'Saya terasa kehilangannya, dia anak yang baik.' Sebulan hilang keluar tonton bola sepak, bapa reda jika rangka milik Hafiz Fauzan

A
A
A

"NALURI hati saya kuat mengatakan rangka itu milik Hafiz Fauzan. Saya terasa kehilangannya, dia anak yang baik.'

Demikian luah guru, Abdul Halid Sugiman, 44, bapa kepada remaja, Hafiz Fauzan Abdul Halid yang dilaporkan hilang. Remaja itu gagal dikesan sejak sebulan lalu selepas keluar dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak.

Sayu dan luluh hati dengan penemuan, namun khabar itu memberi sinar kepada keluarga biarpun keputusan ujian asid deoksiribunukleik (DNA) hanya akan diketahui pada minggu depan.

"Saya rasa itu Hafiz Fauzan, jika benar apa yang saya katakan, kami reda ditakdirkan sedemikian, ALLAH meminjamkannya (Hafiz Fauzan) kepada kami sekejap.

"Saya sangat bangga dengannya. Beliau baru memenangi pertandingan merentas desa daerah dan aktif nasyid.

"Jika masih ada, pada penghujung tahun ini dia akan mewakili Johor ke pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan antara sekolah menengah agama (SMA). Apa yang dikejar selama ini telah beliau capai," katanya dalam sebak.

No Image Caption

Malah keputusan keluarga untuk berpindah ke Tanjung Karang, Selangor ditangguhkan atas permintaan Hafiz sehingga beliau tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Kehilangan kata-kata, bapa itu juga mengakui anak ketiga dari tujuh beradik itu akan dikenang sampai bila-bila.

Semalam, polis mengesahkan penemuan rangka manusia di dalam kebun durian disyaki milik Hafiz bersama motosikal bernombor pendaftaan sama seperti dihebahkan keluarga.

Dilaporkan hilang pada 25 Mei lalu, berikut kronologinya:

1-Sebelum hilang, Hafiz Fauzan diambil dari asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja sempena cuti sekolah.

2-Selepas makan bersama, Hafiz meminta izin untuk keluar menonton perlawanan bola di kedai makan berhampiran rumah di Bandar Putera Indah di Batu Pahat menaiki motosikal jenis Honda Future 125 nombor pendaftaran JDL 1421 berwarna hitam dan menyarung jaket juga berwarna hitam.

3-Ketika keluar, dia juga menyatakan akan ke Parit Ju untuk mengambil rakan sekelasnya kerana kebiasaannya mereka berdua akan menonton bersama-sama di kedai makan itu.

4-Bagaimanapun, difahamkan rakannya itu tiada di rumah kerana mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur.

No Image Caption

5-Keluarga berusaha mengesan Hafiz dengan menghubungi rakan dan gurunya yang membuat rombongan sekolah namun Hafiz tiada.

6-Malah, keluarga juga meninjau beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja, namun tiada petunjuk diperoleh.

7-Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan remaja itu dan meminta orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan menghubungi mana-mana Balai Polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

8-Pada 11.15 pagi 25 Jun, polis menerima maklumat mengenai penemuan rangka manusia itu diterima daripada orang awam pada jam 11.15 pagi.rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, Batu Pahat.

9-Turut ditemui di lokasi sebuah motosikal yang hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran.

10-Kedudukan motosikal ditemui tersangkut pada celah batang pokok bersebelahan kebun durian dan turut dijumpai jaket serta topi keledar.

No Image Caption

11-Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka itu.

12-Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih dilakukan pasukan forensik di lokasi penemuan rangka tersebut.

13-Jelasnya, pengesahan identiti rangka terbabit akan dilakukan selepas mendapat laporan dari forensik.

14-Polis juga mengesagkan terdapat kesan kerosakan pada motosikal tersebut dipercayai berpunca dari kemalangan jalan raya yang berkemungkinan telah menyebabkan mangsa meninggal dunia.

15-Motosikal yang ditunggang mangsa disyaki telah terbabas ke tepi jalan dan terlanggar sebatang tiang elektrik menyebabkan mangsa terhumban di kawasan semak yang agak curam di dalam kebun durian berkenaan.

16-Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan.

17-Sementara itu, penjaga dan pekerja kebun durian dikeali sebagai Wong tidak menyangka terdapatnya rangka di situ kerana selain bau durian, tiada sebarang bau busuk dan mencurigakan.

18-Ujar Wong, pada 22 Mei lalu, beliau menemukan tulang di kebun ketika kerja pembersihan, namun tidak menyangka ia milik manusia dan beranggapan ia milik haiwan kerana tiada bau yang kurang menyenangkan.

19-Keputusan sama ada rangka itu milik Hafiz Fauzan atau tidak akan diketahui selepas keputusan ujian DNA diperolehi paling awal minggu depan.

Banyak kes kehilangan yang berakhir dengan penemuan rangka susulan kemalangan jalan raya. Sama-sama kita doakan agar misteri kehilangan Hafiz Fauzan terungkai.

Baca juga: 'Bukan kehilangan tapi memulangkan.' Rangka ditemui selepas 36 hari, isteri reda Muhammad Syafiq sudah tiada, akui suami terbaik

Sumber: Sinar Harian 1, 2 (Nor Azura Md Amin), Astro Awani, Harian Metro, Bernama, Buletin TV3

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang