'Tak pandai berwuduk, Zuhur lapan rakaat satu tahiyat.' Amin Idris dedah diri mualaf, peluk Islam usia 4 tahun

No Image Caption
A
A
A

PASTI ramai yang mengenali sosok tubuh yang tidak asing lagi dalam industri pengacaraan negara iaitu Amin Idris.

Beliau bukan sahaja menjadi pengacara televisyen, malah penceramah motivasi, pendakwah bebas, penulis buku dan personaliti media sosial.

No Image Caption

Hos berusia 43 tahun itu banyak memberi inspirasi kepada ramai, namun, di sebalik segala kejayaan yang dikecapinya hari ini, pasti ramai yang tidak mengetahui ceritera hidupnya yang sangat berbeza.

Menerusi program bual bicara Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus ini, pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mendedahkan dirinya seorang mualaf.

Dilahirkan dalam keluarga berbilang bangsa dan agama, ayahnya berketurunan India dan Iban, ibunya campuran Siam, Cina, dan Filipina.

No Image Caption

"Mungkin juga ramai yang tak tahu, nama saya dahulu James Kelson Dambu Murthy gabungan nama Iban dan india. Saya sempat guna nama itu ketika darjah satu.

"Saya masuk Islam umur empat tahun. Mak tak ada asas ilmu agama yang kuat, jadi dia tak tahu nak ajar macam mana,"kata Amin, menceritakan pengalaman awalnya sebagai saudara baharu.

Jodoh ibu bapanya yang tidak panjang menyebabkan beliau berhijrah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang bersama ibu dan adik-beradik yang lain. Setelah keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), beliau yang mesra disapa Bro Amin mengakui dalam dilema apabila diminta memasuki sekolah agama oleh ibunya.

"Apapun, saya kena ucap terima kasih kepada mak kerana selepas UPSR, saya mendapat tawaran asrama penuh. Memang saya nak masuk tapi mak tak bagi.

"Dia suruh saya masuk sekolah agama. Jadi, saya masuklah ke SMKA Falahiah di Kelantan," ujarnya yang turut digelar Iron Man Malaysia.

No Image Caption

Pilihan itu nyata membawa titik perubahan dalam hidupnya apabila serius mempelajari ilmu agama termasuklah bab wuduk, solat dan puasa

Berimamkan gajet

Bahkan, tuan punya badan turut terdedah dengan program usrah dan belajar mengaji.

"Saya masih ingat, semasa minggu orientasi, saya terkebil-kebil sebab tak pandai ambil wuduk. Saya terpaksa tunggu orang sebelah untuk tiru dia ambil wuduk. Bukan itu sahaja, saya juga pernah diketawakan oleh orang ramai di masjid.

"Ketika itu saya sembahyang Zuhur lapan rakaat dengan hanya satu tahiyat. Memang waktu itu saya betul-betul tak reti. Alhamdulillah, waktu itu barulah puasa saya sempurna, solat lima waktu dan belajar agama.

"Banyak benda yang mengenal erti dakwah dan sebagainya yang mana membentuk siapa saya hari ini," kata pengacara program Tazkirah Malam Jumaat di Astro Oasis yang aktif menulis dan bakal terbit dengan buku baharu kelak.

Sempat juga penulis bertanyakan tentang pembahagian masa beliau dengan tiga cahaya matanya.

"Kelebihan minat anak untuk belajar di sekolah agama membantu memudahkan kerja saya dalam mendidik mereka.

"Pada masa sama, saya cuba melazimi ahli keluarga sendiri dengan berjemaah Maghrib dan Isyak selain ada masa berkongsi tazkirah,"ujarnya.

Walaupun berpegang teguh kepada prinsip agama, beliau tetap menjaga hubungan baik dengan anak-anaknya dengan cara yang moden.

"Saya tak minat K-pop tapi terjebak sebab nak ambil tahu serba sedikit. Senang nak mencipta perbualan bersama dengan anak-anak,"kata Amin lagi.

No Image Caption

Dalam masa sama, beliau tidak mahu anak-anaknya melalui pengalaman sama sepertinya, tidak dibesarkan dengan merasai kasih sayang seorang bapa.

"Saya tak pernah rasa kehadiran seorang ayah waktu mendapat anugerah pelajar terbaik, hari sukan dan sebagainya ketika di sekolah.

"Jadi, bila ada anak sendiri, semua itu saya tak p•ernah tinggal, termasuklah hantar anak ke asrama, minggu melawat anak dan sebagainya," kongsinya lagi.

Ditebak persoalan kenapa lebih gemar berkongsi video bersama anak-anaknya tanpa kehadiran sang isteri, ini jawapan tuan punya badan.

"Saya suka kongsi video berkaitan anak-anak kerana zaman sekarang, terlalu banyak kes ayah yang tidak berfungsi sebagai ‘bapa’. Sementara bab isteri, saya memilih untuk privasi.

No Image Caption

"Walaupun didik anak-anak ikut peredaran zaman, tapi seimbangkan bab masa yang berkualiti, interaksi fizikal dan emosi dengan mereka.

"Jangan kerana mahu ikut zaman sehingga berimankan dengan gajet, akhirnya kita hilang sentuhan fizikal dan emosi tersebut.

"Kasih sayang dan perhatian fizikal adalah unsur yang tidak boleh digantikan oleh apa jua teknologi sekali pun," tegasnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang