'Jangan disumbat silibus melampau...' Tak salah anak 7 tahun baru pandai membaca, pesan pakar ini, elak kejar IQ hingga abai EQ
Beberapa hari ini tular video seorang murid pra sekolah yang meluahkan rasa sedih kerana tidak lancar membaca. Video tersebut mendapat perhatian orang ramai yang mana masing-masing telah memberikan pandangan mereka tersendiri.
Ada yang mengakui silibus pelajaran kini agak sukar, malah ada juga yang menyalahkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah tanpa pandai membaca pada umur sedemikian.
Tampil dengan fakta kajian, seorang wanita bernama Asmah Chem di Facebook telah berkongsikan pandangannya berserta contoh bahawa umur 7 tahun adalah usia terbaik untuk mendidik pelbagai perkara dengan asas yang betul.
"Beberapa orang tag saya di post Dr OT sebentar tadi. Di bawah ini, saya screenshot gambar dan perenggan akhir tulisan beliau. Sebenarnya saya sendiri pernah mengikuti "talk" Dr OT semasa pengajian sarjana dulu, "how to GOT" (graduate on time). Alhamdulillah saya berjaya GOT ketika itu, dan terbukti panduan yang diberikan beliau bukanlah sekadar omongan kosong.
"Berbalik kepada video viral. Sebenarnya saya sendiri sudah melihat video viral tersebut. Agak terkejut bila baca komen pada video viral, masing2 kata lebih kurang begini, "zaman sekarang tak sama dengan zaman dulu.. sepatutnya kena pastikan anak pandai membaca sebelum darjah 1." Atau komen yang lain, "kena start ajar membaca dari 4 tahun, jangan darjah 1 baru nak ajar." majoriti komen seolap memang logik kena marah sebab tak pandai membaca semasa darjah 1. Hanya minoriti sahaja yang bersimpati.
"Apa dah jadi dengan masyarakat kita hari ini? Masing-masing sudah lupa Nabi saw menyuruh mendidik anak solat pada usia 7 tahun. Usia 7 tahun adalah usia mumayyiz. Usia 7 tahun terbaik untuk mendidik pelbagai perkara dengan asas yang betul. Mengajar anak 7 tahun adalah mudah, sekiranya mereka tidak dibebankan dengan perkara lain. Tetapi disebabkan sistem pendidikan kita "sedang bermasalah", guru-guru mungkin agak tertekan dan terlalu optimis mengharapkan anak Darjah 1 sudah pandai membaca," tulisnya.
Asah kemahiran EQ
Dalam pada itu, wanita yang pernah menulis beberapa buku latihan peperiksaan ini juga memberikan contoh penyelidikan yang mana pada usia 4 hingga 6 tahun, anak-anak lebih baik menumpukan kemahiran EQ iaitu Emotioonal Quotient atu bahasa melayunya adalah darjah kecerdasan emosi. Manakala, usia 7 tahun adalah umur yang sesuai untuk kuasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
"Dr. Sebastian Suggate, penyelidik dalam pendidikan awal kanak-kanak di New Zealand meletakkan usia 7 tahun adalah usia terbaik untuk pengukuhan 3M, manakala usia 4-6 tahun adalah usia bermain, dengan pengenalan terhadap abjad dan nombor secara santai. Negara2 maju lebih menumpukan kemahiran EQ di peringkat 5-6 tahun.
"Anak-anak mereka diajar mengawal emosi, memahami erti persahabatan, banyak bercakap dan mampu mengawal koordinasi fizikal. Kaedah pembelajaran adalah sangat menyeronokkan, kerap bermain tanpa silibus tertentu. EQ menjadi keutamaan negara maju. Mereka berusaha memenuhkan tangki EQ di peringkat 5-6 tahun, tanpa mendesak anak2 supaya pandai membaca.
"Kajian jangka masa panjang, iaitu selama 19 tahun yang diterbitkan dalam American Journal of Public Health mendapati bahawa kemahiran sosial dan emosi (EQ yang tinggi) di peringkat usia 5-6 tahun, boleh membawa kejayaan sepanjang hayat.
"Mengikut kajian tersebut, seorang kanak-kanak yang pandai mengawal emosi dan menyesuaikan diri dengan persekitarannya pada usia 5-6 tahun akan berjaya mendapatkan perkerjaan yang baik pada usia 25 tahun. Malah mereka lebih kreatif dan mampu melakukan lonjakan kepada setiap pencapaian hidup. Ini adalah hasil kajian di Amerika. Jika mahukan jurnal kajian, boleh pm saya," ulasnya.
Perkembangan IQ dan EQ
Biarpun IQ sangat penting, tetapi ia hanya boleh direalisasikan ke dunia realiti dengan kemahiran EQ yang mantap.
"Jika saya hubungkan dengan persekitaran saya sendiri, ternyata kajian tersebut ada benarnya. Kebanyakan pekerja yang cemerlang pada hari ini bukanlah dari kalangan pelajar tadika yang cemerlang. Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakannya begitu.
"Saya sendiri belajar mengeja dan membaca semasa darjah 1, bukan di tadika. Agaknya jika saya masuk ke dalam sistem hari ini, saya juga bakal dimarahi guru. Sayang sekali, kerana waktu terbaik untuk 3M sebenarnya adalah di usia 7 tahun, tetapi ia tidak berlaku di negara kita hari ini.
"Kita melihat kepada perspective dan kesan yang lebih besar. Apabila sistem pendidikan di Malaysia hari ini terlalu optimistic mengutamakan IQ di peringkat awal, sehingga mengenepikan keseimbangan EQ anak2, maka mereka tidak kreatif untuk mendepani hari mendatang. Memang benar bahawa IQ sangat penting, tetapi IQ hanya boleh direalisasikan ke dunia realiti dengan kemahiran EQ yang mantap," ujar Asmah.
Dedah beliau lagi, IQ dan EQ anak-anak seharusnya diberi ruang untuk berkembang dan tidak disumbat oleh silibus melampau, yang semata-mata mengejar IQ di luar kemampuan akal anak-anak.
"Kesannya hari ini, lebih 100,000 graduan di negara Malaysia masih menganggur dan tidak tahu mengembangkan ilmu yang dimilikinya kerana pencapaian EQ yang lemah sejak kecil.
"Itulah kenyataan pahit yang harus ditelan, dan tidak mampu disangkal lagi. Buat anaknda yang menangis sedih dalam screenshot di bawah, makcik doakan anakanda akan menjadi seorang yang berjaya dengan cemerlang, suatu hari nanti. Jangan cepat mengalah, buktikan kepada mereka anaknda boleh!," kongsinya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang