'Tunggu mati dulu baru nak tunjuk sayang.' 50 hari nikah, suami sayu isteri pergi selamanya selepas bantu mangsa kemalangan

No Image Caption
A
A
A

JODOH ajal dan maut di tangan ALLAH. Takdir tertulis jodoh hanya 50 hari, pemuda Mohd Khairil Akmal Md Rahim terpaksa menerima kenyataan pemergian isteri ketika baharu mengecap bahagia rumah tangga.

Pemergian Allahyarham Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23, hingga kini masih ditangisi sang suami sementelah belum dua bulan mendirikan rumah tangga. 

Siti Nurlieyana maut apabila kereta dipandu suaminya terlibat kemalangan di Banggol Petai, Machang kurang sejam selepas pasangan berkenaan membantu seorang mangsa kemalangan jalan raya di Kota Bharu.

Allahyarham dikatakan menunjukkan perubahan emosi yang ketara sejurus selepas mereka membantu seorang penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan berhampiran KB Mall, Kota Bharu, pada lewat malam Isnin.

Kemudian pada sekitar 11.40 malam, dia dan Allahyarham berhenti untuk membantu mengalihkan mangsa kemalangan serta mengawal lalu lintas sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Krai.

No Image Caption

“Dalam perjalanan pulang, arwah tiba-tiba merengek meminta saya menunjukkan kasih sayang.

“Dia kemudian merajuk, menangis dan beberapa kali menyebut tentang kematian.

“Antara kata-katanya yang masih terngiang di telinga saya, dia berkata, ‘ke nak tunggu mati dulu baru nak tunjuk sayang’,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tidak lama selepas itu, kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum isterinya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Sekitar jam 12.50 pagi, ketika melalui kawasan Bukit Belah di Banggol Petai, kereta yang dipandunya dipercayai berpusing sebelum terbabas dan merempuh sebuah Mitsubishi Pajero.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki.

No Image Caption

“Sedar-sedar, isteri sudah bersandar pada saya. Ada darah keluar dari telinga dan hidungnya.

“Saya cuba menariknya keluar, tetapi dia tersepit.

“Saya terkedu. Saya masih tidak percaya kata-kata arwah seolah-olah menjadi petanda kepada apa yang berlaku,” katanya dengan nada sebak.

Suri rumah itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala Mohd Khairil Akmal hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Lebih memilukan, menurut Mohd Khairil beberapa hari sebelum kejadian, Allahyarham ada memuat naik status bernada sedih dan memohon maaf kepada ibunya.

“Hari lahir saya pada 7 Februari lalu, dia memuat naik status di WhatsApp sambil memanggil saya ‘daddy’,” katanya.

No Image Caption

Dalam satu hantaran di TikTok, pemuda itu sempat menitipkan berjaya merealisasikan impian isteri tersayang menjadi lelaki terakhir dalam hidup.

"Awak kata hendak kahwin dengan saya dan jadikan saya lelaki terakhir awak. Akhirnya doa awak termakbul walaupun sakit untuk saya terima. Al-Fatihah," titipnya sayu.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Disember tahun lalu, selepas beberapa kali perancangan perkahwinan tertangguh.

Allahyarham Siti Nurlieyana Azieka Rosli merupakan seorang suri rumah dan anak kelima daripada lapan beradik.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chap, Bachok, di kampung halaman ibunya.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang