, terharu ada, bangga ada. Mereka sanggup tinggalkan kerja-kerja luar demi bekerjasama dengan SK sendiri,” katanya dengan mata yang jelas bersinar.

Menariknya, walaupun SK sinonim dengan dunia wanita, penyambung legasinya adalah generasi lelaki.
“SK memang sinonim dengan wanita, tapi penyambung legasi ni anak saya lelaki.
"Saya tak ada anak perempuan, cuma menantu perempuan saja,” tambahnya tersenyum.
Bagi Padzilah, kejayaan perniagaan tidak bergantung pada jantina, tetapi pada ketahanan mental dan cara seseorang memimpin.
“Bisnes ni bukan tentang apa yang kita niagakan. Mindset, leadership, sabar, komunikasi, itu elemen penting dalam memimpin perniagaan," ujarnya lagi.

Didikan Tegas, Akhlak Teras Keluarga
Sebelum bergelar usahawan, Padzilah membesarkan anak-anak dengan didikan agama, akhlak, dan disiplin. Tiada gajet, tiada media sosial, hanya naluri seorang ibu sebagai panduan.
“Kononnya waktu saya suri rumah tu, macam saya melatih mereka untuk jadi pelapis SK. Tapi sebenarnya bukan dirancang. Dengan didikan agama dan nilai murni, karakter mereka terbentuk sendiri,” jelasnya.

Beliau turut mengakui dirinya seorang ibu yang tegas.
“Saya agak tegas dan garang dulu, tekankan solat, pengajian dan adab.
"Zaman sekarang cabarannya lain, tapi kasih sayang dan ketegasan tetap relevan untuk membimbing anak jadi lelaki yang matang.”
Salah satu sisi hidup Padzilah yang tidak ramai tahu ialah tradisi jodoh keluarga. Beliau sendiri berkahwin melalui perkahwinan yang diatur dan rupa-rupanya anak-anak turut mengikuti jejak yang sama.

“Lima anak saya sudah berkahwin. Satu je lagi belum. Soal pasangan diatur tu bukan kebetulan… hidup ni semua jodoh.”
"Daripada anak pertama hingga keempat, semuanya berkahwin dengan keluarga kenalan atau rakan syarikat.
"Hanya anak kelima memilih sendiri, namun tetap dengan garis panduan keluarga.
“Saya tak cerewet. Asalkan mereka pilih wanita beriman, solehah… asalkan mereka bahagia, saya gembira," ungkapnya lagi.

Bahkan sebagai ibu mentua, Padzilah sangat terbuka dan menerima menantu seperti anak sendiri. Rumahnya sentiasa mesra dan penuh kasih sayang.
Namun ada satu perkara yang membuatnya ketawa apabila diceritakan.
“Anak kelima tu dah beranak pun masih duduk rumah saya. Macam susah nak pisah dengan mak,” selorohnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
