BERDASARKAN data Centers for Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2015, 1.3 peratus atau tiga juta individu dewasa yang menderita penyakit radang usus jenis Inflammatory Bowel Disease (IBD).

Sementara itu, Crohn’s Colitis Foundation, AS pula melaporkan, kira-kira 1.6 juta rakyat AS mengalami IBD (2011) dengan kira-kira 80,000 kanak-kanak menderita.

Pada setiap tahun pula, terdapat 70,000 kes dilaporkan. Secara ringkasnya, IBD merupakan situasi keradangan pada sistem pencernaan usus.

Dalam definisi yang lebih mudah difahami, krisis kesihatan itu adalah merujuk kepada iritasi yang menyebabkan keradangan kronik iaitu sakit dan bengkak di dalam usus, kata Cleveland Clinic.

Berbeza dengan Sindrom Rengsa Usus (IBS), IBD lebih kompleks.

“IBS adalah sindrom yang melibatkan beberapa simptom dan mempengaruhi fungsi usus dan perut.

Bagaimanapun, ia tidak akan mengakibatkan kerosakan pada usus seperti IBD,” kata sumber perubatan itu.

Cleveland Clinic menambah, seorang manusia boleh mengalami IBD dan IBS sekali gus.

Walaupun pesakit IBD mungkin mempunyai petanda yang sama seperti IBS, tetapi tiada bukti kukuh menyatakan IBS meningkatkan risiko IBD.

Bagi memperincikan penyakit melibatkan usus itu, kami menghubungi Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Pembedahan Am, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Razrim Rahim.

Secara asasnya, beliau berkata, keradangan usus terbahagi kepada dua kategori iaitu akut dan kronik.

“Radang usus akut biasanya terjadi disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Punca radang usus kronik pula masih dalam kajian dan ia mungkin berkait dengan kerosakan pada sistem imun badan,” katanya.

Radang usus kronik pula dibahagikan kepada Ulcerative Colitis (UC) dan Crohn’s.

UC boleh berlaku pada usus besar manakala Crohn’s pula boleh terjadi pada mana-mana bahagian salur gastrousus dari mulut hingga ke dubur.

Kedua-dua situasi keradangan tersebut boleh menjejaskan sistem pencernaan.

Najis berdarah

Mengulas lanjut, Dr Razrim menjelaskan, kelemahan sistem imun tubuh boleh menjadi salah satu faktor penyumbang kepada IBD.

“Imuniti sepatutnya memberi tindak balas kepada jangkitan. Pun begitu, sistem imun penghidap IBD telah bertindak menyerang sel dalam badan sendiri,” terangnya.

Ketika ditanya sama ada penyakit tersebut mempunyai kaitan dengan genetik, Dr Razrim berkata, kemungkinan itu ada kerana risiko menghidap IBD adalah lebih tinggi dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Selain imun, faktor alam sekitar seperti merokok dan penggunaan ubat-ubatan tertentu boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit.

Kepada satu soalan, Dr Razrim berkata, faktor mengunyah makanan dengan cepat juga tiada kaitan dengan penyakit tersebut. Ia sekali gus mematahkan mitos yang sering dimomokkan orang ramai.

“Perkara yang perlu diketahui, simptom IBD berlainan bagi setiap individu,” katanya. Justeru, apakah petanda-petandanya?

Sebelum itu, jelas beliau, gejala yang dialami berbeza bagi setiap individu. Namun, secara umumnya, sakit perut, cirit-birit, muntah, berasa pening, najis berlendir dan berdarah yang berlarutan antara yang perlu diberi perhatian.

Dalam sesetengah keadaan, pesakit juga mengalami gatal pada mata dan sakit sendi.

“Penghidap radang usus kronik boleh mengalami pengurangan berat badan yang ketara kerana makanan yang diambil tidak dapat dihadam dan dicerna.

“Situasi tersebut akan menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi dan kekurangan nutrisi,” tuturnya.

Baca juga: Usus kecil tersepit, rupanya Lisa Presley meninggal dunia asbab komplikasi pembedahan bariatrik

Diagnosis

Bagi mendapatkan penjelasan tentang rawatan pesakit IBD, SinarPlus menemui Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, KPJ Tawakkal Specialist Hospital, Dr Nurhashim Haron.

Ujar beliau, radang usus akut bersifat sementara dan boleh pulih selepas beberapa ketika.

Pun demikian, keradangan kronik adalah satu kondisi yang akan dialami sepanjang hayat.

Namun, rawatan yang diberikan dapat membantu mengawal gejala dan pengesanan yang tepat akan memudahkan proses rawatan. Seperti yang diperkatakan pada awal artikel, radang usus kronik terdiri daripada UC dan Crohn’s.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, ujar pakar berkenaan, disebabkan simptom kedua-duanya serupa, diagnosis perlu dijalankan bagi mengesan pembengkakan.

Selain itu, penghidap juga disarankan menjalani ujian darah dan sampel najis, mengikuti prosedur kolonoskopi serta endoskopi sebelum disahkan jenis IBD mereka.

Pada masa sama, golongan itu perlu melalui imbasan pengimejan resonans magnetik. Dr Nurhashim juga menjelaskan, rawatan IBD berbeza bergantung kepada jenis dan simptom yang dialami pesakit.

“Jangkitan yang disebabkan virus lazimnya akan pulih dengan sendiri selepas tiga hingga lima hari. Ubat-ubatan seperti tahan sakit dan cirit-birit boleh membantu mengawal kesakitan supaya berada pada tahap terkawal,” ujarnya.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pesakit lazimnya hadir ke hospital selepas mengalami sakit perut yang berulang. Sesetengahnya mempunyai bisul pada dubur.

“Situasi ini boleh mengundang komplikasi yang lebih teruk. Ubat perlu diberikan mengelakkan bisul yang tumbuh melarat‚” katanya.

Risiko kanser kolon

Selain gejala yang sama antara UC dan Crohn’s, komplikasi yang melanda pesakit juga hampir serupa. Antaranya, ia akan meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser kolon.

Selain itu, radang usus yang teruk boleh mencetuskan keadaan seperti:

  1. Fistula anus (pembukaan antara kulit dan rektum).
  2. Usus yang tersumbat.
  3. Usus bengkak atau dikenali sebagai megakolon toksik.
  4. Kebocoran usus.

Beritahu Dr Nurhashim, usus tersumbat adalah salah satu contoh keradangan yang memerlukan rawatan pembedahan. Prosedur itu perlu dijalani apabila perubatan yang dibekalkan tidak lagi mampu memberi kelegaan.

Iklan

“Pembedahan membuang sebahagian segmen usus besar akan dilaksanakan apabila simptom semakin memburuk,” ungkapnya.

Memperihalkan lebih lanjut, pakar tersebut berkata, usus yang membengkak boleh mengundang maut kepada penghidapnya.

Sehubungan itu, pesakit yang berdepan dengan gejala berterusan atau berulang sepatutnya segera berjumpa pakar. Lebih awal, kadar penyembuhannya adalah lebih tinggi.

Dr Nurhashim berkata, tiada bukti yang menunjukkan makanan boleh memicu keradangan. Pun begitu, pesakit lazimnya dinasihatkan agar mengelak makanan pedas, kafein atau buah-buahan yang boleh mengundang gejala ketidakselesaan pada perut.

Mereka juga disarankan agar mengamalkan diet rendah fiber. Sesetengah pesakit akan disarankan untuk mengambil suplemen bagi membantu penyerapan nutrien.

Baca juga: Hati-hati. Sakit perut, cirit-birit, darah dalam najis antara simptom radang usus

Seseorang perlu mengekalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan. Secara amnya, tiada halangan untuk pesakit melakukan aktiviti fizikal. Pun begitu, ia bergantung kepada kemampuan diri.

“Paling penting berhenti merokok, jangan mengambil alkohol dan elakkan tekanan.

“Pesakit juga boleh mencuba teknik meditasi,” ujarnya.

Baca juga: Alami perubahan kepada pola membuang air besar? Itu mungkin petanda Sindrom Iritasi Usus

KORESPONDEN

BEBERAPA isu kesihatan yang dialami Raja Muhammad Faiz Hafiz membuatkannya berdepan masalah keradangan pada usus sekitar tiga tahun lepas.

Pemeriksaan doktor seterusnya mengesahkan beliau sememangnya mengalami sindrom radang usus (IBD).

Ujar lelaki berusia 31 tahun tersebut, kondisi diri ketika itu barangkali ada kaitan dengan masalah gastrik yang sudah lama dihidapinya.

Pada masa sama, beliau turut mengambil ubat sawan. Raja Muhammad Faiz menjangkakan, ususnya terjejas disebabkan preskripsi itu. Sudah jatuh ditimpa tangga, selepas itu tuan punya badan menghidap tumor otak sehingga memaksanya menjalani rawatan kemoterapi.

Iklan

“Saya sering mengalami kesukaran untuk bernafas dan rasa seperti mahu tercekik.

“Keadaan ini berlaku apabila tubuh mengalami kekurangan oksigen dan jantung mula berdegup laju,” katanya.

Bukan itu sahaja, kata Raja Muhammad Faiz, beliau turut berdepan masalah angin dan tidak boleh makan sembarangan.

“Sekiranya makanan tersebut tidak sesuai dengan badan, saya akan mengalami rasa pedih perut dan kesakitannya berganda berbanding ketika mengalami gastrik. Keadaan ini menyebabkan saya sukar untuk tidur,” katanya yang mengalami pengurangan berat badan mendadak.

Mengulas lanjut, lelaki yang bekerja sendiri itu berkata, tiada perawatan khas yang dijalaninya untuk mengubati IBDnya.

Selain ubat yang diberikan doktor untuk mengurangkan gejala, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan sihat.

Tambahnya, makanan segera dan diproses akan dielakkan kerana ia tidak bagus untuk usus dan kesihatan secara keseluruhannya.

Sebagai alternatif, beliau turut berikhtiar dengan mengamalkan makanan sunah seperti madu dan habatussauda.

Susu prebiotik juga dilihat dapat membantu masalah mengurangkan masalah yang dialami.

Selepas lama menderita, anak kelahiran Selangor itu berkata, beliau kini semakin pulih.
Pun demikian, beliau dinasihatkan doktor untuk tidak melakukan aktiviti lasak dan perlu mengelak mengangkat barangan berat.

Kesan daripada pembedahan otak yang dijalaninya, kaki kiri beliau sedikit tempang bila berjalan.

“Namun, saya masih boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa dan masih dapat memandu untuk perjalanan yang jauh. Aktiviti yang saya lakukan adalah berdasarkan kemampuan diri saya,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang