Keluar beli barang dapur jadi perjalanan terakhir, ibu pergi selamanya di depan anak-anak – 'Ciuman terakhir seorang bayi'
KELUAR rumah untuk membeli barang dapur, satu rutin kecil yang sering dilakukan seorang ibu ini. Namun, siapa sangka ia menjadi perjalanan terakhir buat seorang wanita tersebut.
Lebih meruntun jiwa, detik perpisahan itu disaksikan sendiri oleh anak-anaknya, termasuk seorang bayi kecil yang belum mengerti erti kehilangan.
Itulah kisah pilu pemergian Almarhumah Tuan Syazalia Tuan Zarahim Nazri, 35, yang maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu, 17 Januari 2026, di Jalan Dato’ Hormat, Sungai Kembong, Pulau Indah.
Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang, arwah dilaporkan menunggang sebuah motosikal untuk membeli barangan keperluan memasak di sebuah kedai runcit berhampiran. Bersamanya ketika itu ialah dua orang anak perempuan yang masih kecil, satu gambaran biasa seorang ibu yang tidak pernah berpisah lama daripada anak-anak.
Namun, takdir menentukan sebaliknya. Motosikal yang ditunggang arwah dipercayai sedang melalui jalan utama sebelum dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang gagal berhenti di persimpangan empat.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan arwah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua anak perempuannya turut tercedera. Seorang daripada mereka mengalami patah tulang paha, manakala seorang lagi hanya mengalami luka ringan.
Kedua-duanya segera dikejarkan ke Hospital Klang untuk menerima rawatan lanjut dan kini berada dalam pemantauan pihak perubatan.
Jenazah arwah kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Klang untuk proses bedah siasat.
Hasil pemeriksaan mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan serius di bahagian dada serta patah tulang rusuk.
Selesai urusan tersebut, jenazah dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus, Batu Belah, Klang bagi pengurusan mandi dan kafan.
Di sinilah suasana paling menyentuh perasaan berlaku. Tangisan dan esakan tidak mampu dibendung apabila anak bongsu arwah yang berusia lima bulan didukung untuk mencium wajah ibunya buat kali terakhir.
Detik itu benar-benar meruntuhkan jiwa sesiapa sahaja yang menyaksikannya. Seorang bayi yang masih menyusu badan, belum mengenal dunia, kini terpaksa membesar tanpa pelukan dan belaian seorang ibu.

Si suami pula kelihatan kaku menahan kesedihan, menyedari satu fasa kehidupan yang amat berat perlu dilalui selepas ini, membesarkan tiga orang anak yang masih kecil tanpa pasangan di sisi.
Seusai disolatkan, jenazah almarhumah dibawa pulang ke Marang, Terengganu, negeri kelahirannya. Ketibaan jenazah disambut dengan linangan air mata oleh ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan rapat yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Alhamdulillah, jenazah Almarhumah Tuan Syazalia selamat dikebumikan pada 8.40 malam dengan bantuan pihak pengurusan tanah perkuburan dan kariah setempat. Segalanya berjalan lancar dalam suasana penuh hiba.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

