IQ tinggi, tetapi tidak ekspresif. Bagaimana penghidap sindrom Asperger boleh survival walau mereka bijak?

Drama siri Korea Selatan, Move To Heaven yang disiarkan menerusi Netflix telah merobek emosi penonton di seluruh dunia.

Bukan sahaja plot cerita setiap siri mengharukan, tetapi bagaimana seorang remaja yang menghidap sindrom Asperger memiliki naluri dan ketelitian tinggi serta daya hafalan yang kuat telah membuatkan ramai kagum.

Kemudian, drama 16 episod, Extraordinary Attorney Woo pula meledak. Naskhah itu menampilkan watak peguam genius dengan sindrom autisme, Woo Young-woo.

Young-woo memiliki nilai daya kecerdasan otak (IQ) yang sangat memukau hingga mencapai skor 164 dan tidak pernah melupakan hal-hal yang dilihatnya.

Menonton dua drama itu kemudian telah mendorong penulis untuk mengupas lebih lanjut mengenai dua isu kesihatan berkenaan.

SinarPlus menghubungi beberapa pakar untuk berdiskusi lanjut, namun hanya Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Manjung, Dr Ding Chin Hong yang berpengalaman dengan topik berkenaan tampil untuk memberi pencerahan.

Jelas Dr Chin Hong, sindrom Asperger adalah salah satu subset kepada spektrum autisme.

“Sindrom itu (Asperger) adalah istilah yang disebut sebelum ini. Kini pakar perkembangan kanak-kanak lebih cenderung memberi diagnosis sebagai ASD iaitu penyakit spektrum autisme mengikut kod Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam ICD-11.

“Ia juga (sindrom Asperger) sebenarnya salah satu jenis di bawah payung besar ASD yang lebih berkemampuan dari segi kecerdikannya atau lebih dikenali sebagai ‘autisme berfungsi tinggi‘,” jelas beliau.

Secara amnya, kata Dr Chin Hong, autisme wujud dalam diri kanak-kanak sebelum umur mereka mencecah tiga tahun. Di Malaysia, ujian saringan austime melalui senarai soalan M-CHAT akan mula dijalankan pada umur 18 bulan dan dua tahun.

Bagi pesakit sindrom Asperger pula, diagnosis agak sukar dicapai kerana ciri-cirinya lebih lewat diketahui.

“Terdapat segelintir sindrom Asperger hanya dapat dikesan ketika mereka sudah dewasa,“ ujarnya.

Tokoh-tokoh terkenal yang dipercayai mempunyai sindrom Asperger antaranya seperti Elon Musk, Albert Einstein, Mozart, Andy Warhol dan Sir Isaac Newton.

BACA JUGA: Kanak-kanak normal pun boleh ada ciri autisme, ini mak-mak perlu perhatikan

BACA JUGA: Hebat! Kanak-kanak istimewa ini miliki IQ lebih tinggi daripada Albert Einstein


Genetik & virus

Melanjutkan perbincangan, pakar berkenaan berkata, autisme secara amnya terdiri daripada triad utama iaitu:

-Kelewatan dalam perkembangan bahasa dan percakapan.

-Tingkah laku yang berulangan dan terhad.

-Masalah berinteraksi sosial dengan persekitaran.

Sementara kanak-kanak dengan sindrom Asperger pula memiliki ciri-ciri berikut:

-Kurang mempunyai masalah dalam percakapan, tetapi mungkin sukar memahami isyarat badan orang lain.

-Sulit untuk faham topik perbualan dan memerlukan imaginasi atau penerangan.

Dr Chin Hong memberitahu, salah satu kriteria penting kanak-kanak Asperger ialah mereka mempunyai IQ lebih tinggi dan kosa kata yang jauh lebih luas.

Golongan itu akan bercakap secara panjang lebar berkenaaan topik kesukaan dan mengabaikan reaksi para pendengar.

Pemahaman isyarat fizikal badan adalah satu cabaran bagi mereka. Semua ini akan menimbulkan kesukaran untuk mendapatkan sahabat,“ ujarnya.

Kepada satu soalan, pakar itu menjelaskan, penyebab sebenar autisme dan Asperger masih lagi sedang dikaji dan ia merupakan sesuatu yang rumit.

Pun demikian, ahli sains mempercayai faktor genetik dan persekitaran memainkan peranan yang penting.

Dalam pada itu, Healthline menyatakan, perubahan dalam otak bertanggungjawab untuk semua diagnosis ASD (Asperger), tetapi doktor masih belum menentukan dengan tepat apakah punca-puncanya.

Pun demikian, selain keturunan, pendedahan kepada toksin persekitaran seperti bahan kimia atau virus mungkin berpotensi menyumbang.

Kanak-kanak lelaki lebih cenderung untuk menerima diagnosis ASD. Bagaimanapun, penyelidikan (2017) mendapati, ramai gadis autistik tidak pernah mendapat diagnosis yang betul,“ kata Healthline lagi.

Bagaimana ibu bapa atau penjaga mahu mengenal pasti lebih awal anak mereka mempunyai sindrom Asperger?

Kata Dr Chin Hong, gejala-gejalanya amat samar. Pun demikian, merujuk WebMD, portal perubatan itu menyenaraikan beberapa petanda jelas yang boleh dilihat:

Si kecil biasanya tidak boleh bertentangan mata. Mereka juga kelihatan janggal dalam situasi sosial dan tidak tahu apa yang hendak diperkatakan. Golongan itu tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas apabila ada pihak bercakap dengan mereka.

Tidak mungkin menunjukkan emosi. Mereka mungkin tidak tersenyum apabila gembira atau ketawa. Momentum pertuturan ibarat seperti robot yang sedang bercakap.

Golongan itu mempunyai kegemaran yang spesifik. Jika mereka gemarkan tentang ikan paus, topik itu akan sering diceritakan. Pergerakan rutin mereka juga sama dan dilakukan berulang kali.

Tidak menyukai perubahan. Mereka mungkin menikmati sarapan sama setiap hari. Sesetengah kanak-kanak menghadapi masalah berpindah dari satu kelas ke kelas lain ketika sesi persekolahan.

Dalam pada itu, Autisme Society, Amerika Syarikat berkata, kanak-kanak Asperger juga suka mengumpul benda seperti batu atau penutup botol.

“Mereka juga memiliki pengetahuan hebat terutama dalam bab statistik. Selain itu, golongan tersebut mempunyai kemahiran ingatan yang sangat baik, tetapi bergelut dengan konsep abstrak,” kata mereka.

Dr Chin Hong yang sependapat dengan Austisme Society menambah, pengetahuan yang dimiliki kelompok Asperger biasanya jauh mendahului rakan sebaya. Antara subjek yang menjadi kecondongan mereka adalah seperti geologi, astronomi, seni lukis, nombor, mekanikal, fesyen dan lain-lain.

 

Iklan

Tiada rawatan

Persoalan popular yang kerap ditanya, adakah golongan Asperger mengikuti pembelajaran sama seperti kanak-kanak normal lain dan bolehkan mereka berjaya dalam survival kehidupan?

Jawab pakar itu: “Sasaran semua doktor dan ahli terapi adalah supaya kanak-kanak ini boleh menghadiri sekolah biasa dan mengikut silibus pembelajaran sama. Namun demikian, bantuan terapi wajib dimulakan seawal dalam kehidupan mereka.

“Ini kerana cara penglibatan diri golongan ini dalam (proses pembelajaran) mungkin berlainan dan memerlukan teknik khas.”

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Chin Hong berkata, diagnosis sindrom Asperger tidaklah sampai perlu menjalani prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Ia hanya tertakluk kepada analisis klinikal yang menyaksikan pakar akan membuat penilaian berdasarkan tingkah laku dan interaksi sosial mereka.

“MRI tidak ditawarkan kecuali jika kanak-kanak tersebut mempunyai kelewatan perkembangan lebih daripada satu domain dan doktor mengesyaki penyakit otak lain,” jelasnya.

Meskipun teknologi perubatan semakin berkembang, tiada rawatan ubat yang dapat menyembuhkan sindrom Asperger, mahupun autisme.

Namun, apabila sindrom autisme dikaitkan dengan masalah lain seperti sawan, tidur atau tingkah laku agresif, doktor akan memberi preskripsi ubatan yang bersesuaian untuk mengawal situasi itu.

Kata Dr Chin Hong, persepsi orang ramai tentang penghidap sindrom Asperger atau autisme perlu diubah.

“Sangat tidak wajar untuk kita labelkan sindrom ini sebagai luar biasa ataupun tidak normal. Kita kena sentiasa menggalakkan golongan itu melibatkan diri dalam acara sosial dan dalam perbualan.

Beri waktu kepada mereka untuk mentafsirkan topik perbualan atau tukar kepada hal yang lebih meningkatkan minatnya. Arahan atau permintaan juga dipermudahkan. Jangan juga paksa mereka ‘membuat hubungan mata‘ bila berinteraksi dan tak mudah tersinggung dengan reaksi balas mereka,” katanya.


#kisahpesakit
ZUL HANYA MINAT LUKISAN ABSTRAK, MASIH TAK TONJOLKAN SEBARANG EMOSI SEHINGGA KINI

SELEPAS lebih sebulan menunggu persetujuan, akhirnya Nurul, 44, bersetuju untuk berkongsi tentang anaknya yang menghidap sindrom Asperger. Bagi menghormati privasi, beliau memohon agar namanya dan anak tidak didedahkan.

Iklan

Cerita Nurul yang kini menetap di Brisbane, Australia, permata sulungnya, Zul mula dikesan dengan sindrom tersebut ketika berusia tiga tahun.

Ia bermula apabila si kecil itu masih tidak boleh bertutur seperti rakan sebaya yang lain. Pada masa sama, anaknya yang kini sudah berusia 10 tahun juga tidak pernah menunjukkan sebarang emosi sama ada marah, gembira atau sedih.

Gambar hiasan.

Pada awalnya, saya fikir dia bisu, namun selepas berjumpa pakar, andaian saya dinafikan. Pakar meminta ruang untuk mereka ‘memperbaiki‘ keadaan.

Mereka juga tidak bercadang mendaftarkan Zul di sekolah khas, sebaliknya ke sekolah biasa kerana diagnosis mendapati Zul memiliki ‘ciri-ciri istimewa‘,” katanya ketika diwawancara menerusi WhatsApp.

Beritahu Nurul, beberapa ujian turut dilakukan dan keputusan awal mendapati kemungkinan anaknya berdepan dengan spektrum austisme. Wanita itu reda disebabkan salah seorang jalur keturunannya mempunyai genetik tersebut.

Pun demikian, dari semasa ke semasa, suri rumah berkenaan mendapati, Zul seorang yang sangat obses kepada lukisan abstrak.

“Saya sengaja membeli beberapa batang berus dan warna akrilik untuk melihat sejauhmana reaksinya. Saya terkejut dia dapat menghasilkan satu lukisan memukau yang saya kira tidak setanding dengan usianya.

“Diagnosis demi diagnosis dilakukan, akhirnya pakar mengesahkan Zul ialah kanak-kanak dengan sindrom Asperger (pada usia lima tahun),” katanya.

Ujar Nurul, anak beliau sememangnya menghabiskan masa dengan melukis dan tidak pernah berganjak daripada minatnya itu. Zul juga suka dengan angka.

“Bagaimanapun, di sekolah dia sukar untuk fokus dengan subjek lain. Mungkin sama seperti penghidap sindrom Asperger lain, Zul hanya makan menu berasaskan ayam dan tiada ramai kawan. Biliknya juga sangat rapi dan dipenuhi dengan karyanya,” kata wanita itu.

Kepada penulis, Nurul berkata, beliau tidak mahu terlalu memberatkan pemikirannya untuk mencongak masa depan Zul.

“Bagi kami dan guru-gurunya, Zul tidak pelik, tetapi istimewa. Malah, kadangkala apa yang difikirkannya melangkaui jangkauan saya,” katanya yang bersyukur Zul kini sudah boleh berkomunikasi secara perlahan-lahan.

BACA JUGA: Dapatkan jurupulih pertuturan untuk bantu perkembangan anak autisme, jangan biarkan mereka begitu sahaja

BACA JUGA: Pemimpin bukan sekadar beri arahan, kena lebih bijak dan tunjukkan teladan yang baik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan