Persis Mowgli versi perempuan, Rania jadikan haiwan ternakan ayah 'rakan karib' bikin ramai kagum

No Image Caption
A
A
A

JIKA sebelum ini kisah 'Mowgli Malaysia' bersama kerbaunya, kini kanak-kanak perempuan Wan Rania Amanda Wan Mohd Faizal mencipta ikatan luar biasa bersama 228 kambing ternakan ayahnya di Kampung Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus pula menjadi perhatian semua.

Murid Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 itu menunjukkan minatnya terhadap haiwan itu bermula ketika berkunjung ke rumah saudaranya sewaktu berusia tujuh tahun.

Tertarik dengan kecomelan kambing-kambing di situ membuatkan anak sulung daripada lima beradik itu mula memasang impian untuk turut membela haiwan berkenaan.

No Image Caption

Hajatnya menjadi kenyataan apabila ayahnya Wan Mohd Faizal Wan Zulkefli mula menternak haiwan itu pada tahun 2020 dan menjadikan sebagai sumber pendapatan tambahan.

"Kambing ini comel, jadi saya suka bermain dengan mereka. Awal-awal dulu lagi saya memang tiada rasa takut.

"Saya sentiasa gembira bila berada dekat dengan mereka, bahkan kalau di sekolah saya sentiasa teruja untuk balik dan mengikut ayah ke kandang.

"Kadang-kadang bila saya demam pun, kalau ayah ajak ke ladang pun saya semangat untuk pergi," katanya.

Siapa sangka, Rania yang meminati mata pelajaran sains untuk bercita-cita menjadi ahli veterinar berjaya berkata jika tidak ke kandang ayahnya dia masih mempunyai dua ekor kambing kerdil daripada baka Nigerian Dwarf yang diberi nama Rague dan Jane sebagai 'teman' untuk mengisi masa lapang di rumah.

No Image Caption

No Image Caption

Berkat minat dan cinta terhadap haiwan itu dan hasil didikan ayahnya, Rania kini mahir melakukan sendiri untuk memberi makan dan memerah susu kambing di kandang.

Malah, Rania juga mengetahui jenis-jenis ubat yang sesuai untuk diberikan kepada haiwan itu sekiranya dijangkiti atau mempunyai simptom penyakit seperti sakit perut dan cirit-birit.

Wan Mohd Faizal turut berbangga melihat anaknya yang boleh berkawan baik dengan haiwan ternakannya itu sedangkan kanak-kanak lain seusia Rania mungkin masih berasa takut.

No Image Caption

"Anak saya sebenarnya memang cintakan binatang. Sebelum dia bermain dengan kambing ini, dia memang sudah ada haiwan peliharaan lain seperti hamster, kura-kura, burung dan kuda.

"Dan dia serius berjinak dengan kambing selepas patah tangan akibat terjatuh ketika menunggang kuda peliharaannya ketika berusia tujuh tahun. Disebabkan itu, saya jual kuda berkenaan dan beli lebih banyak kambing sebelum dekatkan dia dengan haiwan ini," katanya.

Selepas anaknya itu menunjukkan minat yang tidak henti-henti dan tidak kekok bersama ternakannya itu, Wan Mohd Faizal mula mendedahkan Rania secara lebih serius dalam bidang penternakan.

"Saya lihat dia seperti ada kebolehan untuk memahami binatang. Bila saya dedahkan dia kepada kaedah menguruskan kambing, dia seolah-olah boleh menyesuaikan diri dengan baik. Dia kini boleh beri makan dan kalau ada yang sakit perut atau cirit-birit pun dia sudah tahu rawatan apa yang perlu diberikan.

"Jadi, saya boleh harapkan dia untuk bekerja di kandang. Saya mahu dia jadi berilmu untuk menternak haiwan. Bagusnya, bila dia bersama kambing-kambing ini dia boleh hiraukan gajet. Cuma kini dia gunakan gajet untuk tujuan pembelajaran, misalnya mencari maklumat cara merawat haiwan sekiranya berlaku situasi yang tidak diinginkan," katanya.

Apa yang lebih membanggakan, Wan Mohd Faizal berkongsikan anaknya pernah mencatatkan keuntungan sendiri apabila berhasil menjual 25 ekor anak kambing menerusi aplikasi Tiktok sehingga mampu meraih keuntungan sehingg RM2,500 pada tahun lalu.

Bahkan, Rania juga boleh bersaing secara sihat dengan dua pekerja di ladang untuk membuat jualan masing-masing.

"Di kandang, saya layan mereka sama-rata. Saya sentiasa beri mereka peluang untuk buat keuntungan sendiri, jadi Rania dah terdedah dengan persaingan dalam perniagaan ini. Bagi saya, sektor ternakan kambing ini adalah bonus kepada pekerja. Siapa rajin dia berhak dapat lebih...dan Alhamdulillah, Rania boleh menyesuaikan diri dengan pekerja saya yang lain," katanya.

Baca juga: Sanggup bergadai emas demi si bulus, kisah wanita ini sentuh hati pencinta haiwan

Baca juga: Hanya 6 bulan jer dapat lesen memandu, kisah orang utan terkaya di Dubai memang luar biasa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang