61 tahun bersama, suami setia di sisi, pemergian ibu MB Kedah jentik hati warganet. 'Selamat jalan ke negeri abadi bonda tercintaku'

No Image Caption
A
A
A

IBU kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),di sini, pada Khamis.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim melalui pesanan WhatsApp kepada pemberita.

"Al-Fatihah. Bonda Menteri Besar Kedah, Meriam Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.40 pagi di HSB," katanya.

No Image Caption

Urusan pengebumian dan solat jenazah dijangka akan disempurnakan pada petang Khamis.

Allahyarham terdahulu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan ditidurkan sejak Isnin dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya, di Sik.

Muhammad Sanusi menerusi laman sosial sempat berkongsi foto bersama ibunya.

"Selamat jalan ke negeri abadi bonda tercintaku. Kita akan bersama di syurga Firdaus nanti," titipnya.

BAPA TANGISI KEADAAN TENAT EMAK

Terdahulu, sebuah video dimuat naik adik Muhammad Sanusi, Ain Md Nor tular di laman sosial TikTok yang memaparkan bapa mereka, Md Nor Taib, 82, berada di samping isteri tercinta dan sayu hingga menitiskan air mata.

"Usia perkahwinan emak dan ayah ialah 61 tahun yang sangat bermakna, melalui suka duka bersama 13 orang anak. Hari ini (semalam), aku lihat ayah menangisi keadaan mak yang tenat.

No Image Caption

"Tak tercapai untuk aku selami perasaan ayah. Aku hanya mampu mendoakan semoga ALLAH mudahkan segala urusan emak di dunia hingga akhirat.

"Dan untuk ayah pula, aku doakan semoga ALLAH kurniakan kekuatan untuk menyelusuri hari-hari tua ayah. #keluargamdnor," kongsi Ain.

Warganet turut meluahkan kepiluan menyaksikan kasih sayang seorang suami yang setia di sisi isteri sehingga ke akhir hayat.

"Hebat percintaan orang dulu-dulu. Pasangan ibarat umpama nyawa mereka."

"Kenangan seorang suami, pasrah dengan ketentuan ALLAH."

"Mengalir air mata tengok. Setia sampai ke hujung nyawa."

"Lebih daripada separuh nyawa, ibarat roh dan jasad seiringan. Semoga jodoh tetap bersama hingga jannah."

IBU BAPA BESARKAN 13 ANAK, 10 BERJAYA KE UNIVERSITI

Terdahulu, Muhammad Sanusi pada tahun 2020 pernah mengimbas kembali dan berkongsi tentang keluarganya serta susah payah dilalui ibu bapa dalam membesarkan 13 orang anak.

"Saya akui sebab saya sendiri laluinya. Susah senang ketika zaman kanak-kanak tinggalkan kenangan yang untuk sukar saya lupakan.

No Image Caption

“Adik-beradik saya ramai, saya anak ketujuh daripada 13 beradik, bapa tak berharta, cuma kerja cari petai hutan. Sambil itu dia buat pelbagai kerja kampung seperti tukang rumah, tebas kebun dan tanam ubi untuk tauke Cina. Bapa dan mak sama-sama menoreh getah tapi ambil upah saja sebab kami tak ada kebun getah,” katanya yang terhenti seketika menahan sebak.

“Kawan bapa saya pernah kata pada kami, hangpa ni adik-beradik... (katanya tersekat-sekat) membesar berebut rezeki dengan... (terhenti sekali lagi menahan sebak) kera dan lutung.

"Sebab petai kalau lambat ambil memang jadi rezeki kera. Kalau kera tak ambil sempatlah ia jadi rezeki bapa saya,” katanya terhenti sambil mengesat air mata.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak dapat menahan emosi apabila mengimbas kemiskinan keluarga, namun tidak pernah dikesali ketentuan-NYA.

No Image Caption

“Nasi berlaukkan garam, nasi digaul minyak ikan goreng dan nasi berlaukkan belalang goreng adalah antara makanan harian dulu. Kami berebut sebiji telur rebus dibelah lapan.

"Kakak sulung saya masuk universiti, bapa jual lembu tapi duit tak cukup, tauke Cina tempat bapa kerja bantu,” katanya.

Menurutnya, bapanya berhijrah ke Singapura pada tahun 1978 hingga 1980-an untuk mengubah nasib keluarga.

“Walaupun keluarga susah, 10 daripada 13 adik-beradik kami dapat masuk universiti.

"Orang tak mahu lalui kemiskinan, bila kita lalui dan lepasi dengan pencapaian luar biasa, ia menambah emosi,” katanya.

Takziah buat Muhammad Sanusi dan keluarga atas pemergian ibunda tercinta daripada SinarPlus, al-Fatihah.

Sumber: TikTok, Sinar Harian 1, 2

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang