Keistimewaan santan, gula dan garam penting dalam pembuatan kuih wajik. Rasa yang padu!
KETIKA penulis masih kanak-kanak, wajik antara kuih wajib yang bakal dihidangkan kepada tetamu.
Menjadi satu tradisi, sajian tradisional itu akan dimasak beramai-beramai bersama jiran tetangga. Pada malam raya, dua kawah wajik dan sekawah dodol sudah tersedia.
Biasanya, tiga hari lebih awal, kami sudah membeli bahan-bahan yang diperlukan.
Baca juga Nasi beriani resipi original dari jiran asal Pakistan, juadah enak di hari raya
Ah! Meriah sungguh pada ketika itu. Namun, suasana tersebut tidak lagi dirasai kerana masing-masing lebih suka membeli kuih-muih di kedai, ditambah generasi dulu sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Pun demikian, kru Air Tangan Orang Kita yang membuat liputan pembuatan wajik sentuhan Mohd Tuah Sahari yang berasal dari Melaka baru-baru ini seolah-olah menjentik kembali nostalgia lama penulis.
Mohd Tuah yang mesra disapa Ayah Lang berkata, cara pembikinan wajik atau dikenali sebagai nasi manis di Kelantan adalah berbeza-beza mengikut individu yang memasaknya.
"Saya sendiri mempelajari membuat kulinari turun-temurun ini daripada arwah nenek dan ibu saudara yang mempunyai stail masak tersendiri.
"Bukan sahaja dari segi teknik memasak, jenis wajik yang digemari juga berbeza-beza. Kalau tanya saya, saya lebih suka wajik yang lebih liat kerana enak jika dinikmati pada bila-bila masa," ujarnya.
Kepada SinarPlus, Ayah Lang memberitahu, antara faktor yang mendorong beliau mula menjual sajian warisan itu kepada orang ramai adalah disebabkan pengalaman yang dilaluinya.
Baca juga Dodol dalam kon? Ini rupanya celorot yang orang Sarawak suka makan tu
Kata lelaki yang berusia 56 tahun itu, pernah beberapa kali wajik yang dibeli mempunyai tekstur yang terlalu lembik.
"Disebabkan terlalu kecewa, saya memutuskan untuk membuatnya sendiri. Selepas itu, saya cuba menjual kepada kawan-kawan, tak sangka pula tempahan yang diterima sungguh luar biasa," katanya yang menjual makanan tradisi zaman berzaman itu pada harga RM50 sekilo.
Ditanya apa petua yang perlu dipraktikkan untuk menghasilkan kuih wajik yang sempurna, jawab Ayah Lang: "Setiap pembikin kuih ini harus mengikut piawaian seperti yang orang dulu-dulu amalkan. Dalam penyediaan menu ini, apa yang penting jangan kurangkan santan.
"Keseimbangan santan, gula dan garam penting supaya rasanya 'mesra'. Untuk wajik air tangan saya, memang menggunakan santan segar dan patinya diperah tanpa menggunakan air."
Selain itu, campuran cairan gula enau dan gula pasir juga kena tepat pada waktunya.
"Jika santan dimasukkan terlalu awal, pulut kukus akan terlalu masak dan menjadi bubur pulut manis pula. Kalau terlalu lewat, gula dan santan tidak akan sebati,” jelasnya.
Kepada orang ramai yang ingin mencuba memasak sajian yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas itu, Ayah Lang berbesar hati berkongsi resipi dan cara penyediaannya.
Selain sesuai disajikan untuk tetamu yang bakal bertandang pada hari raya nanti, wajik juga boleh dijadikan hantaran atau buah tangan kepada saudara-mara dan rakan taulan.
BAHAN-BAHAN
3.6 kilogram beras pulut
12 biji santan kelapa
3.6 kilogram gula pasir
1 kilogram gula enau
Segenggam garam
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Cara penyediaan:
1. Bersihkan beras pulut. Kemudian, rendam selama setengah jam.
2. Kukus beras pulut sehingga betul-betul masak.
3. Sejukkan seketika.
4. Selepas itu, masukkan gula pasir ke dalam kuali sehingga menjadi warna keperangan.
5. Kemudian, tuangkan santan dan kacau sehingga gula cair menggunakan api sederhana.
6. Campurkan gula enau. Kacau sebati sehingga mendidih.
7. Setelah air gula pekat, masukkan pulut kukus yang telah disejukkan tadi.
8. Masukkan segenggam garam. Kacau sehingga gula santan dan pulut sebati.
9. Akhir sekali, boleh dihidangkan untuk para tetamu pada lebaran nanti.
Sumber Mohd Tuah Sahari
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang