BIASANYA, pada setiap pagi majoriti daripada kita akan bangun lantas meneguk segelas air sebelum membuang ‘hajat’ di tandas.

Mengakui perkara itu, Pakar Urologi Klinikal, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA, Dr Zainal Adwin melalui Twitternya @zainaladwin berkata, rutin itu dianggap normal jika berlaku secara konsisten.

“Jika ada perubahan tabiat, ia berkemungkinan besar dikaitkan dengan masalah kanser kolon,” tulisnya.

Kanser kolon? Bunyinya memang menakutkan. Berikut penjelasan lanjut beliau.

Dr Zainal.

Jelas Dr Zainal, antara simptom lain yang boleh menjadi petanda kepada masalah tersebut adalah berlaku pendarahan ketika membuang air besar, kaliber najis yang mengecil dan mengalami sembelit.

Katanya, kebanyakan kanser usus bermula dengan polip yang bertukar menjadi kanser.

Ketahuilah, perubahan berkenaan mungkin berlaku dalam masa yang sangat cepat atau boleh juga terjadi dengan begitu lambat.

“Oleh itu, bagi mereka yang berumur 40 hingga 50 tahun ke atas, saringan pemeriksaan sangat digalakkan,” katanya.

Kepada anda yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser usus, saringan lebih awal perlu dilakukan sebelum mencapai umur seperti disarankan, ujar pakar tersebut.

“Jika kanser ditemui ketika saringan, lokasi, saiz kanser atau kanser sama sudah merebak ke bahagian lain, semua ciri-ciri itu akan menentukan jenis rawatan.

Iklan

“Jika sudah merebak, kemoterapi akan digunakan. Ingat, jangan gerun dengan kemoterapi kerana penggunaannya dikawal oleh pakar onkologi,” beritahunya sambil menambah risiko dan kebaikan kemoterapi akan dibincang bersama pakar yang terlibat.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, jika kanser masih di peringkat awal atau berlaku penyumbatan pada salur pencernaan, pembedahan akan ditawarkan untuk rawatan.

“Di Malaysia, ada bermacam-macam cara pembedahan ditawarkan. Cumanya, jangan jumpa bomoh terlebih dahulu sudahlah,” kata Dr Zainal memberi peringatan.

Iklan

Tegas beliau lagi, rawatan alternatif tidak berkesan untuk merawat kanser usus dan ia menjadi tanggungjawab kepada setiap orang untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Oleh itu, berjumpalah dengan doktor yang sah bagi menentukan risiko kesihatan. Jangan ambil mudah ya! Ingat sekali lagi pesan Dr Zainal, jangan jumpa bomoh ya! Semoga perkongsian ini akan membuka lagi minda kita semua dan bermanfaat!