Alami perubahan kepada pola membuang air besar? Itu mungkin petanda Sindrom Iritasi Usus

KESIHATAN yang baik bermula daripada perut yang sihat. Frasa itu bukan sekadar kata-kata kosong.

Dalam dunia perubatan, jika organ itu bermasalah, kehidupan seseorang boleh terjejas.
Sindrom Iritasi Usus (IBS) adalah salah satu masalah yang berkait dengan kesihatan perut dan usus.

Menurut Verywell Health, kira-kira lima hingga 10 peratus penduduk dunia dilaporkan menghidap penyakit tersebut.

Di Malaysia, tiga kajian perubatan yang dijalankan menunjukkan 10 hingga 15 peratus rakyat di negara ini menderita IBS.

Apakah sebenarnya IBS dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan manusia? Untuk menjawab soalan tersebut, SinarPlus menghubungi Pengasas dan Pengarah Perubatan Klinik Iris, Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

Ujar Dr Arisman, secara asasnya, perut dan usus yang memainkan peranan dalam sistem pencernaan badan mempunyai kaitan dengan IBS. Perut berfungsi mengumpul makanan untuk dicernakan.

Sementara usus pula akan menyerap zat nutrisi daripada apa yang dihadam seseorang.
Pada masa sama, organ itu akan memastikan keseimbangan cairan dan elektrolit dalam tubuh semasa proses pencernaan.

Beritahu pegawai perubatan itu lagi, apabila IBS atau turut dikenali sebagai sindrom rengsa kolon berlaku, ia akan mengakibatkan perubahan kepada pola membuang air besar seperti cirit-birit, sembelit atau kedua-duanya sekali.

Baca juga: Jangan minum air sejuk nanti perut buncit! Betul ke? Ini ulasan Dr Malar

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Dalam pada itu, Cleveland Clinic berkata, ada ketikanya pesakit IBS tiada masalah langsung dengan ususnya, namun pada masa tertentu secara tiba-tiba mereka akan berdepan dengan masalah seperti:

  1. IBS dengan sembelit (IBS-C): Najis keras dan berketul.
  2. IBS dengan cirit-birit (IBS-D): Najis longgar berair.
  3. IBS dengan tabiat usus bercampur (IBS-M): Mengalami sembelit dan cirit-birit pada hari sama.

Tidak terkait kanser

Menurut Dr Arisman, kelazimannya, setiap pesakit akan mengalami gejala yang berbeza-beza. Sesetengah orang barangkali mengalami isu ketidakhadaman seperti masalah buang angin, perut kembung dan bergas, kerap kentut serta sendawa.

“Najis yang dikeluarkan daripada badan juga berlendir berbanding individu normal,” katanya kepada SinarPlus.

Kepada satu soalan, beliau berkata, punca kepada IBS masih tidak diketahui.

Pun demikian, terdapat beberapa ciri-ciri yang dikaitkan, antaranya:

  1. Makanan memasuki usus dengan cepat dan berlakunya kontraksi otot lebih laju serta kuat sehingga mengalami kembung gas dan cirit-birit.
  2. Makanan melewati usus dengan lambat kerana lemahnya kontraksi otot usus sehingga terjadi sembelit.
  3. Masalah sistem saraf yang berkait dengan kelemahan signal dan antara otak dengan usus.
  4. Sejarah keluarga yang mempunyai IBS.
  5. Jangkitan kuman atau radang usus.
GAMBAR hiasan daripada PEXELS.

Ujar Dr Arisman, IBS sebenarnya lebih kerap menjangkiti mereka yang berusia di bawah 50 tahun. Golongan wanita lebih banyak mendominasi penyakit berkenaan.

“IBS mempunyai perkaitan rapat dengan hormon. Biasanya, mereka yang mendapat rawatan hormon estrogen sebelum atau selepas menopaus berisiko mengalami penyakit tersebut,” katanya.

Pun begitu, terdapat alasan lain. Gaya hidup seseorang seperti merokok dan sentiasa mengambil makanan yang kurang berkhasiat dan tidak bernutrisi juga memberi pengaruh besar.

 

Adakah alahan kepada makanan tertentu boleh menyebabkan IBS?

Jelas Dr Arisman, kajian lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan kesahihan dakwaan tersebut.

Namun demikian, kongsi beliau, sesetengah makanan atau minuman tertentu seperti minuman bergas, produk tenusu, susu termasuk buah sitrus boleh menyebabkan simptom yang dideritai pesakit semakin teruk dan mungkin akan berulang lagi.

“Walaupun tidak mengancam nyawa tetapi IBS boleh memberi kesan kepada masalah kesihatan mental seperti keresahan, depresi dan lain-lain,” katanya.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pembaca SinarPlus, tahap stres berpunca daripada rutin harian yang menyelubungi anda boleh memicu kepada IBS.

Baca juga: Jangan ambil mudah jika terkena cirit-birit, air perlu cukup elak kerosakan ginjal

GAMBAR hiasan daripada PEXELS.

Berdasarkan pengalaman, Dr Arisman berkata, apabila situasi itu tercetus, kebarangkalian petanda akan menjadi lebih buruk.

“Apa yang saya boleh katakan, ramai pesakit IBS tahap sederhana dan teruk mempunyai kualiti hidup yang rendah,” ujarnya.

Seperkara lagi, jika ramai yang mengandaikan IBS boleh menuju ke arah kanser pada mana-mana bahagian sistem pencernaan, kenyataan itu tidak tepat sama sekali.

“Nasihat saya, jika mana-mana individu berdepan dengan najis berdarah, segera bertindak cepat dan dapat pemeriksaan untuk mendapatkan diagnosis seterusnya,” katanya.

Profesor Madya Dr Razrim Rahim

Akupunktur

Bersama Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Pembedahan Am, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Razrim Rahim, kami lebih banyak membincangkan tentang rawatan sesuai untuk penghidap ISB.

Pertama sekali, kata Dr Razrim, individu yang berasakan terdapat perubahan ketara dalam tabiat pembuangan air besar, sama ada kerap cirit-birit atau sembelit disarankan menjalani ujian pemeriksaan usus iaitu kolonoskopi.

“Bukan itu sahaja, seandainya ada yang mengesyaki diri mereka ada gastrik yang tidak sembuh atau penghidap non-ulcer dyspepsia yang berdepan masalah ketidakhadaman juga perlu melalui prosedur sama,” katanya ketika dihubungi.

Ujar beliau, penyakit IBS pada hakikatnya boleh beransur pulih jika pesakit mentransisikan gaya hidup mereka dari segi pemakanan dan senaman. Pada masa sama, rehat dan tidur yang cukup amat membantu.

“Mudah kata, banyakkan makanan yang mengandungi serat dan tingkatkan jumlah air yang diminum. Pesakit juga diminta mengamalkan kaedah ‘cuba dan lihat’ tentang makanan yang boleh menganggu kesihatan mereka. Jika mereka tahu sajian itu ‘tidak kena’ untuk mereka, hentikan terus,” katanya.

Dalam pada itu, Cleveland Clinic, Amerika Syarikat menyenaraikan kategori makanan yang perlu dihindari pesakit IBS.

  1. Kafein, minuman bersoda, teh, coklat dan minuman tenaga: Semua minuman yang dinyatakan akan stimulasikan kontraksi usus sehingga menyebabkan cirit-birit dan memburukkan lagi gejala IBS.
  2. Alkohol: Ia boleh menyebabkan dehidrasi dan ganggu sistem pencernaan.
  3. Makanan bergas: Akan menyebabkan perut kembung kerana kandungan FODMAD (pola makan yang menganjurkan seseorang untuk menghindari makanan sumber karbohidrat yang struktur kimianya berantai pendek).
  4. Makanan olahan: Menerusi kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Gastroenterology (2018), 10.5 peratus individu mengalami gejala IBS apabila memilih makanan jenis ini.
  5. Serat tidak larut: Makanan jenis ini seperti pada biji-bijian, sayuran dan buah tertentu boleh membuatkan gejala cirit-birit semakin teruk, antaranya seperti tauhu, beri, mangga dan jeruk.
  6. Susu dan produk olahan: Aiskrim, keju atau mentega mengandungi tinggi kandungan lemak yang boleh membuatkan pesakit sakit dan kembung perut.
    Makanan mengandung gluten: Lihat label pada makanan sebelum anda membelinya. Jika tersilap, selain sakit dan kembung perut, penghidap mungkin alami sembelit, mual termasuk cirit-birit.
  7. Gula dan pemanis buatan: Sila elakkan roti putih, kuih-muih dan pastri. Pemanis buatan seperti sorbitol, sukralosa dan aspartam juga perlu diketepikan.

Baca juga: Perut kembung jadikan kita tak selesa. Ini kaedah urutan buang angin yang boleh dilakukan di rumah

GAMBAR hiasan daripada PEXELS.

Dalam pada itu, Dr Razrim berkata, ubat-ubatan pula akan diberikan bergantung kepada gejala yang dialami.

“Jika sembelit, doktor akan berikan pelawas dan sekiranya pesakit alami cirit-birit, mereka akan dibekalkan dengan ubat untuk mengurangkan cirit-birit.”

“Untuk sesetengah keadaan, ubat khusus untuk IBS akan diberikan bagi merawat kekejangan usus,” jelas beliau lagi.

Sesetengah pesakit mungkin boleh mendapat manfaat daripada rawatan akupunktur, hipnosis dan aromaterapi.

Menurut Medical News Today, akupunktur adalah bertujuan untuk mengimbangi tenaga, merawat kesakitan dan menyembuhkan beberapa penyakit.

Iklan

“Bagaimanapun, National Center for Complementary and Integrative Health menyatakan terdapat bukti terhad yang menunjukkan kaedah berkenaan berkesan,” ujar sumber berkenaan.

Makanan terbaik untuk mengurangkan gejala IBS:
1. Daging tanpa lemak: Daging ayam, daging ayam belanda dan daging lembu tanpa lemak adalah protein yang mudah dihadam.
2. Telur:Pilihan yang selamat untuk pesakit IBS.
3. Ikan berlemak: Ikan bilis, kod hitam, tenggiri, salmon dan sardin kaya dengan omega.
4. Sayur-sayuran: Paling terbaik ialah rebung, cili benggala, lobak merah, daun saderi, bok choy, kale dan bayam serta terung.
5. Buah-buahan :Nikmati avokado, pisang, beri biru, kiwi dan betik.
6. Kacang: Kacang adalah sumber serat, protein, dan asid lemak omega-3 yang baik, antaranya seperti badam, kacang Brazil serta kacang hazel.
7. Bijiran: benih Contoh yang paling bagus ialah biji chia, labu dan bunga matahari.
8. Air rebusan tulang :Sup tulang yang dibuat daripada rebusan tulang dan sayur-sayuran mengandungi nutrien sihat untuk lapisan usus. Ia juga meredakan kekejangan perut dan cirit-birit.

Sumber VERYWELL HEALTH

Koresponden

Ingatkan kanser, rupa-rupanya masalah usus

PADA awalnya Siti Nor Zulaikah Othman menyangka masalah perut kembung dan rasa tidak selesa yang dialaminya disebabkan oleh gastrik.

Pun demikian, gejala yang dialaminya semakin memburuk sebaik dia mula aktif dalam aktiviti mendaki.

“Perut saya akan mengalami kekejangan, sebu dan senak. Ada ketikanya memulas seperti diperah-perah. Kalau saya tersilap makan, memang berulang-aliklah saya masuk ke tandas,” ujarnya yang ketika itu sudah terfikir dia mungkin menghidap kanser.

Selepas melakukan pemeriksaan, rupa-rupanya wanita berusia 39 tahun itu disahkan berdepan dengan Sindrom Iritasi Usus (IBS).

“Terus terang saya tak tahu apa itu IBS, namun saya bersyukur kerana ia bukannya kanser,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, ibu kepada dua anak itu memberitahu, dia bertemu dengan pakar gastroenterologi dan prosedur kolonoskopi dijalankan bagi memeriksa usus serta saluran penghadaman.

GAMBAR hiasan daripada PEXELS.

“Sejak tahu saya ada IBS, saya diminta untuk lebih teliti dalam aspek pemilihan makanan. Ada ketikanya perut saya okey sahaja bila makan tapi kadangkala ia jadi sangat tidak selesa. Keadaan tersebut menganggu mood dan nak tidur pun tak boleh,” ujarnya yang mengakui menghadapi kesukaran jika makan di luar.

Iklan

Selepas lama kami bersembang, Siti Nor Zulaikah berkata, dia turut mengalami masalah sembelit. Ia dikenali sebagai IBS dengan masalah sembelit (IBS-C).

Selain itu, ada masanya dia mengalami sembelit dan cirit-birit pada hari yang sama (IBS-M).

“Jika kombinasi makanan yang diambil tak betul, saya juga akan muntah dan perut saya kejang. Kekerapan saya membuang air besar juga lebih banyak berbanding individu normal,” katanya.

Ditanya apakah contoh sajian yang boleh memicu ketidakselesaan, Siti Nor Zulaikah memberi contoh pulut.

“Kalau saya nak makan pulut, saya perlu pastikan perut saya sudah terisi dengan makanan lain dahulu,” katanya.

Suri rumah itu juga perlu mengelak menikmati kopi dan nangka yang dikatakan ‘berangin’.

“Setakat ini, itu makanan yang perlu saya hindari. Namun, tak semua penghidap IBS sama. Mereka kena cuba makan apa sahaja sajian dahulu, kalau rasa memang perut tak boleh nak ‘pergi’, terus hentikan,” nasihatnya.

Bagaimana dengan aktiviti mendaki, adakah masih diteruskan?

Sambil tertawa Siti Nor Zulaikah berkata, dirinya sudah tidak lagi melakukan sebarang aktiviti lasak.

“Saya banyak berjalan untuk memastikan kecerdasan badan dan mengambil suplemen prebiotik serta probiotik yang baik untuk perut,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang