BAGI wanita yang pernah mengalami masalah sakit period, pasti tahu dengan ubat penahan sakit yang dikenali sebagai ponstan.

Ia merupakan ubat yang mengandungi bahan aktif asid mefenamik yang tergolong dalam kumpulan anti radang bukan steroid (NSAID).

Selain daripada sakit period, ramai orang mengambil ubat tahan sakit ponstan bagi sakit otot atau sendi seperti terseliuh dan radang tendon, sakit gigi, sakit kepala serta sakit disebabkan oleh patah tulang atau tulang beralih.

Namun, korang perlu tahu bahawa ubat tahan sakit seperti ponstan, ia tidak menyembuhkan penyakit.

Ia hanya mengawal simptom sakit dan radang bagi memberikan keselesaan kepada pesakit.

Oleh itu, korang perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika perlu.

Menurut hellodoktor, seperti ubat yang lain, ponstan boleh menyebabkan kesan sampingan dan tindak balas alergi bagi segelintir individu.

Oleh sebab itulah ubat ini dikategorikan sebagai ubat terkawal dan seharusnya dipreskripsikan oleh doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.

Ia hanya boleh digunakan sekiranya kebaikan pengambilannya mengatasi risiko kesan sampingan atau alergi yang boleh dialami pesakit.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah farmasi, ubat ini boleh dibeli oleh pesakit walaupun mereka tidak mempunyai sebarang preskripsi.

Keadaan ini menggalakkan pesakit tersebut menggunakan ponstan secara kronik sehinggakan ia tidak dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami.

Ubat ini tidak boleh diambil sekiranya seseorang alergi kepada;

  • Asid mefenamik atau sebarang bahan yang digunakan untuk membuat ubat tersebut
  • Individu yang alergi pada ubat aspirin
  • Mereka yang alergi kepada ubat NSAID termasuklah penghalang COX-2

Bagi mereka yang mengalami tindak balas alergi, mereka boleh mendapat simptom seperti;

  • Asma, bunyi nafas bising atau sesak nafas
  • Muka, lidah atau bibir bengkak
  • Sukar untuk menelan
  • Ruam gegata
  • Pengsan

Selain alergi, korang tidak boleh mengambil ponstan jika;

  1. Pernah alami cirit-birit selepas mengambil ubat ini.
  2. Mempunyai ulser perut atau pernah mengalaminya.
  3. Mempunyai atau pernah mengalami radang atau ulser pada permukaan usus.
  4. Mereka yang menghidap penyakit buah pinggang.
  5. Mereka yang alami kegagalan jantung teruk.
  6. Penghidap kegagalan hati.
  7. Wanita hamil dan ibu yang menyusu badan.
  8. Bakal menjalani pembedahan pintasan arteri koronari.
  9. Kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.

Secara amnya, ubat ponstan sering dipasarkan dalam dua dos:

Iklan
  • Kapsul berwarna biru kehijauan atau kuning keputihan (250 mg)
  • Kapsul berwarna kuning dan berbentuk lonjong (500 mg)

Kebiasaannya, ubat ini perlu diambil 3 kali sehari (500 mg) selepas makan.

Namun, bergantung kepada sebab ubat ini dipreskripsikan, dos mungkin dilaraskan oleh doktor supaya sesuai dengan keadaan pesakit.

Sekiranya mengambil ponstan secara berlebihan, korang boleh mengalami simptom seperti;

Iklan
  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Sawan
  • Kekeliruan
  • Pening kepala
  • Halusinasi

Baca juga Rawatan alternatif tidak berkesan tangani kanser usus

Walaupun ubat ponstan sangat popular dan berkesan dalam melegakan simptom sakit, ia perlu digunakan secara berhati-hati.

Jika mengalami sebarang simptom berkait dengan tindak balas alergi atau kesan sampingan ubat, dapatkan nasihat doktor untuk langkah seterusnya.

Sekiranya mendapati sebarang simptom keracunan (ambil secara berlebihan) selepas mengambil ponstan, teruslah ke hospital dengan kadar segera.