'Dari 2 petang hingga jam 1 pagi.' 2 kanak-kanak hilang keluar beli pau rupanya 11 jam terperangkap dalam lif
[DIKEMAS KINI] BERPANTANG maut sebelum ajal, mungkin itu pepatah sesuai mengambarkan situasi kanak-kanak yang dihebahkan hilang dan tular menerusi laman sosial Facebook.
Kehilangan kanak-kanak bernama Faiq Adiwira, 11, bersama rakannya, Absyar yang berusia 10 tahun terdahulu dikongsikan ibu Faiq, Fospaliza Md Sariff.
Gagal mengesan keberadaan Faiq dan Absyar yang keluar dari rumah pada jam 2.15 petang untuk membeli pau, Fospaliza terdahulu memuat naik hantaran memohon bantuan orang ramai.
"Budak hilang. Hari ini 19 Ogos 2024 anak saya Faiq Adiwira berusia 11 tahun pada pukul 2 lebih keluar membeli pau sebelah Zam Burger bersama kawannya bernama Absyar berumur 10 tahun.
"Mereka tidak balik pukul 7 malam seperti biasa dan telah cari dalam pukul 7.50 malam.
"Pakaian yang dipakai ialah baju biru dan seluar hitam. Pada jam 12.05 pagi masih belum dijumpai. Hubungi jika ada apa-apa informasi," katanya.
Bagaimanapun, sejam kemudian Fospaliza memaklumkan Faiq dan Absyar sudah ditemui dalam keadaan selamat. Rupa-rupanya dua sekawan itu didakwa terperangkap di dalam lif selama 11 jam!
"Alhamdulillah selamat sampai rumah. Tersekat dalam lif dari jam 2.15 petang hingga jam 1 pagi.
"Mereka sudah jerit dan tekan loceng banyak kali," kongsi Fospaliza yang memuat naik foto kedua-dua mereka sedang menikmati hidangan nasi.
Si ibu turut memaklumkan loceng penggera lif berkenaan berfungsi dengan baik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa syukur kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun ramai yang mengakui bimbang dengan keadaan kanak-kanak itu yang terperangkap lama di dalam lif dan bengang dengan pihak pengurusan kondominium berkenaan.
"Alhamdulillah, mujur ventilation ok. Syukur anak-anak kuat semangat. Kalau ikutkan lama tu, apa apa pun alhamdulillah semuanya selamat."
"Sedihnya tengok tidur dua orang dekat situ. Alhamdulillah tak jadi apa-apa."
"Ya ALLAH mesti lapar, hampir 12 jam."
"Syukur selamat Alhamdulillah. Risau baca story budak-budak ini hilang semalam. Takkan tak ada pengguna lif lain yang perasaan lif tu rosak. Lambat betul bantuan sampai. CCTV ada dah tu nampaknya. Atau tiada TV CCTV dari luar pintu lif? Peliknya pengurusan situ,terlalu lama kasihan budak-budak. Flat biasa saya tinggal dulu pun tidak sampai dua jam bantuan sampai."
"Mak ayah ambil tindakan saman management dan safety officer yang luluskan lif itu. Buat laporan polis dan cari peguam. Ini boleh menyebabkan kematian."
'Sedihnya tengok anak puan. Saya rasa nak marah kepada pihak management atau pengawal keselamatan. Takkan tiada laporan lif rosak kepada pihak pengurusan. Dari pkul 2 petang sampai awal pagi. Syukur Alhamdulillah anak puan dan kawannya selamat. Saya pula yang trauma dengan lif."
SinarPlus cuba menghubungi ibu kanak-kanak berkenaan bagaimanapun masih belum mendapat balasan setakat ini.
LIF TERBUKA SENDIRI
Sementara itu, ibu saudara salah seorang kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Ina berkata, anak saudaranya keluar dari rumahnya di Flat Desa Petaling untuk membeli pau dan berjumpa rakannya yang berada di Apartmen Pangsaria berhampiran.
"Saya diberitahu anak abang itu keluar kira-kira jam 2 petang, namun sehingga jam 10 malam masih tidak pulang.
"Usaha pencarian dilakukan kami sekeluarga di kawasan sekitar, memang risau masa itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tambahnya, mereka sekeluarga bersyukur selepas kanak-kanak itu dijumpai selamat kira-kira jam 1 pagi Selasa.
"Saya diberitahu mereka terperangkap lama dalam lif. Lif telah terbuka sendiri, mereka keluar dalam keadaan lapar dan mengantuk. Syukur semuanya baik," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, dua kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun dipercayai terperangkap dalam lif apartmen kira-kira sembilan jam.
Kata beliau, terdapat dua laporan mengenai kebimbangan keselamatan dua kanak-kanak itu diterima pihak polis.
"Mangsa telah dijumpai semula dalam keadaan selamat," katanya.
Sumber: Facebook, Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang